Iklan Produk HBI:

 

 

LAMAN KONSULTAN HBI

DRHATTA.COM 2008-2015 - HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

"Promoting Homeopathy All Malaysia Over" project for continuous publication of homeopathy books & virtual knowledge. - info HBI

Laman Utama :

  Penemuan Baru Gegarkan Sejarah Homeopati Di Malaysia  (11/01/16)

 Siapakah pengasas homeopati di Malaysia? Dr. Burhanuddin? Pendakwah kristian? Lebih tepat lagi, siapakah sebenarnya yang menjadi pengasas perubatan homeopati di tanah Melayu?

  Suatu waktu dahulu, apabila Majlis Perubatan Homeopathy Malaysia membuat catatan berbeza dalam timeline sejarah perubatan homeopati di Malaysia dalam laman MPHM, ramai yang was-was dan ragu.

  Ketika satu slaid ditayangkan dalam satu program First International Conference on Homeopathy, di PWTC di hari perasmian pada 21 Julai 2011, ada ramai juga pengamal homeopati menyuarakan rasa tidak senang hati.

  Bahkan, salah seorang pengamal senior berbicara dengan saya, "Kenapa sejarah perkembangan homeopati ini hendak diubah? Ini sudah tidak betul."

  Saya juga terasa suatu kelainan dalam maklumat yang sekian lama kita semua terima dan canangkan ke seluruh negara berkaitan bermulanya perubatan homeopati di tanah Melayu atau Malaysia. Namun saya tetap berpegang utuh dengan apa yang saya terima daripada Allahyarham Prof Mohd Nor Noordin dan lain-lain.

  Tetapi kira-kira dua tahun lalu, seseorang telah menghantar satu naskhah tulisan Jawi berkaitan perubatan homeopati kepada saya bersama-sama dengan Sijil Amalan Tahunan Homeopati di alamat kampung saya di Kota Bharu.

   Ini suatu berita yang mengejutkan. Lama juga saya tenung dan selidik naskhah fotostat itu. Di luar tajuknya "BUKU KEPUTUSAN ELMU DU-KUN" dengan perkataan "HOMOEOPATHY" dalam kurungan. Penulisnya Prof A.S. Rajah dan pusat penerbit atau pemiliknya ialah Malayan Homoeopathic Leading Centre, Singapore.

. Di sini saya memohon maaf kepada semua teman pelayar drhatta.com dan homeolibrary.com, kerana saya bertindak membungkam dan membisu berkaitan perkara ini sehingga ke hari ini.

  Justeru ini merupakan sejarah dalam mengasas dan perkembangan homeopati di Malaysia, pada akhir tahun lepas (2015), saya sedang mengira-ngira bagaimanakah penemuan ini harus diketengahkan.

  Hakikatnya ialah, naskhah ini benar. Bahasa dan tulisannya ialah bahasa Melayu lama dan bertulisan jawi pula. Sama ada yang menulisnya ialah Prof A.S. Rajah atau penuntut beliau, itu persoalan yang kedua.

  Yang harus kita terima hari ini ialah sememangnya Prof A.S. Rajah mendahului Dr. Burhanuddin dalam pengajaran homeopati di Tanah Melayu. Dengan tarikh tahun 1935 buku itu ditulis, ianya hampir bersamaan dengan tahun di mana praktik homeopati dilaksanakan bersama Dr. Burhanuddin al-Helmy.

  Hanya dengan kehadiran penulisan dalam bentuk buku fotostat "BUKU KEPUTUSAN ELMU DU-KUN" itu pada tahun 1935, ia bermakna kuliah ilmu perubatan homeopati sudah dijalankan oleh Prof A.S.Rajah lebih awal lagi.

  Ini juga bermakna adalah munasabah juga bahawa Dr. Burhanuddin belajar homeopati dengan Prof A.S. Rajah di Singapura dan memperoleh ijazah homeopati daripada Ismaeliah Medical College, New Delhi. Laporan ini ada disebut dalam salah satu pendapat hasil temubual Dr. Ramlah Adam dengan Prof Mohamad Yacob di dalam buku beliau "Burhanuddin Al-Helmy: Suatu Kemelut Politik".

  Oleh kerana banyak catitan-catitan berkaitan pengetahuan agama di dalam naskhah buku fotostat itu, kemungkinan ada tokok tambah daripada penulis lain tidak dapat kita pastikan. Apakah pencatatnya bagi pihak Prof A.S. Rajah adalah Dr. Burhanuddin atau Prof. Mohamad Yacob atau orang lain, juga tidak dapat dipastikan dengan jelas.

  Yang penting diketahui ialah, catatan yang dibuat di dalam Timeline "Brief History of Homeopathy in Malaysia" dalam web MPHM.org.my adalah menepati sejarah. Itulah pandangan yang saya lihat pada waktu ini.

  Kalau benarpun Dr. Burhanuddin belajar dan memperoleh ijazah homeopati di India, masanya adalah terkemudian daripada pengenalan kepada ilmu perubatan homeopati yang dilakukan oleh Pof A.S. Rajah pada tahun 1928 (Timeline MPHM) sama ada di Johor Bahru atau Singapore.

  Sekalipun benar Dr. Burhanuddin yang menyemarakkan dan menyusun perkembangan ilmu perubatan homeopati di Malaysia, kita harus mengembalikan hak memperkenalkan ilmu perubatan homeopati di Semenanjung Tanah Melayu kepada Prof A.S. Rajah.

  Saya akan cuba mencari suatu waktu yang sesuai bagi membicarakan buku "BUKU KEPUTUSAN ELMU DU-KUN" pada masa yang sesuai nanti, juga apabila saya telah membuat transliterasi daripada karya asal dalam tulisan Jawi.

  Sahabat sekalian, sebab itulah saya memerlukan semua karya Dr. Burhanuddin yang saya percaya ada di tangan pengamal-pengamal lama dan senior, khususnya yang diperturunkan daripada murid Dr. Burhanuddin supaya kita mendapat bukti, kebenaran dan dapat mengkhazanahkan ilmu mereka kepada generasi hari ini dan akan datang.

  Ini adalah sejarah kita, sejarah perubatan homeopati. Ini adalah sejarah warisan yang merupakan "ilmu yang bermanfaat" bagi Allahyarham Dr. Burhanuddin apabila ianya menjadi ilmu yang kekal berpanjangan (pahala yang berterusan). Inilah arkib kita, arkib ilmu perubatan homeopati.

  Salam daripada saya, Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD,konsultan homeopati HBI.

 

Penulis sesi ini: drhatta.com HBI.

 

 

     
 
 

HBI Health & Homoeopathy Centre 2016