Iklan Produk HBI:

 

 

LAMAN KONSULTAN HBI

DRHATTA.COM 2008-2015 - HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

"Promoting Homeopathy All Malaysia Over" project for continuous publication of homeopathy books & virtual knowledge. - info HBI

Laman Utama :

  Homeopati Di Malaysia Bak Tempayan Retak (01/01/16)

 Berapa dekad sudah bertapak sistem perubatan homeopati di Malaysia. Sewaktu homeopati diperkenalkan, perubatan Barat sendiripun masih dalam keadaan sukar untuk menembusi amalan perubatan tradisional masyarakat di Malaysia.

  Perubatan Barat lebih cepat mendapat tempat kerana ia melalui arus perdana lebih dahulu daripada homeopati. Perubatan Barat masuk bersekali dengan sistem penjajahan Barat. Lama-kelamaan amalan tradisional terpinggir dan diganti dengan perubatan Barat.

  Homeopati terpaksa melalui saat sukar kerana perubatan Barat terlebih dahulu bertapak dan kesan ubat-ubatnya cepat serta terbukti dengan jelas. Apabila Dr. Burhanuddin memohon untuk membuka akademi dan mengajarkan perubatan homeopati, sikap tak acuh kerajaan British adalah jelas dan isu pengiktirafan sudah bermula.

  Sekarang, walaupun kita sudah merdeka lebih setengah abad, isu ketidak-percayaan dan pengiktirafan terhadap keupayaan sistem perubatan homeopati menangani masalah sakit demam berterusan dipersoalkan.

  Walaupun homeopati sudah diterima sebagai antara sistem perubatan komplementari yang akan ditempatkan di hospital kerajaan, ianya masih tidak mendapat perakuan sepenuhnya untuk pelaksanaan.

PERUBATAN HOMEOPATI IBARAT TEMPAYAN RETAK

  Perubatan homeopati di Malaysia boleh diibaratkan bagai tempayan retak. Ubat homeopati berfungsi tetapi tidak sepenuhnya. Tidak ada ubat homeopati yang spesifik boleh disenaraikan untuk rawatan penyakit tertentu seperti yang perubatan Barat boleh namakan paracetamol untuk kes demam dan suhu badan yang tinggi.

  Perubatan Barat pula ibarat tempayan yang tiada cacat. Segala penyakit yang datang boleh dimasukkan ke dalam sistemnya tanpa banyak soal. Semua penyakit bisa dirawat, begitulah maksudnya secara lebih kurang.

  Pakar perubatan homeopati sentiasa mengaku mereka boleh merawat sebahagian besar penyakit. Bila pakar homeopati mengaku begitu, ramailah pelanggan yang bertandang, termasuk klien yang tidak berpuas hati dengan sistem rawatan yang gagal memberikan kesembuhan seratus peratus.

  Kenyataan umum seperti itu bukan saja berlawanan dan menjadi saingan kepada perubatan arus perdana, bahkan tidak ada bukti yang menyokongnya. Yang ada hanya testimoni lisan. Kalau yang kemas sikit rekodnya, bolehlah ditunjukkan rekod kemajuan pesakit yang meneima rawatan dan ubatan homeopati.

  Oleh kerana paksi tegaknya kerajaan dan sistem di Malaysia memerlukan evidens, evidens itulah saja satu-satunya bukti yang boleh memberi keyakinan kepada pemerintah. Oleh kerana pengamal kita kurang melibatkan diri dalam membuat kajian berkaitan perubatan homeopati, maka mulut tempayan sajalah jadi evidens keberkesanan kesembuhan homeopati.

  Pihak berwajib selaku pemerintah tidak pula berani menafikan sepenuhnya keberkesanan rawatan dan ubat-ubat homeopati. Sebarang penafian juga memerlukan bukti bahawa ubat-ubat homeopati tidak berkesan. Pihak berwajib berada dalam dilema seperti juga mereka dilema untuk membuktikan bahawa bacaan air yasin boleh digunakan untuk menyembuhkan penyakit tertentu.

  Perubatan homeopati ibarat tempayan retak. Homeopati mengangkut semua pesakit dan penyakit yang datang bersama ubat-ubat yang ribuan jumlahnya, tetapi bila sampai di rumah, yang tinggal hanya sebahagian daripada air yang belum sempat tercicir keluar. Mungkin itulah saja ubat-ubat yang berjaya merawat penyakit, namun itupun tidak ada kayu pengukur berapa banyak air atau ubat homeopati yang boleh dipakai secara berkesan, terbukti evidence-based.

APA IRONI TEMPAYAN RETAK?

  Apakah pengajaran daripada kisah perubatan homeopati tempayan retak? Ceritanya sama seperti kisah perbandingan tempayan retak yang digunakan oleh petani mengangkut air dari sungai untuk dibawa pulang ke rumah.

