Malaysia Homeopathy Cyber Library

       Promoting Homeopathy All Malaysia Over and Virtually.

 

Kembali

 

 

Info penting: Tarikh eNTERWIP PWTC -

30 Sep - 2 Okt 2016. Lawat booth kami www.drhatta.com

SUMBANGAN DR HARON DIN KEPADA PERUBATAN ISLAM DI MALAYSIA

(20 Sep 2016 - Format Mobile)

oleh:  Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD

JGN LUPA LAWATI BOOTH DRHATTA.COM DI eNTERWIP PWTC 1 & 2 Okt 2016. >> 019-6750544

PENGENALAN

  Pemergian Dato' Dr. Haron Din pada hari Jumaat yang lepas, 16 September 2016, merupakan satu kehilangan besar bagi umat, khususnya buat rakyat Malaysia beragama Islam. Selain peribadinya yang mulia, ilmunya yang luas, seorang yang toleran tetapi tegas dan disegani dalam arena perjuangan politik, beliau adalah pelopor bertapaknya perubatan Islam tulen (dalam bentuk yang selari serta penyampaian yang disegani) di Malaysia.

PERUBATAN ISLAM ATAU TRADISIONAL   

  Sejak daripada awal sistem perubatan milik masyarakat tempatan, kita tidak nampak dengan jelas perbezaan di antara perubatan tradisional dan perubatan Islam. Pada tahun 1960an atau 70an, masyarakat masih dipengaruhi oleh budaya animisme atau hindu, dan khidmat perawat daripada bomoh-bomoh tempatan banyak bercampur-baur dengan pengaruh-pengaruh yang mungkin kurang islamik. Kaedah tradisional mengguna akar kayu dan jampi serapah kadang-kadang diselangi dengan ayat-ayat al-Qur'an. Masalahnya adalah kadang-kalanya bacaan pun kurang betul (berdasarkan pengalaman penulis). Tetapi sebahagian masyarakat di masa itu tidak dapat membezakan sama ada ianya selari dengan Islam atau tidak (atau membiarkan sahaja kesilapan itu dibuat berterusan, walaupun tahu salah.). Bahkan, sedikit sebanyak, di kampung-kampung yang jauh daripada bandar mungkin masalah ini masih ada pada hari ini.

Ringkasnya, pada tahun-tahun 1970an dan 80an tidak ada satu contoh atau panduan dalam mempelajari, memahami ataupun mempraktik Ilmu, kaedah dan amalan perubatan Islam atau tradisional supaya ianya selaras dengan syariat. Oleh itu, nilai dan pandangan orang ramai terhadap perubatan Islam tidak berlangsung sebagaimana hari ini. Justeru ingin saya petik apa yang disebut di dalam kertas kerja oleh  Dr. Mahyuddin Ismail yang bertajuk "

Menurut kajian oleh Dr. Mahyuddin Ismail, terdapat banyak penyelewangan dalam amalan perubatan yang menggunakan jenama Islam. Antaraya ialah: (i) penggunaan makhluk halus dalam rawatan, (iii) mempamerkan perkara-perkara ajaib dan luar biasa, (iii) mengajarkan ilmu dan amalan kebatinan yang bukan daripada agama Islam, (iv) menggunakan tangkal, azimat dan barang-barang hikmat, (v) menggunakan kaedah yang bercanggah dengan al-Qur'an, hadis dan amalan 'ulama, serta (vi) memperoleh ilmu melalui sumber dan kaedah yang aneh. (http://primanara.blogspot.my/2012/03/penyelewengan-akidah-dan-syariat-dalam_19.html)

Dalam suasana seperti itu, amalan atau praktik perubatan Islam menjadi isu yang tidak berkesudahan dan imejnya tidak begitu baik kerana dikelirukan dengan budaya dan amalan perubatan tradisional yang bercampur-baur dengan unsur syirik dan tidak berasaskan perubatan Islam seratus-peratus.

