Iklan Produk HBI:

 

LAMAN KONSULTAN HBI

DRHATTA.COM 2008-2014 - HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

"Promoting Homeopathy All Malaysia Over" project for continuous publication of homeopathy books & virtual knowledge. - info HBI

Laman Utama :

 Penubuhan Koperasi Katerer Berhad Bakal Bangun Ekonomi Melayu(02/04/15)

Semalam merupakan hari bersejarah kerana lebih 60 usahawan-usahawan katerer di Malaysia telah bersatu hati bagi menubuhkan sebuah Koperasi Katerer. Koperasi ini dinamakan Koperasi Kerjasama Katerer Berhad.

Majlis perasmian Mesyuarat Agung Penubuhan itu dibuat di Rumah Kebajikan Dan Sukan Anggota-anggota Wilayah Persekutuan (MAKSWIP), Jalan Bellamy, Kuala Lumpur. Ia telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Haji Mohamad Alayuddin Bin Che Hasan, yang merupakan Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), dan juga Yang Dipertua DPMM Putrajaya.

Selain Dato’ Alayuddin, turut sama di majlis itu ialah Prof Madya Dr. Abdul Rahman Shaik, Ketua Pengarah Maktab Koperasi Malaysia (MKM) dan dua orang pegawai MARA. Beliau dijemput oleh encik Aidil Yasin yang juga merupakan ahli DPMM, bagi pihak penubuhan Koperasi baru itu.

Apa yang menarik untuk kami kongsikan di sini ialah hasil bual bicara Dato’ Alayuddin dengan ahli Katerer semasa memberi ucapan dan sesi soal jawab.

Menurut Dato’ Alayuddin, bisnes makan memang harus sentiasa maju kerana setiap hari dan waktu ada orang hendak makan.  Cuma sama ada ia boleh survive atau tidak bergantung kepada mutu servis atau layanan dan kualiti (sedap atau tidak) makanan yang disediakan.

Tetapi bagaimanakah orang tahu makanan itu sedap atau tidak?

Lalu Dato’ Alayuddin membawa cerita sewaktu beliau mulai bisnes popia agak lama dahulu. Selepas belajar bagaimana cara membuat popia yang sedap, beliau mula berniaga. Malangnya tidak ramai yang ingin membeli. Tempat beliau berniaga berhampiran dengan sebuah kedai India yang sudah terkenal. Pelanggan di kedai India itu ramai kerana sudah terkenal sedap.

Melihat keadaan itu, beliau lantas pergi membeli popia peniaga India itu dan cuba rasa hasil masakannya. Beliau mendapati popia yang beliau sediakan lebih sedap, tetapi oleh sebab popia beliau belum dikenali menyebabkan tidak ramai pelanggan yang datang membeli.

Maka terlintas di fikiran beliau untuk memberi pengguna merasa popia beliau. Beliau melakukan testing percuma itu selama seminggu kepada pengguna yang lalu lalang. Selepas itu, apabila beliau membuka jualan, barulah popianya laris seperti goreng pisang.

Justeru, beliau menekankan bahawa seorang usahawan juga harus pandai mencipta brand. Tunjukkan imej bermutu kepada produk yang dihasilkan. Apabila produk itu sudah dikenali ramai, akan mudahlah usahawan memasarkan produk mereka.

Apabila seorang ahli Katerer bertanya kepada beliau berkaitan keahlian DPMM, beliau turut mengatakan bahawa ahli-ahli DPMM tidaklah sekuat ahli Dewan Perniagaan China. Ramai yang masuk kerana ingin mendapat bantuan daripada kewujudan Dewan itu berbanding yang boleh membantu.

Beliau mengharapkan lebih ramai orang Melayu bekerjasama, kurangkan sifat iri dan dengki sesama sendiri. Kata beliau, “Meskipun orang Melayu merangkumi 67% penduduk di Malaysia, tetapi sampai hari inipun penguasaan ekonomi hanya sekitar tiga (3) peratus sahaja”. Apa yang disebut 17% ialah selepas dimasukkan pelbagai syarikat yang dibangunkan termasuk Petronas, Tabung Haji dan sebagainya. Jadi, masih sangat banyak yang harus dan perlu kita orang Melayu lakukan bagi mencapai penguasaan tiga puluh peratus (30%) penguasaan ekonomi.

Kata Dato’ Alayuddin lagi dalam bicaranya, brand halal itu adalah satu keistimewaan bagi orang Melayu Islam. Kita seharusnya menghargai kelebihan itu. Kata beliau, persepsi orang asing sendiri terhadap HALAL sangat tinggi. Orang Rusia sendiri sanggup memberikan ratusan ekar tanah untuk dibangunkan hab halal. Tetapi yang sedihnya, kita tidak mempunyai cukup fulus.

Demikian sedikit intisari yang bermakna yang dapat kami kutip untuk dihidangkan kepada pelayar laman web ini.

Kami di HBI juga berharap agar orang Melayu semakin bijak berfikir dan berpandangan jauh. Mereka seharusnya mengamalkan sikap suka berkongsi pengalaman dan rezeki di samping bekerja keras dan kreatif. 

Dengan pelaksanaan GST sejak semalam dan dengan banyak bantuan yang diberikan oleh pelbagai agensi, orang Melayu harus bergerak maju lebih jauh ke hadapan. Jika ramai daripada mereka yang berniaga tanpa peroleh bantuan boleh berdaya maju, mengapa pula yang mendapat bantuan tidak boleh maju?

Salam maju jaya dalam apa jua yang kalian kerjakan daripada kami di HBI. Was salam.

 

 

Penulis sesi ini: Admin HBI.

 

 

     
 
 

© HBI Health & Homoeopathy Centre 2015