Iklan Produk HBI:

 

LAMAN KONSULTAN HBI

DRHATTA.COM 2008-2014 - HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

"Promoting Homeopathy All Malaysia Over" project for continuous publication of homeopathy books & virtual knowledge. - info HBI

Laman Utama :

 Banjir Tsunami Kelantan - Satu Perspektif (30/12/14)

Hari ini air jumlah mangsa banjir di Kelantan adalah sebanyak 85,742 orang daripada 10,508 keluarga (mengikut bacaan http://ebanjir.kelantan.gov.my,) atau seramai 158,476 mengikut kenyataan media utama khususnya astro awani (http://www.astroawani.com/news/show/mangsa-banjir-di-pahang-perak-meningkat-terengganu-dan-johor-menurun-51241).

  Di Pahang seramai 51,434 orang, Terengganu 25,775, Perak 7,762 dan Johor seramai 148 orang (Asrroawani). Semua jumlah ini adalah berdasarkan mangsa yang terpaksa ditempatkan di pusat-pusat pemindahan banjir. Ia tidak termasuk mereka yang berpindah ke rumah saudara mara atau lain-lain tempat yang tidak didaftarkan.

  Sungguhpun di Kelantan, keadaan banjir beransur pulih dan jumlah mangsa menurun tetapi kemudahan asas elektrik dan air masih belum pulih sepenuhnya. Di kawasan jajahan Kota Bharu sendiri masih ada bekalan elektrik yang belum kembali normal, contohnya kawasan Penambang dan beberapa kawasan menghala ke Pantai Cahaya Bulan.

  Lebih kritikal lagi, di hampir semua kawasan di Kota Bharu yang mendapat bekalan air kerajaan, bekalan air bersih belum disalurkan menyebabkan penduduk gelisah dan tidak dapat menguruskan kebersihan diri dan rumah-rumah yang surut air dengan sempurna. Sebahagian penduduk yang mempunyai telaga dan engin air sendiri menjadi tempat berpaut sebahagian penduduk yang mempunyai keluarga.

  Isu-isu seperti ini harus dilihat oleh pihak berwajib dengan lebih serius meskipun kita memahami masalah di peringkat kerajaan.

  Demikian juga, selepas ini, kajian kos keseluruhan akibat daripada bencana yang menyerupai tsunami di negeri Kelantan ini wajar diperinci meskipun angka yang tepat sukar dicapai. Anggaran kos itu meliputi:

  - Kos rumah-rumah penduduk yang rosak dan hanyut dibawa oleh arus air bah khususnya di jajahan Kuala Krai, Gua Musang dan Pasir Mas serta Kota Bharu.

  - Kerugian harta benda penduduk yang rosak akibat bencana banjir yang tidak sempat diselamatkan.

  - Kos kenderaan yang rosak ditenggelami air atau yang hanyut yang kemungkinan besar tidak mendapat tuntutan insurans.

  - Kos barang-barang atau stok perniagaan yang rosak dan perlu dilupuskan serta hari-hari yang hilang selama mana kedai-kedai itu ditenggelami air banjir.

  - Premis kerajaan yang perlu diselenggara semula akibat bencana ini termasuk kos semua peralatan seperti kerusi meja, alat-alat komputer dan telekomunikasi dan lain-lain yang perlu diganti baru.

  - Jalan-jalan yang rosak teruk akibat arus deras banjir dan tanah runtuh.

  - Aset kemudahan awam yang rosak seperti tiang elektrik tumbang, jentera, kenderaan dan bot rosak akibat banjir, stadium, mesin-mesin hospital dan sebagainya yang perlu dipulihkan atau diganti baru.

  - Tenaga manusia yang perlu dikerahkan dan semua kos peralatan termasuk premis yang terpaksa digunakan bagi membantu mangsa banjir.

  - Demikian juga kos-kos lain sama ada fizikal atau non-fizikal termasuk nyawa penduduk wajar dimasukkan, sekurang-kurangnya dari segi unit atau orang.

  Teruknya bencana banjir di negeri Kelantan ini harus dilihat dari pelbagai perspektif. Selain perspektif fizikal akibat cuaca, banjir, sistem empangan, kemusnahan hutan dan sebagainya, wajar juga kita lihat dari aspek agama dan maksiat yang mungkin mengundang kemarahan Pencipta.

  Oleh kerana bencana banjir ini bukanlah menjadi penutup derita ceritera di Malaysia, perkara ini amat wajar diberi perhatian. Harus diingat, banjir baru saja beransur surut, tiba-tiba sekali lagi kita digegarkan dengan kehilangan kapal terbang, yang mana kali ini ialah milik Airasia.

  Ini memberi gambaran dan mesej yang patut diberi perhatian berat dan taakulan. Awal tahun sebuah kapalterbang penumpang MAS hilang, sekarang diikuti pula dengan bencana yang hampir sama. Cuma kali ini, kita menemui cebisan bangkainya.

  Jika kita enggan membuat introspeksi diri dan melihat semua perkara daripada perspektif yang membina dan positif, terutama dari sudut agama, adalah ditakuti kita akan berhadapan dengan lebih banyak linangan air mata keluar mencurah.

  Akhir kata, kami di HBI mendoakan agar Kelantan khususnya dan Malaysa amnya terus menjadi negeri yang aman dan berterusan mendapat rahmat Ilahi.

 

Penulis sesi ini: Admin HBI

 

 

     
 
 

HBI Health & Homoeopathy Centre 2014