Iklan Produk HBI:

 

LAMAN KONSULTAN HBI

DRHATTA.COM 2008-2015 - HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

"Promoting Homeopathy All Malaysia Over" project for continuous publication of homeopathy books & virtual knowledge. - info HBI

Laman Utama :

  Penulisan Buku-buku Homeopati Dan Pasaran Online (05/12/15)

Buku Homeopati Keempat

  Buku homeopati keempat diterbitkan pada tahun 2001. Ini merupakan suatu perkara yang agak mengejutkan dan tak dijangka. Ketika itu kami menggambarkan seolah-olah hasrat penulisnya, Mohamed Hatta Abu Bakar HMD, untuk mempastikan beliau dapat menghasilkan sebuah buku setiap tahun akan berjaya.

  Apabila HBI bertanya kepada belliau, penulisnya menerangkan bahawa perkara itu menjadi kenyataan bukan semata-mata kerana komitmen beliau untuk terus-menerus menulis, tetapi juga kerana beliau sudah menulis sebahagian daripada bahan-bahan di dalam buku tersebut dua atau tiga tahun sebelumnya.

  Pada masa itu, ia hanya perlu kepada tekad yang sungguh-sungguh untuk mengedit dan menerbitkannya sebagai sebuah buku. Alhamdulillah, pihak HBI pula dapat menerbitkan tepat pada masanya.

  Buku itu diberi tajuk "Penyakit Kanak-kanak dan Rawatan Homeopati". Buku itu kecil sahaja, tetapi namanya cukup panjang. Namun kami tidak mempunyai banyak pilihan kerana intisari buku tersebut memang tepat dengan tajuk yang disarankan.

  Kebetulan pula telah menjadi suatu trend pada waktu itu banyak buku-buku perubatan dalam bahasa Melayu dan Inggeris dikeluarkan berkaitan dengan kesihatan, first-aid, pengurusan kesihatan ibu-ibu yang sedang hamil atau bakal hamil dan juga tentang penyakit-penyakit untuk pengetahuan awam.

  Apabila buku keempat itu dibawa ke seminar-seminar homeopati oleh Perubatan Homeopathy Mulia dan Homeopathy Shafii, nampak sambutan daripada pengamal dan peminat sangat memuaskan.

  Buku "Penyakit Kanak-kanak dan Rawatan Homeopati" ini adalah suatu buku yang berbeza daripada sebelumnya kerana penulis menghuraikan mengenai penyakit-penyakit yang lazim dialami oleh kanak-kanak kemudian mengemukakan beberapa saranan penjagaan kesihatan dan beberapa remedi homeopati yang bersesuaian dengan simptom.

Buku Homeopati Kelima

  Setahun kemudian, perkembangan penulisan buku-buku homeopati nampak konsisten. Tidak ramai yang menyangka bahawa hanya dalam masa setahun sahaja tiba-tiba buku seterusnya muncul dalam pasaran.

  Bila kami menyebutkan pasaran tidaklah bermakna ianya diedar secara meluas di pasaran dan di semua kedai-kedai buku dan perpustakaan. Malahan edarannya sangat terhad.

  Bahkan sejak buku homeopati kedua ditulis dan diterbitkan, kami tidak lagi menawarkan buku-buku itu ke perpustakaan selain daripada hantaran wajib ke Perpustakaan Negara Malaysia.

  Kedai-kedai yang menerima buku-buku kami hanyalah kedai-kedai di mana ubat-ubat import dan bekalan farmasi diperoleh oleh pengamal. Selain itu, kami mulai membuat pasaran secara online.

  Itulah sebabnya, apabila kita bicarakan mengenai homeopati online, pihak HBI sebagai pengeluar buku sebanyak lima buah ketika itu, telahpun mula berjinak dengan pemasaran secara online.

  Melalui tapak geocities dan tripod ketika itu, buku "Rawatan Asas Homeopati" memasuki pasaran dengan pantas. Sambutannya adalah sederhana kerana telah banyak tajuk-tajuk di dalamnya ditulis oleh penuis-penulis yang pernah menulis buku homeopati.

  Sungguhpun bukunya simple dan kecil, tetapi buku "Rawatan Asas Homeopati" berbeza kerana ia mengandungi bahagian bahan-bahan first aid, ringkasan penawar first-aid, rawatan untuk kecemasan-kecemasan asas dan juga penawar-penawar first aid istimewa yang boleh digunakan sebagai rawatan pencegahan.

  Sebagai bonus untuk pengguna, buku 'Rawatan Asas Homeopati" turut memuatkan doa-doa dan adab-adab melawat pesakit yang diselitkan di bahagian terakhir bab buku tersebut.

  Selepas penerbitan buku kecil itu, penulisnya telah merancang untuk menerbitkan kumpulan esei pula. Di sini beliau merasakan sedikit kesukaran kerana beberapa pengamal dan penulis yang ditemui tidak boleh memberikan komitmen untuk menyiapkannya dalam masa terdekat.

  Justeru beliau memilih untuk menterjemah beberapa karya Inggeris homeopath terkenal dan mendapatkan seorang atau dua kawan sahaja untuk melengkapkan kumpulan esei tersebut.

Buku Homeopati Keenam

  Oleh kerana banyak pengumpulan dan usaha mengedit perlu dilakukan, buku perubatan homeopati keenam hanya dapat diterbitkan pada penghujung tahun 2004.

  Buat kali pertamanya, buku ini menggunakan kilang percetakan di Melaka. Dan buku yang diiterbitkan itu diberi nama "Esei-esei Milenium Baru".

  Walaupun di bahagian atas kulit depan ditulis "Siri Buku Homeopati", namun nampaknya nama buku itu tidak menarik. Seorang pakar dalam penerbitan buku-buku ilmiah menegur HBI dan menyatakan sepatutnya buku itu diberi tajuk "Menyelongkar Alam Perubatan Homeopati".

  Di sini, terserlah sedikit kegagalan dalam memberi judul buku dalam rangka usaha untuk menarik pembeli dan memberi nama secara tepat dan menimbulkan aura.

  Kendatipun, kami mengucapkan berbanyak terima kasih atas sumbangan karya dua orang penulis lain dalam buku tersebut iaitu Dr. Kamaruddin Musa dan Dr(H) Idris bin Abdul Samad.

  Apa yang istimewa di dalam buku ini ialah penyusun telah berjaya membawa masuk tulisan mengenai dua orang tokoh pengasas perubatan homeopati Malaysia sebagai bahagian atau agenda penting dalam usaha mengkhazanahkan sumbangan pengamal-pengamal besar.

  Pihak HBI menjangka untuk sekali lagi mengeluarkan buku yang berupa kumpulan esei seperti "Esei-esei Milenium Baru", tetapi hasrat itu masih terbantut sehingga ke hari ini.

  Lebih daripada itu, tahun-tahun berikutnya kelihatan kegersangan dalam penerbitan buku-buku homeopati oleh penerbit HBI Health & Homoeopathy Centre justeru tiada buku-buku homeopati diterbitkan selepas itu untuk selama lebih tiga tahun.

  Maka pemasaran secara online ketika itu sekadar terhad kepada enam buah buku yang diterbitkan sahaja. Tetapi untuk mengisi ruang itu, beberapa CD homeopati dibuat dan dijual sebagai tambahan produk. Ketika itu juga bisnes homeopati online semakin rancak.

 Salam daripada kami di HBI.

 

Penulis sesi ini: Admin HBI.

 

 

     
 
 

HBI Health & Homoeopathy Centre 2015