Iklan Produk HBI:

 

 

LAMAN KONSULTAN HBI

DRHATTA.COM 2008-2015 - HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

"Promoting Homeopathy All Malaysia Over" project for continuous publication of homeopathy books & virtual knowledge. - info HBI

Laman Utama :

  Dr Hatta : "Istanbul Aku Datang" (23/12/15)

 Hanya dalam waktu yang cukup singkat, tiba-tiba Admin HBI dimaklumkan bahawa Dr Hatta konsultan homeopati online HBI sudah meninggalkan Malaysia menuju kota Istanbul. Kata sumber, Dr Hatta berangkat untuk ziarah ke Istanbul, sebelum terbang ke Madinah dan Makkah untuk melaksanakan ibadat umrah.

  Beberapa foto dan maklumat yang sampai, menunjukkan beliau sudahpun melawat Masjid Biru dan AyaSofiya keesokan harinya selepas Dr Hatta tiba di Istanbul pada hari Isnin, 14hb Disember 2015.

  Menurut Dr Hatta, beliau mengikut rombongan AJK Surau An-Nur yang berangkat melakukan ziarah dan umrah menerusi Quba Holidays Sdn Bhd. Rancangan umrah dan ziarah itu adalah selama 14 hari di mana lawatan ke Istanbul hanya selama 4 hari tiga malam.

  Pada 17hb, Dr Hatta dan rombongan akan terbang ke Jeddah melalui transit Cairo.

  Pada 15hb, ketika beliau dibawa oleh tourist guide mengenali tempat-tempat bersejarah utama, kami dimaklumkan cuaca di Istanbul amat sejuk, suhunya berada di bawah 10 darjah Celsius.

  Tempat pertama yang rombongan Dr Hatta dibawa melawat ialah Masjid Biru dan Hagia Sophia. Ia diberikan nama Masjid Sultan Muhammad al-Fateh kerana beliau adalah orang yang bertangungjawab menakluk Konstantinopel pada tahun 1453 Masehi.

  Ia juga dikenai sebagai masjid biru kerana masjid yang didirikan oleh al-Fateh (Sultan Ahmet 1) mempunyai dinding dan dekorasi dalaman yang berwarna biru. Kedudukan masjid ini dibangunkan bersetentang dengan AyaSofiya.

  AyaSofia dikatakan telah dibangunkan dan digunakan sebagai gereja kristian selama 916 tahun sebelum ditukar menjadi sebuah masjid oleh Sultan Muhammad al-Fateh. Apabila ia ditukarkan kkepada masjid semua lambang-lambang termasuk lambang malaikat Jibrail ditutup dan nama-nama Allah, Nabi Muhammad s.a.w serta nama khalfah diukir dan diletakkan di atas dindingnya.

  Ayasofia sempat dgunakan sebagai Masjid selama 482 tahun. Selepas itu, atas arahan Mustafa Kamal Ataturk, masjid itu diubah semula menjadi sebuah muzium pada tahun 1935 M, dan gambar atau lambang-lambang yang ditutup dahulu dibuka semula. Bagaimanapun ada sebahagian kawasan masjid itu masih digunakan sebagai tempat sembahyang.

  Kami diberitahu oleh Dr Hatta bahawa selepas melawat Blue Mosque dan AyaSofiya (atau Hagia Sophia) yang merakam sejarah sejak zaman Romawi dan Greek, beliau singgah membeli-belah di sebuah tempat di mana mereka dapat membeli Turkish Delight yang enak rasanya pada harga yang cukup ekonomi.

  Untuk pergi ke Mevlana Bazaar, mereka terpaksa melalui jalan yang cukup sempit, tetapi rumah-rumah dan kedai-kedai kecil di sekitarnya tersusun rapi. Selepas itu, barulah mereka dibawa menikmati makan tengahari, masakan budaya restoran Turki, seperti yang dinikmati di hotel sebelumnya.

