Materia Medica Homeopati

(Terjemahan Homoeopathic Materia Medica Boericke)

Penyaring/Penterjemah: Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD. 2017-21

Kembali

ALFALFA
Medicago Sativa, California Clover or Lucerne

Berasaskan tindakannya ke atas simpatetik, Alfalfa mempengaruhi nutrisi, terbukti melalui keupayaannya membangkit dan menambahkan selera makan dan membetulkan sistem penghadaman. Natijahnya, ia berjaya menyegarkan mental dan fizikal serta menambahkan berat badan. Gangguan yang dicirikan oleh malnutrisi adalah dalam julat terapeutiknya, seperti neurastenia, kemurungan splanknik (splanchnic blues), kegemuruhan, insomnia, ketidakcernaan saraf dan sebagainya.

Alfalfa boleh menghasilkan lemak, memperbaiki bahan buangan tisu. Kekurangan susu. Ia menambahkan kualiti dan jumlah susu di kalangan ibu-ibu yang memerlukan. Tindakannya yang sahih ke atas saluran urinari menyebabkan ia juga disaran secara klinikal untuk pesakit diabetes insipidus dan fosfaturia; dan ia turut dikatakan dapat mengurangkan kerengsaan pepundi (vesical) hipertrofi prostat. Konstitusi diatesis reumatik nampak seperti mengalah kepada tindakannya.

Minda. Ia mencetuskan buaian kegembiraan mental, yakni satu perasaan sihat umum; cerah dan jelas, sehingga segala rupa kemuraman atau kemurungan menjadi lenyap. Rasa lembap, mengantuk dan tidak bermaya (Gels); ada kalanya muram dan marah-marah, melarat di sebelah petang.

Kepala. Rasa lembap, berat di belakang kepala, juga dalam dan atas mata, melarat bila petang atau hampir malam. Sakit di sebelah kiri kepala. Sakit kepala hebat.

Telinga. Rasa tersumbat dalam tiub eustachio (Kali mur) pada waktu malam; patulus (mengembang) di waktu pagi.

Gaster. Semakin dahaga. Selera berkurang, terganggu; tetapi mungkin bertambah walaupun kepada pesakit bulimia. Dia mesti selalu makan, sehingga dia tidak dapat menunggu waktu makan; lapar di waktu pagi (Sul). Nampak menggigit-gigit makanan dan kepingin yang manis-manis; gula-gula.

Abdomen. Flatulens serta kembung, distensi. Sakit flatulens, berpindah-pindah di sepanjang kolon beberapa jam selepas makan. Berak kerap, najis longgar, berwarna kuning, menyakitkan, dengan rasa membakar kerana flatulens. Apendisitis kronik.

Urin. Buah pinggang kurang cergas; kerap terasa hendak kencing. Poliuria (Phos ac). Urea, indikan dan fosfat bertambah banyak dalam air kencing.

Tidur. Tidur lebih lena daripada biasa, terutama di awal pagi; Ia menggalakkan tidur yang aman, tenteram dan menyegarkan.

Hubungan. Bandingkan dengan: Avena sat; Dipodium punct; Gels; Hydr; Kali phos; Phos ac; Zinc.

Dos. Hasil terbaik diperoleh dengan mengguna dos kasar (5-10 titis tinktur) beberapa kali sehari. Tetapi mengambilnya dalam bentuk potensi juga berkesan dalam amalan klinikal. Teruskan menggunanya sehingga timbul kesan-kesan tonik.

 

 

Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 2021