  Petani yang bijak dan sedar akan memberi tumpuan kepada tempayan yang boleh membawa air berisi penuh. Tetapi bagi tempayan retak, dia sedar bahawa air yang keluar itu masih berguna jika dia mempunyai benih-benih bungaan dan tanaman di sepanjang jalan,

  Justeru tiap kali petani itu mengangkut pulang air, air daripada tempayan retak itu membantu mengairi benih-benih bungaan dan tanaman di sepanjang jalan. Jadi ia turut membantu mengindahkan jalan dari sungai ke rumah petani berkenaan.

  Demikianlah pemerintah yang ideal, mereka hanya melihat kepada tempayan-tempayan yang dapat membawa air sepenuh tempayan. Ubat-ubat homeopati terpakai hanya untuk sebahagian kecil penyakit sahaja, iaitu ubat-ubat yang dapat dibawa sampai ke rumah dan tidak terbuang di jalanan. Namun senarai itupun sukar diperoleh.

  Ubat-ubat homeopati yang terbuang melalui retakan tempayan yang bocor itu tidak dipandang penting. Sedangkan ubat-ubat yang bocor itu telah berjaya menghidup dan menyegarkan laman di sepanjang jalan.

  Banyak kes yang tidak dapat dibawa sepenuhnya oleh tempayan alopati yang selalu berisi penuh, kerana kalau diisipun, ia akan melimpah keluar. Mereka tidak pernah menyembuhkan kes-kes asma, diabetes, angin ahmar, tinitus, gout, darah tinggi, kanser secara menyeluruh atau 100%. Selain untuk beberapa kes, kebanyakan kes-kes pesakit, mereka hanya mempertahankan saja kedudukan status pesakit supaya tidak bertambah buruk.

  Secara tidak langsung, ubat-ubat homeopati yang tercicir tadi ada juga menyirami sebahagian pesakit yang bertahun-tahun menderita. Mungkin ada yang berjaya menyembuhkan, tetapi jika ubat-ubat homeopati itu sekadar memberikan kelegaan kepada pesakit, itupun sudah memadai buat membuahkan senyuman dan kegembiraan di sisi pesakit.

UBAT HOMEOPATI ADA KELEBIHAN TERSENDIRI

  Apa yang cuba dijelaskan di sini ialah sekalipun ubat-ubat homeopati tidak mempunyai evidens dari segi content bahan yang dikandungnya dan tak dapat dibuktikan secara fizikal bahan aktifnya di makmal, kesannya boleh dilihat jika kita temubual pesakit-pesakit yang menerima rawatan homeopati.

  Mereka senyum gembira dan terus melanggan di pusat-pusat rawatan homeopati kerana mereka terasa impaknya. Itulah testimoni yang dijaja oleh pengamal homeopati setiap kali bertemu dengan kementerian. Banyak bunga-bunga yang mekar di setiap perjalanan perubatan homeopati. Mekarnya bunga-bunga dan segarnya tanaman adalah terhasil daripada taburan pelbagai ubat-ubat yang tercicir dari tempayan yang retak.

  Ubat ubat homeopati mana yang menyembuhkan? Penyakit manakah yang boleh dsembuhkan?  Itu merupakan persoalan yang masih begitu sukar untuk diberi kata putus oleh pengamal homeopati (atau MPHM) kerana kaedah rawatan homeopati yang holistik tidak pernah memberi fokus kepada nama-nama penyakit.

  Arnica untuk apa? Belladonna untuk penyakit apa? Syphilinum untuk menyembuhkan STD ke? Jika pengamal homeopati dapat berikan jawapan yang spesifik begini dengan bukti sekali, tiadalah isu homeopati tempayan retak.

  Malangnya, pengamal hanya boleh menceritakan Mamat sembuh dengan Belladonna, Minah pulih sakitnya melalui Sepia dan Tok Abah sudah boleh berjalan lancar selepas diberikan Rhus tox. Bolehkan orang lain guna ubat yang sama?

  Lalu bermadahlah sang pengamal homeopati "Maaf Pak Menteri, ubat itu bukan standard untuk penyakit tertentu. Ia hanya untuk orang yang mempunyai simptom-simptom tertentu"

  Lantas terkebil-kebillah Pak Menteri. Terkapai-kapailah pengamal homeopati menjawabnya dan tambahan lagi kalau untuk mencari evidens..

  Pengamal homeopati hanya mampu menceritakan kejayaan. Buktinya tidak ada. Kami pengamal homeopati taburkan saja ubat-ubat di sepanjang jalan daripada tempayan yang retak. Mana yang mendapat manfaatnya, beruntunglah ia.

  Justru, sampai hari ini tempayan retak itulah yang dibawa oleh kementerian. Tempayan retak itulah saja yang dapat dipersembahkan oleh badan pengamal. Jika Pak Menteri sedar akan peranan yang dimainkan oleh homeopati, persilakan beri pengiktrafan. Ubat-ubat homeopati kami hanya ibarat kandungan tempayan retak buat mengindahkan halaman.

  Bukti?? Nahin hehh.

 

 Salam daripada kami dan drhatta di HBI.

 

Penulis sesi ini: drhatta & Admin HBI.

 

 

     
 
 

HBI Health & Homoeopathy Centre 2016