  Dr Hatta juga sempat menaiki cruise bersama rombongan yang dituntun oleh tourist guide bernama Luna yang sangat fasih berbahasa Indonesia. Untuk ke jeti bagi menaiki feri cruise itu, mereka dihantar dengan bas dan menyeberangi sebuah jambatan terlebih dahulu.

  Dengan menaiki cruise itu, mereka dibawa menyusuri jalan air Selat Bosphorus untuk menikmati keindahan pemandangan dan bangunan-bangunan bersejarah di zaman kerajaan Ottoman sehingga ke era kejatuhan zaman kerajaan Othmaniyah di Turkey.

  Selat Bosphorus menghubungkan antara bumi Eropah dan Asia. Kata Dr Hatta, beliau mengagumi keindahan bumi dan bangunan-bangunan yang berbaris di sebelah kiri dan kanan selat berkenaan. Dari cruise itu juga ada sebuah istana kerajaan Othmani yang dapat dilihat dengan memuaskan. Cukup unik dan berbeza. Tapi oleh kerana angin yang kuat, kebanyakan ahli rombongan cruise menyatakan kesejukan yang amat.

  Selesai menaiki cruise, mereka dibawa kembali menyeberangi jambatan untuk pergi solat di sebuah masjid berdekatan dengan "spice bazaar". Tetapi sebelum itu mereka juga melawat Sulaimaniye Mosque.

  Apabila mereka kembali ke hotel Ramada Encore, hari sudah malam dan semuanya terpaksa jama' ta'khir Maghrib dan i'sya. Namun justeru masing-masing kelaparan, semua anggota rombongan terus ke cafe hotel dan mendapatkan hidangan nasi dan pelbagai jenis roti dengan lauk-pauk ala Turki.

  Kami dimaklumkan bahawa tempat-tempat yang hendak dilawati rombongan Dr Hatta memang telah dipilih khas untuk mereka kerana waktu untuk dua hari lawatan tidak akan dapat membuat aktiviti ziarah ke semua tempat sepenuhnya.

  Sepanjang hari pertama itu juga, mereka telah terserempak dengan beberapa rombongan dari Malaysia. Ada juga yang mengikuti rombongan ziarah Tabung Haji untuk sembilan hari dengan beberapa destinasi bandar-bandar bersejarah untuk dilawati. Justeru, tidak hairanlah jika para jurujual di spice bazaar cuba memujuk dengan bertutur beberapa perkataan Bahasa Malaysia atau Indonesia. 

  Pada hari kedua, bermula jam 8.30 pagi bas rombongan Dr Hatta bertolak pula ke sebuah istana yang besar dengan tembok-tembok berzaman yang didirikan dan didiami oleh kerajaan Othmaniyah selama lebih kurang 400 tahun.

  Oleh kerana ia sudah diubah menjadi sebuah museum, pengawal-pengawal bertugas mengawalnya dengan penuh dedikasi. Pelawat yang datang boleh mengambil gambar di bahagian luar bangunan, tetapi mereka tidak diizinkan mengambil foto-foto bahan bersejarah di dalam.

  Di sini, rombongan Dr Hatta mendapati muzium ini turut menyimpan pedang, jubah dan janggut Rasulullah s.a.w. Terdapat juga pedang Nabi Allah Daud a.s., tongkat Nabi Musa a.s., dan jubah Sayyidina Fatimah az-Zahra serta beberapa simpanan sejarah para sahabat Nabi Muhammad s.a.w.

  Sungguhpun ada juga di kalangan pelancong yang mencuri-curi mengambil gambar, Dr Hatta memaklumkan bahawa rombongannya tidak berbuat demikian di dalam muzium. Mereka hanya mengambil gambar di bahagian luar dan menikmati keunikan susun atur laman-laman di dalam istana.

  Selepas menziarahi bangunan istana Tokappi atau "cannonball gate", mereka dibawa ke sebuah restoran cina untuk menikmati juadah tengahari. Di situ, beliau mendapati pelayan restoran juga adalah orang-orang Istanbul.