ASAS PERUBATAN ISLAM   

   Secara peribadi, saya melihat asas bagi perubatan Islam yang tulen mula menyerlah di bumi Malaysia apabila Dato' Dr. Haron Din mengkedepankan dirinya menjadi pelopor kepada perubahan dan mengajak kepada masyarakat Malaysia untuk melihat isu ini secara lebih serius. Ini berlaku berikutan :

(i) penubuhan Pusat Rawatan Darul Syifa'

(ii) buku-buku dan tulisan Dr Haron Din dan rakan-rakannya yang bersifat akademik dan

(iii) pendidikan dan latihan yang diberikan oleh beliau dan muridnya di Darul Syifa' secara lebih berstruktur dan dipimpin berdasarkan asas ilmu al-Quran dan hadis, dengan menitikberatkan ciri-ciri keperibadian muslim.

Saya menegaskan perkara ini kerana beliau terkedepan berbanding sesiapapun dalam perkara mengenengahkan perubatan Islam di Malaysia. Beliau berada di hadapan seperti Dr. Burhanuddin dan 12 orang murid pertamanya ketika Dr. Burhanuddin mengetengahkan sistem dan amalan perubatan homeopati di Malaysia. Lebih tepat lagi, Dr. Burhanuddin dan Dato' Dr. Haron Din telah meletakkan batu asas dan memberikan modul-modul yang hampir lengkap dalam bidang masing-masing dalam suasana di mana pihak kerajaan masih pun belum menubuhkan Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplimentari di Kementerian Kesihatan Malaysia.

(i) Asas Penubuhan Darul Syifa'

   Berpandukan laman web Darul Syifa', pembelajaran ilmu perubatan Islam secara kecl-kecilan telahpun bermula pada akhir tahun 1970an lagi. Ia bermula apabila beberapa orang pelajar Fakulti Pengajian Islam UKM meminta agar mereka diberikan tunjuk ajar berkaitan dengan perubatan Islam. Pada waktu itu, belumpun kedengaran ada kelas atau belumpun ada sebarang guru/ulama di Malaysia yang secara khusus mengajar tentang perubatan Islam kepada suatu kumpulan orang/murid.

Bukan sahaja murid-murid Perubatan Islam Dr. Haron Din ini terdiri di kalangan masyarakat terpelajar, tetapi sebelum bangunan Darul Syifa' dapat didirikkan, mereka juga telah mengusahakan penubuhan sebuah persatuan bagi membantu mengukuhkan gabungan pelajar-pelajar yang menjadi murid Dr. Haron Din. Persatuan itu dinamakan "Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam", serta ditubuhkan pada 17 April 1988.

Fakta ini penting bagi membuktikan bahawa penubuhan Darul Syifa' mempunyai asas dan tunjang yang kuat. Demikian jugalah ketika pelbagai usaha dan jalan dicari bagi merealisasikan tertubuhnya sebuah bangunan sendiri (mohon pembaca membaca sendiri laman web yang diberikan). Apa yang ditunjukkan daripada kegigihan setiap individu yang terlibat itulah yang memberi kepada kejayaan mereka dalam membangunkan bangunan sendiri.

Bangunan Darussyifa' yang tersergam hebat di Bangi itu kini telah berjaya dibina dan digunakan pada 17  March 1991. Tetapi perasmian telah dlaksanakan oleh Tan Sri Azman Hashim pada 1 September 1991.  Tanpa komitmen yang tinggi dan semangat masyarakat Islam sendiri, termasuk sumbangan derma berbagai pihak dan derma Menteri Besar Selangor sendiri ketika itu, maka pastilah mereka tidak akan sekuat hari ini. (http://www.darussyifa.org/modules.php?name=Content&pa=showpage&pid=32)

(ii) Penulisan Buku Akademik dan Rujukan

   Penulisan buku-buku yang bersifat akademik dan sebagai panduan serta teks bagi pelajar adalah sangat penting dalam mana-mana sistem perubatan alternatif dan komplimentari. Jika kita inginkan bidang ini hidup berterusan, dicatat dalam sejarah, anak murid tidak keliru dan mempunyai nilai yang tinggi di masa  hadapan, penulisan bahan-bahan ilmiah ini termat penting.

