Iklan Produk HBI:

 

LAMAN KONSULTAN HBI

DRHATTA.COM 2008-2014 - HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

"Promoting Homeopathy All Malaysia Over" project for continuous publication of homeopathy books & virtual knowledge. - info HBI

Laman Utama :

 PETANDA DAN MENGHADAPI MUSIBAH (20/02/15)

Pagi ini, kami sempat hadir kuliah subuh di Masjid as-Sobirin, Bukit Changgang, Banting. Penceramah jemputan kali ini ialah Ustaz Shihabudin Muhaimin dari Shah Alam.

  Kebetulan tajuk kuliah bulanan ialah berkaitan dengan isu musibah, maka beliau menarik perhatian mengenai musibah banjir yang melanda Malaysia, khususnya di Kelantan baru-baru ini.

  Dalam keadaan banjir sentiasa berlaku hampir setiap tahun dan rakyat Kelantan dan Pantai Timur selalu bersiap siaga, kedatangan banjir yang di luar dugaan kali ini merupakan suatu petanda mengenai akan perginya seorang alim dari lokaliti ini.

  Sekalipun kita beralasan kepada faktor geologi, perubahan cuaca global atau faktor kemusnahan kawasan bukit, namun dari segi metafiziknya bencana atau petaka selalu diundang oleh sebab-sebab keingkaran dan perbuatan dosa manusia di samping sebagai suatu petanda diangkatnya ilmu agama oleh Allah s.w.t.

  Walaupun kita berbeza dari segi fahaman politik, dan perancangan ekonomi dan sosial, namun jika kita ketepikan semua perbezaan itu, kita tidak dapat menafikan tentang kealiman dan kewara'an Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selama beliau hidup dan juga ketika memegang jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan. Demikian mukaddimah awal beliau ketika menyampaikan kuliah.

  Apabila Tuan Guru pergi, maka seperti 'alim ulama' lain, kita kehilangan satu lagi panduan dan ilmu yang pergi bersamanya, dan ini merupakan musibah yang lebih besar lagi.

  Hadis yang boleh dipertanggungjawabkan menyatakan 'Daripada al-Hasan, mereka (‘Aisyah, Ibn Mas’ud dan lain-lain) berkata:

مَوْتُ الْعَالِمِ ثُلْمَةٌ فِي الْإِسْلَامِ لَا يَسُدُّهَا شَيْءٌ مَا اخْتَلَفَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ

Maksudnya: “Matinya seorang alim adalah seperti patahnya mercu tanda Islam yang tidak dapat ditampungnya sesuatu, walaupun bersilih ganti malam dan siang.”

  Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1590), al-Bazzar (171), al-Darimi (333) dan al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah (1/317), 'Daripada Abu Darda’ RA, berkata:

موتُ العالمِ مصيبةٌ لا تجبرُ، وثُلمةٌ لا تُسدُّ، ونَجمٌ طُمِسَ، موتُ قبيلةٍ أيسرُ من موتِ عالمٍ

Maksudnya: “Kematian seorang alim merupakan musibah yang tidak tertanggung dan patahnya mercu tanda Islam yang tidak dapat ditampungnya, seolah-olah bintang yang terpadam cahayanya dan mati satu qabilah atau kaum lebih ringan daripada mati seorang alim.”

  Bahkan dalam Kitab Tanqih Al-Qaul, Imam Al-Hafizh Jalaluddin bin Abdurrahman bin Abu Bakar As-Suyuthi menuliskan dalam kitabnya sebuah hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam seperti berikut:

وقال عليه الصلاة والسلام: {مَنْ لَمْ يَحْزَنْ لِمَوْتِ العَالِمِ، فَهُوَ مُنَافِقٌ مُنَافِقٌ مُنَافِقٌ} قالها ثلاث مرات

”Barangsiapa yang tidak sedih dengan kematian ulama maka dia adalah munafik”

  Sementara itu, dalam menghadapi musibah yang berturutan melanda negara pada tahun 2014, Ustaz Shihabuddin menyarankan beberapa perkara yang harus kita ambil sebagai tindakan dan sikap seorang muslim.

  Mengikut urutan beliau, sikap itu ialah:

Pertama: Harus ingat akan Allah dalam semua kejadian musibah

Kedua: Hendaklah kita memohon ampun dan istighfar kepada Allah subhanahu wa ta'ala.

Ketiga: Hendaklah kita melakukan muhasabah diri supaya kita boleh nilai apa-apa perbuatan yang telah kita lakukan. Harus hisab diri sebelum semuanya dihisab oleh Allah di hari Akhirat.

Keempat: Kita juga harus bersikap jujur kepada diri sendiri.

Kelima: Wajib bersangka baik atau husnu dzzan baik terhadap Allah maupun manusia. Apa-apa kejadian buruk berlaku, jangan cepat menuding jari kepada orang lain atau meratap dan bertanya "kenapa begini ya Allah".

Keenam: Waktu ini juga kita wajar menurunkan ego kita. Tidak perlu angkuh, sebaliknya harus bersikap tawadhu'.

Ketujuh: Hendaklah kita kuat bertawakkal kepada Allah subhanahu wa ta'ala.

Kelapan: Tingkatkan kesabaran. Elok kita berlapang hati dan bersabar menunggu ganjaran di akhirat.

Kesembilan: Kita juga harus redha kepada takdir Ilahi. Jika musibah yang melanda, mungkin itu masih belum rezeki kita lagi.

Kesepuluh: Hendaklah kita bersyukur dengan nikmat Allah yang sedia ataupun masih ada.

  Hari ini merupakan suatu hari yang nyaman dan indah sekali. Moga-moga tazkirah beliau dan apa yang kami sampaikan di sini memberi manfaat dan dinilai oleh Allah sebagai amalan hasanah sempena pagi Jumaat yang mulia.

  Salam daripada kami di HBI.

 

Penulis sesi ini: Admin HBI

 

 

     
 
 

© HBI Health & Homoeopathy Centre 2015