  Dr Hatta menceritakan bahawa sejak daripada awal mereka menaiki bas di Istanbul itu lagi, Luna selaku tourist guide menyatakan "tidak ada sesiapa harus merasa risau untuk makan di Istanbul kerana semuanya halal. Ini adalah disebabkan 98% rakyatnya adalah terdiri daripada orang-orang Islam".

  Ini merupakan suau ironi berbanding dengan negara kita Malaysia yang mana sekarang semakin ramai rakyat Malaysia menjadi serius dengan status makanan halal selagi sesuatu barang itu tidak ada logo halal, khususnya logo halal JAKIM. Dan sebahagian ahli rombongan bercakap-cakap sesama sendiri, "walaupun logonya halal tetapi pemilik kilang dan bisnes itu kebanyakannya bukan dari kalangan orang Melayu Islam". Bagi orang-orang Islam pula yang bisnes mereka secara kecil-kecilan, menjadi begitu sukar bagi mereka mendapatkan logo halal.

  Tempat lawatan untuk membeli-belah di sebelah petang 16 Disember itu ialah di Grand Bazaar. Bersebelahan dengannya, ada juga sebuah masjid di mana rombongan Dr Hatta sempat menunaikan solat Zuhur dan 'Asar.

  Grand Bazaar adalah kedai-kedai di mana para pelancong dibawa melawat. Mereka dimaklumkan bahawa di Grand Bazaar, terdapat lebih kurang 4,000 kedai. Mereka diminta untuk bermula Gate 1 dan bila pulang harus tunggu di Gate 1. Mereka juga dinashatkan berjalan secara berkumpulan sebab dibimbangi akan tersesat dan keluar melalui Gate lain.

  Hari sudah benar-benar waktu malam apabila mereka dibawa berjalan-jalan ke gerai-gerai seperti Pasar Palam berhampiran dengan Hard Rock Cafe, Istanbul. Namun waktu baru menunjukkan pukul lima petang, meskipun ia sudahpun melepasi waktu maghrib kerana sebelah siang yang pendek di musim sejuk.

  Dr Hatta dan rombongan dibawa ke tempat yang amat bersejarah sekalipun itu adalah lawatan yang terakhir. Tempat itu ialah Makam Abu Ayyub al-Ansari, seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang mana telah dipilih oleh unta baginda sebagai tempat menginap ketika baginda berhijrah dari Mekah ke Maidnah.

  Dalam sejarah Islam, Abu Ayyub dikatakan telah mengikut rombongan tentera untuk menakluk Konstantinopel di zaman Mu'awiyah. Luna, tourist guide, menceritakan bahawa tentera Islam yang disertai oleh Abu Ayub tidak berjaya menakluki Konstantinopel ketika itu. Jadi, tidak dipastikan sama ada beliau syahid ataupun meninggal dunia.

  Cerita di luar pula menyatakan bahawa saat merebut kota Konstantinopel itu, Abu Ayub mengalami luka parah, lalu Yazid bin Mu'awiyah bertanya kepada beliau, "Apakah permintaan tuan hamba?" Justeru, Abu Ayub berwasiat agar jasad beliau nantinya diangkut dengan kudanya untuk dibawa ke tempat sejauh mungkin di negeri musuh serta dikuburkan di sana.

  Luna menyatakan, mungkin kisah Abu Ayub yang tersebar di Turki berbeza dengan yang diceritakan oleh orang luar, tetapi kubur Abu Ayub dihormati oleh orang-orang Kristian. Mereka menganggap beliau sebagai orang yang suci. Apabila Sultan Muhammad al-Fateh menakluki kota Konstantinopel yang kemudian dinamakan Istanbul, beliau telah memerintahkan agar makamnya dijaga dan sebuah masjid didirikan di sebelahnya.

  Melawat makam sahabat Nabi s.a.w, adalah lawatan rombongan Dr Hatta yang terakhir. Keesokannya, beliau dan rombongan berangkat ke lapangan terbang untuk menuju Jeddah..

 (artikel ini akan diedit lagi...)

Penulis rakaman lawatan ini: Admin online HBI.

 

 

     
 
 

HBI Health & Homoeopathy Centre 2015