Iklan Produk HBI:

 

LAMAN KONSULTAN HBI

DRHATTA.COM 2008-2014 - HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

"Promoting Homeopathy All Malaysia Over" project for continuous publication of homeopathy books & virtual knowledge. - info HBI

Laman Utama :

 GST Tanggalkan Sifat Keperimanusiaan (13/04/15)

Sejak pelaksanaan GST selama dua minggu ini, kita dapati reaksi masyarakat berbeza-beza. Tetapi umumnya melihat kesan negatifnya jauh mengatasi kesan positif. Bagaimanapun, itu jika dilihat dari sudut rakyat dan pengguna. Bagi pemerintah dan peniaga ia mungkin positif.

Daripada respons yang kita dengar di corong-corong radio, jarang yang menyokong, yang banyaknya ialah rungutan. Apa tidaknya, bila peniaga mengambil kesempatan,dengan menaikkan harga barang, sekalipun di pasar malam.

Kita tidak menyalahkan peniaga-peniaga kecil ini keseluruhannya. Ini adalah kerana harga kebanyakan barang memang naik, jadi pendapatan benar mereka sudah jatuh. Akibatnya tidak ada cara lain bagi mereka meningkatkan taraf hidup mereka melainkan dengan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka.

 Jadi tidaklah hairan jika anda membeli sebungkus laksa RM2.50 dahulu kini sudah menjadi RM3.00, atau seketul ayam yang sudah masak dahulu RM4.00, sekarang sudah jadi RM4.50.

Apabila kami bertanya kenapa harga sudah berubah, dengan nada seloroh jurujual itu membalas, “Encik, ini belum campur GST. Kalau campur lagi mahal”.

MasyaAllah tuan-puan. Nampaknya seperti sudah tidak ada sifat ukhuwah dan persaudaraan antara penjual dengan pembeli. Yang memerlukan terpaksa menerima sahaja harga yang ditetapkan oleh penjual.

Keadaannya samalah dengan situasi ketika kami ke kedai hardware untuk membeli, paip, penyapu, bakul sampah dan seumpamanya.

Kalau sebelum ini, meskipun kami berlainan bangsa, tetapi semangat tawar menawar dan kemanusiaan itu masih tinggi dan terjalin. Jika barang itu berharga RM6.00, memang kami dapat membelinya dengan harga RM5.00 sahaja. Dan ini mengekalkan pelanggan untuk terus berurusan dengan peniaga yang pandai ini.

Malang sekali kerana sejak dikuatkuasakan GST, tiada lagi tawar menawar diberikan. Kalau harga barang tadi RM6.00, ia sudah menjadi RM6.30. Kalau sepuluh barang yang dibeli, agaknya berapa banyak yang pengguna terpaksa berbelanja untuk GST?

Kita sebagai pengguna kadang-kadang bingung mengenai pelaksanaan GST ini. Apakah yang sebenarnya dikejar? Peniaga menjadi semakin keras hatinya. Mungkin sekeras penguatkuasaan kerajaan.

Yang merana ialah rakyat yang lembut hati, yang bekerja kampung, yang bekerja makan gaji. Beberapa pekerja yang sempat kami berbual bicara hanya mampu mengeluh.

Anak-anak kita yang gemar guna internet dan membeli topup turut merungut. Sekarang mereka yang biasa berbelanja RM100.00 topup sebulan terpaksa membayar lebih RM6.00. Yang banyak bercakap dan mengguna internet, tentulah lagi besar belanjanya.

Jika begini keadaannya, sekalipun BR1M diberikan RM500 seorang hanya sekali setahun tidak akan mampu meredakan kesukaran hidup yang bertambah hari ini.

Selepas solat subuh di Kuala Lumpur tadipun, ada pekerja asing mengadu, “Sekarang apa kita boleh buat dengan gaji RM1,000 sebulan. Mau simpan seratuspun susah. Sekarang saya tinggal di surau saja, sambil tolong bersihkan surau, baru boleh jimat sikit.”

Agak-agak apa akan jadi dengan sebahagian anak-anak kita yang tidak berpelajaran tinggi. Apa kerja mereka? Berapa gaji mereka? Kereta dan rumah mahal. Pinjaman dan pemberian kad kredit mudah.

Tidakkah ini menjadi sebahagian daripada punca anak-anak muda kita muflis awal?

Wa Llahu a’lam.

 Salam daripada kami di HBI.

 

Penulis sesi ini: Admin HBI.

 

 

     
 
 

© HBI Health & Homoeopathy Centre 2015