Iklan Produk HBI:

 

 

LAMAN KONSULTAN HBI

DRHATTA.COM 2008-2015 - HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

"Promoting Homeopathy All Malaysia Over" project for continuous publication of homeopathy books & virtual knowledge. - info HBI

Laman Utama :

  Rawatlah berpandukan Ilmu Homeopati Mu  (06/01/16)

 Semalam kami sesama pengamal homeopati berbual panjang, dan dihujung perbualan saya sarankan "Rawatlah berdasarkan ilmu yang tuan tahu dan mahir. Jika tuan tahu mengenai homeopati, gunalah ia tanpa rasa ragu..."

  Isunya timbul apabila rakan homeopati menceritakan pertelingkahan antara suami isteri berkaitan rawatan homeopati yang diminta oleh si isteri untuk beliau carikan penawar.

  Si isteri inginkan ubat bagi penyakitnya, tetapi si suami menentang dengan alasan beliau tidak lagi percaya dengan homeopati.

  Jadi sahabat homeopati saya terpaksa menolak untuk memberikan rawatan homeopati kerana, katanya beliau 'tidak boleh merawat jika tidak ada kepercayaan daripada pesakit atau keluarga pesakit terhadap ubat yang hendak diberikan'.

  Bagaimana penentangan suaminya terhadap homeopati ini bermula?

  Ia bermula ketika isterinya pergi untuk mendapatkan rawatan daripada seorang pakar homeopati di Jasin, Melaka. Di dalam sesi temu bual pasangan itu dengan pakar homeopati itu, sang pengamal homeopati itu telah menyarankan supaya si isteri mengambil produk herba yang berasaskan cendawan yang sedang dipromosi.

  Benar sekali bahawa produk itu popular, dikilangkan oleh pengilang GMP dan ada kelulusan KKM pula. Tetapi saranan untuk pasangan itu mengguna ubat herba itu untuk membaikpulih jari tangannya yang luka ulser itu telah mengundang padah yang tidak diduga.

  Pengamal homeopati Jasin itu dimaklumkan bahawa si isteri itu menghidap penyakit kencing manis, sedang mengalami masalah luka yang lambat baik. Ilmu yang diketahuinya adalah di dalam bidang homeopati. Persoalannya kenapa disarankan ubat herba yang harganya ratusan ringgit?

  Di sini timbul persoalan: apakah pengamal ini tidak mengetahui apa yang boleh dan tidak boleh dirawat dalam kes tersebut? Jika dia tahu, mengapa harus dirujuk kepada ubat herba yang beliau mungkin tahu berasaskan keterangan label atau testimoni produk sahaja?

  Ataukah pengamal ini mempunyai kepentingan dalam jualan langsung produk yang ditawarkan kepada kliennya?

  Masya Allah tuan-puan. Apakah dalam kes ini beliau ingin mendapat untung daripada bisnes produk herba? Apakah herba berasaskan cendawan ini ada di dalam materia medika homeopati? Apakah ada disebut di dalam materia medika bahawa herba cendawan itu boleh diberikan dalam dos material?

  Persoalan ini seharusnya dijawab dahulu oleh sang pengamal itu sebelum beliau menyarankan atau menjual ubat herba itu kepada kliennya. Sama ada produk herba itu diluluskan KKM atau halal atau dikilangkan oleh pengilang GMP, itu persoalan lain.

  Mengapa?

  Menurut sahabat homeopati saya itu, akibat penggunaan produk herba itu, kononnya telah menyebabkan luka jarinya merebak dan kesannya ialah tiga jari tangan perempuan itu (si isteri) terpaksa dipotong.

   Akibat daripada nasihat, saranan dan penggunaan herba yang memudaratkan isterinya itu, implikasinya ialah si suami tidak lagi percaya kepada mana-mana pengamal homeopati.

  Dan itulah yang menimbulkan pertengkaran suami isteri berkenaan di hadapan sahabat homeopati saya yang akhirnya merasa sangat dukacita, dan akhirnya mengambil tindakan menelefon saya selama hampir setengah jam.

  Tuan-puan.

  Kita harus bezakan antara bisnes dengan rawatan. Mereka yang datang ingin membeli produk berbeza daripada mereka yang datang untuk mendapatkan rawatan. Kita sebagai pengamal haruslah bersikap jujur dan mempunyai matlamat membantu.

  Sekalipun produk kita mempunyai ciri-ciri bisnes, kejujuran dan niat ingin menolong mesti menjadi agenda utama. Apabila kita ingin preskripsi sesuatu penawar, biarlah kita tahu kesan positif dan risikonya.

  Kali ini kes herba cendawan. Saya juga mempunyai laporan daripada dua keluarga di mana si pesakit yang mengguna produk herba spirulina dan gingko biloba mendapat kesan sampingan yang teruk. Sekalipun ianya herba yang diluluskan oleh KKM dan terjamin dari segi undang, namun kita harus ingat undang-undang kesembuhan produk tradisional herba.

  Produk-produk ini tidak dapat mengelakkan diri daripada kemungkinan kesan sampingan walaupun dosnya diluluskan oleh pihak berkenaan. Dan kesan sampingan ini tidak sama antara individu. Ada individu yang lebih sensitif dan ada individu yang mempunyai penyakit iringan lain yang mungkin merbahaya bagi dirinya.

  Satu perkara lagi, selalunya kesan sampingan dijawab dengan mudah oleh agen atau pengeluar produk bahawa apa yang berlaku itu hanya krisis kesembuhan. Krisis kesembuhan? Mungkin ya. Mungkin juga tak. Siapakah yang bertanggungjawab terhadap krisis kesembuhan yang teruk dan di luar kawalan?.    

  Pesanan kami di HBI, berhati-hatilah merawat mengguna produk yang kita tidak tahu dan kurang ilmu. Kenalilah tahap kesihatan pesakit sebelum menyaran sesuatu ubat. Ketepikan bisnes dan kepentingan lain apabila kita ingin membantu pesakit atau klien kita.

  Peristiwa ini bukan sahaja melukakan hati saya dan sahabat saya, tetapi ia juga telah turut sama memburukkan nama pengamal dan homeopati itu sendiri. Marilah sama-sama kita pohon ampun kepada Allah subhanahu wa ta'ala semoga perkara seumpama ini dijauhkan dalam amalan seharian kita.

  Dalam bisnes kita menjual beli produk, yang biasanya ada testimoni pengguna. Kaedahnya berbeza, namun kejujuran pasti harus ada. Tetapi dalam memberi rawatan, kita patuhilah prinsip dan etika yang kita pegang.

  Salam daripada saya, konsultan homeopati HBI.

 

Penulis sesi ini: drhatta.com HBI.

 

 

     
 
 

HBI Health & Homoeopathy Centre 2016