Iklan Produk HBI:

 

 

LAMAN KONSULTAN HBI

DRHATTA.COM 2008-2015 - HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

"Promoting Homeopathy All Malaysia Over" project for continuous publication of homeopathy books & virtual knowledge. - info HBI

Laman Utama :

  Mari Kenali Rawatan Homeopati (31/12/15)

 Homeopati merupakan salah satu perubatan alternatif yang diiktiraf di Malaysia. Ia berasal dari negara German dan diasaskan oleh seorang doktor perubatan konvensional bernama Dr. Samuel Hahnemann.

DASAR SISTEM HOMEOPATI

  Dasar kepada sistem perubatan ini ialah ubat-ubat yang dipreskripsi membantu memperkasakan tenaga hayat (vital force) pesakit bagi melawan semula penyakit yang dihidapi. Apabila seorang pesakit diberikan ubat homeopati, ubat itu tidak berfungsi seperti antibiotik ataupun supresan, sebaliknya ubat homeopati akan bekerjasama dengan tubuh bagi menyingkir penyakit.

  Prinsip fundamental perubatan homeopati diadun dalam istilah "Similia Similibus Curentur" atau diertikan sebagai "Serupa dengan yang serupa menyembuhkan". Maksudnya tersirat di dalam nama perubatan homeopati itu sendiri, yang mana bahasa asalnya ialah "homoios", yang bermakna "serupa" atau seiras, dan "pathos" yang bermaksud "penyakit" atau "perasaan".

  Berasalkan dua perkataan itulah tercantum istilah "HOMOEOPATHY", istilah yang diberi nama oleh Hahnemann, dan pernah diutarakan oleh Hippocrates beberapa abad sebelumnya. Di dalam bahasa Malaysia, istilah homeopathy dieja 'homeopati', seperti yang terdapat di dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

UNDANG-UNDANG SERAKSI

  Istilah "Law of Similars" yang selalu disebut-sebut oleh pengamal homeopati sebenarnya bererti "Undang-undang Keserupaan". Prinsip Undang-undang Keserupaan tidak sama dengan terjemahan rambang sebagai prinsip persamaan. (Lihat: http://www.homeoint.org/articles/malay/truemeaning.htm). Pengertian rambang itu kadang-kadang menyebabkan kefahaman yang salah terhadap makna dan sistem perubatan homeopati itu sendiri. 

  Prinsip kesembuhan paling asas ini bermaksud "dalam rawatan homeopati, ubat atau penawar homeopati yang hendak diberikan kepada pesakit itu lazimnya merupakan penawar yang mampu menghasilkan simptom-simptom penyakit yang serupa jika ianya diambil atau diuji oleh orang yang sihat".

  Undang-undang Keserupaan ini lebih sesuai disebut sebagai Undang-undang Seraksi, iaitu istilah yang popular di kalangan pengamal-pengamal homeopati peringgkat awal di Malaysia.

SIMPTOM DALAM HOMEOPATI

  Dalam perubatan homeopati, kita menggunakan istilah SIMPTOM dan bukannya GEJALA. Ini adalah kerana seorang pengamal homeopati harus memperhatikan kesemua simptom pesakit sama ada ianya bersifat objektif atau subjektif. Gejala (signs) adalah istilah yang digunakan dalam perubatan modern yang hanya merujuk kepada simptom objektif sahaja. (Lihat: http://www.homeoint.org/articles/malay/diagnosis.htm)

   Sebagai contoh: kita lihat simptom keracunan makanan di kalangan pesakit umumnya ada tanda-tanda seperti cirit-birit, muntah-muntah, pucat dan letih. Secara amnya pesakit itu boleh dirawat secara homeopati menggunakan Arsenicum kerana senarai simptom tadi serupa dengan simptom-simptom Asenicum seperti yang telahpun diujibuktikan penawarnya di dalam homeopati.

  Tetapi jika punca keracunan itu berbeza, atau ada unsur emosi yang menyebabkan pesakit tadi mendapat cirit-birit, penawar Arsenicum tadi mungkin sudah tidak bersesuaian dan harus digantikan dengan penawar homeopati yang lain.

  Sukar memahaminya? Tetapi itulah kaedah dalam rawatan homeopati yang sebenar. Kita tidak boleh mempermudahkan kefahaman dengan mengorbankan prinsip asas ini. Dan inilah hakikat sistem perubatan homeopati.

