Iklan Produk HBI:

 

LAMAN KONSULTAN HBI

DRHATTA.COM 2008-2014 - HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

"Promoting Homeopathy All Malaysia Over" project for continuous publication of homeopathy books & virtual knowledge. - info HBI

Laman Utama :

 ISU PRODUK USAHAWAN BUMIPUTERA KURANG DI HIPERMARKET (19/02/15)

Pada 16 hingga 18 Februari 2015, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)  telah mengadakan satu Lab atau bengkel bagi menangani masalah yang berterusan, iaitu isu barangan usahawan tempatan teramat kecil atau sedikit berada di dalam hipermarket tempatan dan asing.

  Ketua Setiausaha Kementerian KPDNKK iaitu Dato' Azmi bin Hj Lateh, Timbalan KSU KPDNKK telah hadir merasmipan program berkenaan pada 16 Februari di Institut Aminuddin Baki, Genting Highland.

  Antara wakil hipermarket yang dipanggil untuk duduk semeja dengan usahawan tempatan termasuklah Hipermarket Giant, TESCO, AEON, OCEAN dan MyDin.

  Selain usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Kementerian juga mengambil inisiatif menjemput wakil-wakil agensi yang selama ini banyak membantu usahawan bumiputera seperti TERAJU, MARA, SKM dan lain-lain.

  Dalam bengkel itu, kita dapati banyak aduan daripada usahawan berkaitan kesukaran mereka memasuki produk masing-masing ke dalam pasaraya atau hipermarket, khususnya hipermarket asing. Ada yang mendakwa bahawa pasaraya asing melihat produk tempatan sebagai kurang bermutu selain terdapat unsur pilih kasih dalam menempatkan produk mereka di dalam rak-rak utama yang menarik. 

  Sementara itu, pihak hipermarket pula memaklumkan bahawa sebahagian usahawan tempatan tidak peka dengan peraturan hipermarket, di samping mereka gagal mempromosi barang mereka sehingga jika lebih banyak ruang disediakan akan menyebabkan pusingan stok menjadi perlahan kerana jualan barangan mereka tidak selaju produk import atau syarikat besar multinasional.

  Di satu segi yang lain, pengeluar tempatan daripada Industri Kecil dan Sederhana melihat seolah-olah hanya pasaraya atau hipermarketlah tempat melariskan produk mereka. Jika mereka tidak dapat memasuki pasaraya, produk mereka sukar dijual dan syarikat mereka tidak dapat maju ke hadapan.

  Menurut wakil hipermarket asing, meskipun ruang telah diberikan kepada sesetengah produk, sesetengah daripadanya terpaksa dikeluarkan daripada rak kerana kekurangan permintaan daripada pengunjung hipermarket.

  Di antara beberapa sebab yang ketara menyebabkan hal demikian berlaku ialah kerana mereka kurang berusaha mempromosi produk-produk mereka, tidak ada usaha menghantar staf atau pekerja bagi menjalankan sampling di hipermarket, tidak ada sijil pengiktirafan dan tidak sensitif dengan imej dan kualiti produk.

  Beberapa wakil hipermarket asing mengatakan mereka sekadar menghantar barangan ke pasaraya dan tidak ada tindakan susulan selepas itu.

  Sebaliknya terdapat juga isu hipermarket  meniru produk tempatan dan mengeluarkan sendiri produk atas jenama pasaraya. Sekiranya mereka mengambil bekalan daripada usahawan bumiputera, perkara itu tidaklah suatu masalah yang besar. Malanglah bagi bumiputera jika mereka mengambil pembekal asing bagi membekalkan produk atas jenama pasaraya sendiri.

  Satu isu menarik dalam Lab itu ialah dakwaan pengeluar produk makanan kucing bumiputera Vita-Cat terhadap sebuah pasaraya yang menggunakan jenama baru yang mengelirukan pengguna iaitu Vita-Pet. Ini dinyatakan oleh Datin Sopheia Ali, pengasas makanan kucing yang diperbuat daripada bahan yang halal dan bersih.

  Juga turut dibangkitkan ialah kecenderungan usahawan tempatan yang majoritinya hanya bertumpu kepada pengeluaran produk makanan. Jika diberikan bahagian 30 peratus untuk pengusaha tempatan untuk memasuki pasaraya, barangan itulah yang akan memonopoli pengeluaran dan pasaran.

  Teramat sedikit yang ingin berusaha untuk melibatkan diri di dalam membekalkan perabot, barang elektrik, elektronik, pakaian dan seumpamanya ke pasaraya asing.

  Walau apapun perbahasan hangat yang diluahkan, kita dapati bahawa Kementerian KPDNKK telah berjaya menemukan pemain utama dalam bengkel berkenaan dan banyak perkara-perkara dikedepankan yang boleh membantu kepada penambahbaikan.

  Selepas Lab ini, kita berharap pihak usahawan bumiputera dapat membuat pembaikan-pembaikan bagi produk dan servis mereka, sementara itu juga kita berharap pihak pengurusan pasarayapun boleh membantu dengan mengeluarkan data terperinci berkaitan perbandingan jualan antara produk di samping mencari ruang bagi turut mempromosi produk tempatan.

  KPDNKK pula diharapkan dapat mengambil inisiatif bagi memantau perkembangan kemajuan usahasama di antara pasaraya dan usahawan IKS yang telah dimulakan melalui Lab ini. Mengeluarkan dana bagi usahawan adalah tidak mencukupi, tetapi sebaliknya mereka harus dididik mengenai bagaimana cara dan kaedah yang betul untuk bersaing di pasaran terbuka.

  Salam daripada kami di HBI.

 

Penulis sesi ini: Admin HBI

 

 

     
 
 

HBI Health & Homoeopathy Centre 2015