Bagusnya dan beruntungnya masyarakat Malaysia kerana Dato' Dr. Haron Din dan Dr. Amran Kasimin telah menerbitkan dua buah buku yang saya kira mencatat sejarah sebagai orang terawal di Malaysia yang mempersembahkan secara serius tulisan yang telah menggemparkan dan mendapat sambutan hangat ketika ianya mula diterbitkan. Dua buah buku pertama yang saya maksudkan itu ialah:

  • Rawatan Gangguan Makhluk Halus Menurut Al-Quran dan As-Sunnah (Percetakan Watan 1987), dan

  • Rawatan Pesakit Menurut al-Quran dan as-Sunnah (Percetakan Watan, 1987)

Kita juga dimaklumkan bahawa kerana hasil perolehan jualan buku-buku itu agak lumayan, maka RM30,000 daripada hasilnya telah digunakan sebagai bayaran bagi membeli lot tanah bangunan Darussyifa'.

Bagaimanapun, lebih penting daripada itu ialah setiap ilmu yang dipelajari harus mempunyai modul dan teks. Dalam hal inilah, selain disebabkan Dr. Haron Din merupakan seorang ahli akademik, kita boleh nyatakan bahawa beliau telah menyempurnakan satu prakeperluan kepada suatu pengajian dalam bidang perubatan Islam, iaitu menghasilkan teks dalam bahasa Malaysia. Sesiapa yang tidak mengikut sebagaimana yang diajar, perbuatan betul salahnya boleh dinilai dengan pengajaran teks.

Walaupun ilmu itu boleh diperturunkan dengan perantaraan lisan seperti yang banyak berlaku dalam perubatan tradisional Melayu sebelum dibukukan, mewujudkan teks itu teramat penting,, terutama di zaman modern ini. Mereka yang berfikiran jauh pasti akan menghasilkan buku-buku sebagai peninggalan bermakna.

Demikianlah juga dengan Dr. Burhanuddin al-Helmy yang menulis buku-buku Materia Media, Sejarah dan Falsafah Perubatan Homeopati dan Biochemistery. Beliau menulis supaya ilmu itu berlangsung berterusan dan menjadi amal jariah yang berkekalan. Sayangnya, bahan-bahan itu hanya dalam bentuk fotostat dan tidak diusahakan bagi menerbitkan dan memanjangkan usaha murni beliau sebagai pengasas perubatan homeopati terulung di Malaysia.

Sememangnya amat banyak buku-buku berkaitan perubatan yang ditinggalkan oleh Dato' Dr. Haron Din supaya ilmu itu boleh kekal berterusan dan boleh dirujuk. Saya tidak berhasrat memanjangkan bicara berkaitan dengannya, tetapi semua buku-buku itu boleh didapati di Perpustakaan Negara Malaysia atau di pasaran. (https://ms.wikipedia.org/wiki/Haron_Din) 

(iii) Pendidikan dan Latihan Dalam Perubatan Islam

   Kita tahu bahawa hampir keseluruhan  murid-murid di Darussyifa' berguru secara langsung, walaupun kadang-kadang dibantu oleh guru yang terlatih juga. Senario ini pada hakikatnya hampir sama juga dengan pengajaran yang disampaikan  oleh Dr. Burhanuddin kepada pelajar homeopati. Ketika Dr. Burhanuddin tiada, rakan-rakan dan muridnya yang awal itu membantu memberi bimbingan.

Yang penting, pendidikan itu berlaku melalui pengajaran dalam kelas, ada teks dan modul dan ada latihan praktikal. Latihan praktikal ini pula wajar dipantau. Inilah yang membezakan kaedah pengajaran guru berilmu dengan guru-guru/bomoh-bomoh Melayu tradisional zaman dahulu yang tidak meninggalkan teks atau rujukan.

KEPAKARAN RAWATAN MAKHLUK HALUS  

   Kepakaran merawat gangguan makhluk halus ataupun gangguan jin tidak terdapat di universiti. Bukan itu sahaja, sistem perubatan yang diajarkan di institusi pengajian tinggi yang berasaskan perubatan Barat tidak mungkin mempunyai ilmu seperti itu kerana tiada evidens. Kalau adapun sakit @ gangguan yang tidak dapat diselesaikan akibat gangguan seumpama itu, ia hanya akan dianggap sebagai "x-files". Premis dalam pengajian mereka terlalu materialistik untuk menerima kepercayaan serupa itu.