UNDANG-UNDANG DOS MINIMUM

  Satu prinsip lagi di dalam amalan perubatan homeopati ialah "Law of Minimum Dose". atau "Undang-undang Dos Minimum". Ini bermaksud bahawa ubat atau penawar homeopati yang diberikan itu adalah dalam dos yang diperhaluskan. Dos yang diperhaluskan menerusi konsep dynamisation ini membantu menjadikan ubat-ubat homeopati lebih selamat kepada manusia dan haiwan.

  Di dalam ubat homeopati yang dimaksudkan ini, kandungan dadah/drug yang umumnya terdapat dalam dos kasar/herba/ubat-ubat modern berjaya diperkecilkan, sedangkan pada waktu yang sama kuasa penawar atau ubat-ubat homeopati tadi berjaya ditingkatkan. Inilah dos yang umum dipakai oleh pengamal homeopati di Malaysia. Dos ini adalah dos paling selamat dan berkesan.

  Di Malaysia, ada satu kajian pernah dibuat berkaitan kandungan di dalam ubat-ubat homeopati yang digunakan di pusat rawatan (http://www.ukm.my/mjas/v7_n1/03-amran13.pdf) tetapi malangnya kajian itu tidak menjelaskan potensi berapa yang dipakai, apakah ia tinktur ibu (mother tincture) atau tinktur (dilution), dan berapa titikkah yang dipakai dalam kajian? Walaupun akses kepada ubat-ubat homeopati yang dibuat melalui seorang pengamal homeopati, tetapi persoalan ini tidak ada maklumat dalam data kajian.

  Semua ini memberi pengaruh yang besar. Bagi kami kajian itu adalah dibuat secara rambang kerana asas bahan yang digunakan itu tidak menepati apa yang didispenskan sebenar dalam rawatan homeopati. Bahkan jika sampel Arsenicum album yang digunakan itu pada potensi 3x sekalipun, tetapi jika diambil globul 100 biji yang dititik hanya dengan setitik atau dua titik tinktur 3x tidak memungkinkan kesan seperti yang dirumus dalam kajian berkenaan.

  Kajian itu seharusnya dibuat sekali lagi dan mestilah mendapat nasihat daripada pengamal homeopati yang bertanggungjawab, yang memahami Organon dalam preskripsi remedi. Kajian yang semata-mata berniat mencari bahan dan melonggokkan sebanyak mana tinktur dan tanpa mengira potensi berapa yang diambil, adalah kajian semberono.

KONSULTASI HOMEOPATI

  Dalam rawatan homeopati klasik, kita akan mendapati sesi konsultasi adalah tahap paling penting bagi tujuan mengutip data berkaitan pesakit, sama ada ianya berupa data simptom fizikal, emosi ataupun mental. Kesalahan pengambilan data memungkinkan ubat homeopati yang salah diberikan. Jika ini berlaku, sesi konsultasi homeopati itu tidak berjaya sepenuhnya.

  Untuk pengamal homeopati mempreskripsi ubat homeopati, mereka tidak memerlukan data fizikal diagnosis seperti yang diambil oleh pengamal perubatan modern. Tetapi hasil diagnosis perubatan modern mungkin akan membantu pemilihan ubat yang lebih tepat dalam sesetengah kes yang kompleks.

  Dalam banyak kejadian, sementara menunggu laporan diagnosis seperti ujian makmal dan x-ray, penyakit pesakit telah menjadi semakin parah. Pada ketika hasil diagnosis diterima, keadaan pesakit sudah menjadi semakin kronik dan rawatan sudah terlambat.

  Inilah kelebihan sistem holistik rawatan homeopati. Ada waktunya, ia mendahului rawatan konvensional. Bahkan penyakit yang belum hadir secara fizikal itu mungkin boleh dirawat lebih awal.

KES RAWATAN HOMEOPATI

  Saya pernah mendapat kes di mana seorang pesakit meronta-ronta minta dirawat kerana jantungnya rasa ketat seperti tali mencerut jantungnya. Sudah puas beliau pergi membuat ujian x-ray di klinik swasta dan ujian di sebuah hospital kerajaan, namun semua laporan makmal mengatakan beliau tidak sakit.

