Kembali

 

Malaysia Homeopathy Cyber Library

       Promoting Homeopathy All Malaysia Over and Virtually.

 

 

RAMAI YANG MASIH KELIRU APA ITU PERUBATAN HOMEOPATI

(Oleh: Wartawan bebas, Sepang.- 30 Mei. 2022)

Pada hari Sabtu 21 Mei 2022, beberapa orang pelajar dan ahli Persatuan Perubatan Homeopathy Malaysia (PPHM) berkumpul di Hotel Movenpick Tabung Haji, Sepang. Tujuan mereka adalah bagi menyertai program sambutan Jubli Perak penerbitan buku-buku homeopati oleh penerbit HBI Health & Homoeopathy Centre.

Selaras dengan sambutan itu juga, penerbit dan penulis buku-buku homeopati, Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD turut melancarkan buku terbitan tahun 2022, iaitu “Perubatan Homeopati: Teori & Praktis”. Menurut saudara Mohamed Hatta, “Buku-buku homeopati diperlukan dan harus memenuhi dunia penerbitan buku-buku supaya maklumat berkaitan dengan homeopati semakin dekat dengan pembaca”.

Katanya, “Jika kita baca di dalam sesetengah media internet, bahkan dalam Wikipedia Melayu sekalipun, kita dapati berita, definisi dan keterangan tentang homeopati dalam bahasa Melayu dan Indonesia tidak tepat dan menyimpang. Sebahagiannya berupa artikel yang diterjemah secara langsung daripada artikel-artikel berbahasa Inggeris yang tidak autoritatif. Bahkan cara terjemahan pun tidak betul”.

Ini adalah antara sebab yang menjadi punca kekeliruan fahaman sebahagian masyarakat tentang perubatan homeopati. Justeru, katanya, penerbitan karya-karya berkaitan homeopati harus diteruskan. Penulisan yang tepat dalam internet dan dalam buku-buku yang bersifat akademik boleh membantu mengurangkan kekeliruan yang timbul akibat penulisan yang tidak bertanggungjawab.

Puan Norliza bte Mohd Nordin, seorang Timbalan Pengarah Pusat Rujukan Malaysiana dan Luar Negara, Perpustakaan Negara Malaysia, yang hadir di dalam program berkenaan turut mengulas. Beliau menyatakan bahawa usaha yang dilakukan oleh saudara Mohamed Hatta dan HBI Health & Homoeopathy Centre adalah suatu kerja yang baik dan harus dipuji.

Keduanya sepakat berkata, “Kita sudah mempunyai program Bachelor of Homeopathic Medical Science yang dikeluarkan oleh Universiti Cyberjaya. Selama lebih sedekad kita ada program ijazah perubatan homeopati di Malaysia , tetapi tiada seorangpun yang mengambil inisiatif untuk menulis buku-buku akademik dalam homeopati”.

“Adalah penting buku-buku homeopati diterbitkan dalam Bahasa Malaysia kerana kebanyakan rujukan yang digunakan oleh pelajar hari ini adalah dalam bahasa Inggeris. Pencapaian pelajar-pelajar Melayu juga tidak setara dengan pelajar-pelajar bukan Melayu. Dengan adanya usaha penerbitan buku-buku homeopati berkualiti dalam Bahasa Malaysia, kita berharap keadaan ini akan bertukar sedikit demi sedikit”.

Demikian kenyataan puan Norliza yang juga adalah Setiausaha PPHM, iaitu persatuan homeopati yang tertua dan diasaskan oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy. “Kehadiran dan kenyataan tegas setiausaha persatuan (PPHM) adalah penting bagi memberi semangat kepada penerbit-penerbit dalam dunia penerbitan buku-buku homeopati”, jelas penulis Mohamed Hatta.

Penulis dan persatuan berharap penerbitan buku terbaharu “Perubatan Homeopati: Teori dan Praktis”, boleh menjadi pemangkin kepada penulisan buku-buku homeopati yang bersifat akademik. Mereka juga berharap buku ini boleh dijadikan rujukan penting untuk pelajar-pelajar kursus asas (foundation course) dalam homeopati di pusat pengajian tinggi.

Bahkan menurut penulis, kandungan buku ini juga sesuai digunakan di peringkat tahun pertama di universiti-universiti yang menawarkan kursus homeopati. Namun, semua itu bergantung kepada universiti dan para pensyarah. Malahan Mohamed Hatta menambah, “Sudah tentulah hasrat itu sukar dicapai pada waktu ini sebab semua pensyarah dalam bidang berkenaan adalah terdiri daripada pensyarah yang diimport dari luar negara. Mereka pun tidak fasih bertutur dalam Bahasa Malaysia”.

Sekian.

  

Santai Bersama Penulis, Lancar buku Perubatan Homeopati: Teori & Praktis ; Sempena SAMBUTAN JUBLI PERAK BUKU TERBITAN HBI 1997-2022 -  Hotel Movenpick TH

 

   

HBI Health & Homoeopathy Centre
drhatta123@gmail.com

 


Sumber:

Virtual copyright © HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE 2022