Tetapi, inilah kepakaran Dato' Dr. Haron Din. Dicatatkan satu peristiwa yang berlaku di Universiti Kebangsaan Malaysia berkaitan  dengan penebangan pokok yang mungkin boleh menyebabkan mala petaka dan menakutkan ramai orang dan kontraktor. Pokok itu terletak berhampiran dengan sebuah kuil hindu. Tetapi dengan adanya Dato' Dr. Harun Din, perkara itu dapat diselesaikan dengn jayanya.

Menurut Dato'' Dr. Haron Din, “Makhluk halus yang mendiami pokok tersebut mengamuk kerana mereka mendakwa bahawa itu adalah tempat  kediamannya. Saya berjaya mententeramkannya dengan pertolongan Allah dan keadaan menjadi elok selepas itu.”
“Saya tebang sendiri dengan seorang pembantu menggunakan ‘jigsaw’ (gergaji berantai). Memang benar ada keganjilan pada pokok itu kerana ia tidak tumbang pada mulanya walaupun nampak hampir putus. Setelah menggunakan kaedah tertentu, akhirnya ia tumbang juga.”

Kejadian ini yang telah disaksikan oleh sekitar 200 orang (demikian juga beberapa kejadian lain) dan dikatakan menyebabkan timbul berbagai cerita, termasuk berita yang mengatakan Dr. Haron telah memindahkan makhluk menggunakan kenderaan. (http://www.darussyifa.org/modules.php?name=News&file=article&sid=9)

JGN LUPA LAWATI BOOTH DRHATTA.COM DI eNTERWIP PWTC 1 & 2 Okt 2016.

** 019-6750544

Salah satu penjelasan Dato' Dr. Haron Din mengenai kejadian histeria dan gangguan makhluk halus ialah ".. beberapa punca yang menyebabkan terjadinya kerasukan di kalangan para pelajar antaranya ialah berlaku 'breakdown' pada perasaan atau jiwa seseorang disebabkan tekanan (tension) belajar yang terlalu tinggi di samping kelemahan seseorang mengalami emosi ketakutan yang bersangatan sehingga memudahkan gejala makhluk halus mengganggu hingga terjadinya histeria." Juga dikatakan, ""Ketakburan juga boleh menyebabkan histeria iaitu berani yang terlampau sehingga mengganggu atau mencabar tempat-tempat yang dipercayai ada makhluk halus,"

Di antara saranan Dato' Dr. Haron Din kepada anggota masyarakat dalam menghadapi situasi ini ialah supaya kita membaca surah-surah yang terdiri daripada surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas. Ia wajar dibaca setiap hari baik sebelah pagi atau pada sebelah malam, selain hadis sahih Rasulullah s.a.w yang menyebutkan ayatul Qursi juga turut dibaca bagi menghindari kejahatan dan gangguan makhluk halus.                                                                             (http://arkib.harakahdaily.net/arkibharakah/index.php/arkib/berita/lama/2009/2/19573/tips-elak-histeria-haron-din-saran-amal-muawizat-.html)

Kisah kemahiran Dato' Dr. Haron Din menangani isu makhluk halus atau masalah berhubung dengan jin ini memang sudah tersebar luas dan diketahui umum, khusuusnya bagi sebahagian besar masyarakat di Malaysia. Pengetahuan beliau yang mendalam berkaitan perkara ini boleh dilihat di dalam karya-karya yang telah dihasilkan oleh beliau dan diterbitkan. Ini termasuk buku-buku seperti:

  • Sebahagian Daripada Rawatan Pesakit menurut al-Qur’an dan al-Sunnah,  Percetakan Watan Sdn. Bhd., Tahun 1990

  • Fadilat ayat al-Kursi Untuk Mengatasi Sihir (Bersama dengan Dr Amran Kasimin), Percetakan Watan, 1995

  • Menjawab Persoalan Makhluk Halus. Bangi: Darussyifa’, Haron Din. 2009.

  • Rawatan Penyakit Rohani. Bangi: Darussyifa’, Haron Din. 2009.

  • Rawatan Penyakit Akibat Sihir. Bangi: Darussyifa’, Haron Din. 2009.