  Beliau menderita sakit, tetapi keputusan ujian menyatakan beliau tidak sakit. Apabila saya menemubual klien dalam sesi konsultasi homeopati dan merawatnya menggunakan satu ubat homeopati yang seraksi, dalam masa seminggu simptom yang dialaminya hilang dan sembuh.

  Isunya sekarang ialah "Apakah kita harus menunggu sakitnya disahkan oleh alatan makmal baru kita hendak merawatnya?" Inilah salah satu kelebihan rawatan homeopati. Kerana itu juga homeopati boleh dianggap sebagai penyelamat. Apabila saja pesakit rasa tidak selesa, sakit atau kehidupannya terganggu, beliau boleh menceritakan semua simptom yang dialami buat ditafsir dan dicarikan penawar homeopati yang seraksi untuknya.

  Jika pesakit itu harus menunggu sehingga kuman atau virus ditemui, terdapat rongga dan kelainan pada filem x-ray baru hendak dikenalpasti penyakit dan dicarikan ubat, hasil penemuan itu sudah berada beratus kilometer lewat berbanding rumusan yang boleh dikutip oleh pengamal dan diberikan penawar.

RAWATAN HOMEOPATI RAWATAN HOLISTIK

  Oleh kerana homeopati merawat secara holistik dan mengutip seluruh maklumat  berkaitan pesakit secara keseluruhan, termasuk sejarah keluarga dan sebarang pengaruh persekitaran, faktor-faktor pemilihan penawar menjadikan penawar atau ubat homeopati yang diberikan itu lebih spesifik bagi pesakit berkenaan.

  Lantas, adalah perkara biasa dalam amalan perubatan homeopati, dua pesakit berlainan berkemungkinan mendapat preskripsi ubat homeopati yang berlainan ataupun dalam potensi ubat yang berbeza.

  Tiga orang pesakit yang mengalami demam di musim tengkujuh dan cuaca kerap berubah daripada panas, tiba-tiba hujan dan kesejukan. Apakah semua pesakit harus diberikan ubat yang sama seperti paracetamol dalam perubatan modern?

  Sudah pastinya tidak? Rawatan homeopati bukan saja holistik tetapi juga individualistik. Seorang daripada pesakit itu mungkin diberikan Arsenicum, seorang diberikan Dulcamara dan yang seorang lagi mungkin sesuai dengan Beladonna.

  Pelik? Tetapi itulah sistem rawatan dalam amalan perubatan homeopati. Perbezaan penawar yang diberikan kepada ketiga-tiga orang pesakit itu adalah tentunya berasaskan konsultasi lanjut yang dibuat dalam bilik rawatan homeopati.

  Setiap penawar yang diberikan itu adalah berpandukan keseluruhan simptom yang dikutip dalam sesi konsultasi. Justeru, sesi konsultasi dalam perubatan homeopati tidak boleh diabaikan. Dan kerana itu juga, pesakit atau klien harus bersikap jujur dan memberikan sepenuh kerjasama kepada pengamal homeopati yang ditemui.

NILAI SESI KONSULTASI HOMEOPATI

  Oleh kerana sesi yang panjang dikendalikan oleh seorang pengamal, pengamal homeopati itu juga wajar diberikan bayaran sewajarnya sekalipun ia mungkin lebih mahal darpada seorang doktor biasa.

  Jika seorang kaunselor boleh caj sebanyak RM180 bagi satu sesi rawatan kaunseling terhadap klien, tidakkah patut pengamal perubatan homeopati juga layak mendapat caj sekurang-kurangnya RM50 bagi satu sesi konsultasi (tidak termasuk kos ubat).

  Dalam keadaan bagaimanapun, oleh kerana seorang pengamal homeopati juga harus bersikap emphathy, pengamal perubatan homeopati tidaklah seharusnya mengambil kesempatan mengenakan caj rawatan konsultasi sesuka hati.

  Caj ini wajarlah diselaraskan mengikut budi bicara dan muafakat badan payung homeopati, iaitu Majlis Perubatan Homeopathy Malaysia (MPHM).

 Salam daripada kami dan Selamat Menyambut Tahun 2016.

 

Penulis sesi ini: drhatta, konsultan HBI.

 

 

     
 
 

HBI Health & Homoeopathy Centre 2015