Demikian sedikit catatan yang sempat dikutip buat waktu ini berkaitan kepakaran Dato' Dr. Haron Din dalam isu menangani makhluk halus dan jin. Kami akan cuba membuat update di waktu yang lain jika ada ruang dan waktu serta kelapangan.

RINGKASAN LATAR BELAKANG DATO' DR HARON DIN DALAM PRAKTIK PERUBATAN ISLAM   

   Sejarah latar belakang pembelajaran Dr. Haron Din boleh didapati daripada laman web Darussyifa'. Secara ringkas, disebutkan bahawa Dr. Haron Din telah terlibat dalam bidang perubatan Islam sejak beliau masih muda lagi. Ini semua adalah hasil didikan oleh ayahanda beliau. Ayahanda beliau yang dikenali oleh orang kampung sebagai Lebai Din merupakan seorang perawat yang menggunakan ayat-ayat al-Quran, hadis dan doa-doa.

Dikatakan bahawa, minat yang ditunjukkan oleh Dr. Haron Din untuk mempelajari perubatan Islam disedari oleh ayahanda beliau. Ini menyebabkan beliau sering dibawa bersama oleh ayahandanya ketika merawat. Walaupun pada ketika itu, ayahanda beliau hanya mengajarkan perkara-perkara asas perubatan sahaja. . 


Oleh kerana beliau menyedari ilmu perubatan Islamnya masih cetek, Dr. Haron Din mengambil inisiatif sendiri belajar daripada alim ulama. Sewaktu beliau berada di Mesir menyambun
g pengajian, beliau telah memanfaatkan sepenuhnya waktu beliau di sana dengani mendalami ilmu perubatan Islam. 

Beberapa fakta menyebutkan bahawa di antara beberapa ilmu yang dipelajari ialah kaedah rawatan hypnotism daripada Doktor Kamal. Di Malaysia pula, Dr. Haron Din menuntut ilmu rawatan yang sama daripada Tuan Haji Murshidi. Beliau juga berguru dengan Sheikh Muhammad Idris al-Marbawi, Syeikh Muhammad Bayumi, Bapak Mokhtar Lintang, Tahir Abdullah, Pak Andak Noh dan Haji Husin. 

Dr. Haron Din bukan sahaja mempelajari kaedah rawatan menggunakan ayat-ayat al-Quran, hadis dan doa, bahkan beliau turut mempelajari kaedah penyembuhan menggunakan akar kayu dan tumbuh-tumbuhan. Rahsia berkaitan ilmu herba yang dipelajari beliau ini juga boleh didapati daripada buku-buku yang ditulis beliau juga. 

KESIMPULAN   

   Tuntasnya, sungguhpun banyak lagi yang wajar diperkatakan berkaitan Dr. Haron Din, namun justeru hasrat saya untuk sekadar membuat catatan serba ringkas sahaja tetapi terbeza daripada tulisan-tulisan di ruang atau komentar (akhbar dan laman internet) yang lain, maka saya ingin berhenti di sini sahaja.

Namun, ingin saya tegaskan di sini, bahawa peranan Dr. Haron Din sangat besar dalam memartabatkan sistem perubatan Islam di Malaysia. Usaha dan inisiatif beliau bukan sahaja berguna untuk masyarakat sekitar beliau berada atau kepada murid-muridnya, tetapi ia membantu memudahkan penerimaan Kementerian Kesihatan kepada ilmu dan amalan perubatan Islam sebagai salah satu amalan dalam perubatan komplementari.

Dengan adanya tulisan-tulisan beliau yang boleh digunakan sebagai teks atau modul juga, maka modul yang bersesuai mudah diterapkan dan disusun bagi tujuan pengajian akademik di mana-mana universiti atau kolej yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan  dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Akhir sekali, sebarang kesilapan di dalam artikel ini saya memohon berbanyak maaf. Tuan puan boleh membantu dengan cara membuat teguran membina dan catatan pembetulan di bawah.

Sekian. Wa Llahu a’lam.

   

HBI Health & Homoeopathy Centre
drhatta3@yahoo.com

 


Sumber:

Virtual copyright © HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE 2016