Iklan Produk HBI:

 

LAMAN KONSULTAN HBI

DRHATTA.COM 2008-2014 - HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

"Promoting Homeopathy All Malaysia Over" project for continuous publication of homeopathy books & virtual knowledge. - info HBI

Laman Utama :

 Kesan Alkohol Kepada Manusia (04/01/15)

Pagi ini kami sempat hadir kuliah selepas subuh di masjid as-Sobirin. Menarik sekali kerana dalam kuliah Halal dan Haram Dalam Islam, kupasannya berkait dengan pengambilan alkohol.

  Seperti yang dimaklumkan oleh penceramah, Malaysia adalah antara negara yang ramai rakyatnya terlibat dengan pengambilan alkohol atau arak. Perkara ini pernah dilaporkan oleh akhbar STAR, bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah meletakkan Malaysia di tempat kesepuluh di dalam senarai pengambilan alkohol terbanyak dunia.

  Pengambilan minuman bir di Malaysia pula adalah sebanyak 11 liter per kapita. Statistik yang dikeluarkan pertubuhan tersebut menunjukan rakyat malaysa membelanjakan lebih dari RM1.5 bilion untuk minuman beralkohol dengan purata tujuh liter per kapita. (http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2011/05/23/msia-di-tangga-ke10-negara-paling-tinggi-ambil-alkohol/ - 23 Mei 2011)

  Di sini tidak perlu kami masukkan berkaitan halal dan haramnya, kerana ia jelas haram dan mudarat. Sementara itu, pengambilan dalam kuantiti tertentu, untuk tujuan perubatan serta perbezaan alkohol dengan apa yang disebutkan dengan arak sudah kami muatkan di dalam laman homeolibrary.com dalam tajuk "Merungkai Masalah Alkohol Dalam Perubatan Homeopati". Anda boleh layari artikel itu di laman (http://www.homeolibrary.com/New_2013/News/Homeopati_Alkohol.htm)

  Tetapi memperkatakan tentang natijah, kesannya memang buruk, sedikitpun diharam oleh agama, dan buruknya lebih besar apabila berlaku ketagihan. Ketagihan akibat meminum alkohol bukannya bergantung kepada jenis alkohol tetapi jumlah yang diminum pada satu-satu masa.

  Pada dasarnya terdapat dua kesan yang ketara pada penagih alkohol iaitu kesan jangka pendek dan jangka panjang.

  Kesan jangka pendek pengambilan alkohol lebih kurang satu botol besar menjadikan seseorang itu kurang daya koordinasi seperti tidak boleh berjalan dengan betul dan tidak boleh membuka pintu. Dalam masa yang singkat ini juga boleh menyebabkan hangover.

  Hangover lazimnya disebabkan oleh keracunan alkohol, bahan lain dalam alkohol dan tindakbalas ketagih alkohol. Tanda-tanda hangover alkohol termasuklah sakit kepala, loya, muntah, cirit birit, gangguan pergerakan usus dan menggeletar selama 8 12 jam kemudian.

  Kesan jangka panjang akan dirasai selepas meminumnya selama beberapa bulan atau tahun. Kesan utama adalah seperti sakit jantung, hati atau penyakit dalam perut. Bila situasi ini berlaku mereka akan kurang selera makan, kekurangan vitamin, jangkitan penyakit, mati pucuk atau kekurangan haid.  Kematian yang awal adalah lebih kerap pada orang yang kuat minum, terutamanya daripada sakit jantung atau hati, radang paru-paru, kanser, keracunan alkohol yang teruk, kemalangan, pembunuhan dan pembunuhan diri.

  Islam melarang umatnya meminum arak kerana kesan utamanya ialah kepada otak dan minda. Dalam keadaan mabuk, seseorang itu akan melakukan banyak perkara yang salah secara tidak sedar serta mengganggu mereka mendirikan solat dan mengingati Allah.

  Ilmu sains menjelaskan, oleh kerana alkohol akan meresap dari usus kecil ke dalam darah dan lantas dibawa ke jantung, akhirnya darah beralkohol tadi dipam ke seluruh tubuh. Dari sini ia terus meresap ke dalam otak dan seterusnya ke urat saraf.

  Otak selaku satu organ penting yang mengawal segala pergerakan dan perlakuan seseorang, maka dengan kemasukan bahan asing ini ke dalamnya ia akan mempengaruhi pergerakan dan kelakuan peminumnya. Di sini, alkohol menyebabkan penindasan kawasan-kawasan yang biasanya mengawal maruah dan disiplin diri sehingga peminum mula merasa kurang sifat malu, fikiran bercelaru, dan pergerakannya pula agak tidak terkawal. 

  Justeru, peminum juga kurang keupayaan dari segi belajar, membentuk idea spontan, menumpukan fikiran, dan membuat pertimbangan yang teliti. Semakin banyak jumlah alkohol yang diminum semakin kuat otak tertindas sehinggakan boleh menyebabkan tidak sedarkan diri dan seterusnya kematian.

  Oleh kerana alkohol yang disebut arak itu boleh memberi kesan juga kepada selain otak seperti hati, perut, saraf, janin (bagi ibu hamil), kami menyeru supaya orang awam tidak melibatkan diri di dalam aktiviti meminum arak.

  Risiko kepada penyakit seperti kanser mulut, tekak dan esofagus, kepada sirosis hati, gangguan fungsi kognitif dan dimentia, serta kebergantungan alkohol (alcohol dependence) bukanlah sesuatu yang wajar diambil ringan.

  Memandangkan kesan negatif minum arak kepada diri dan masyarakat adalah jelas, eloklah kita berjimat daripada membelanjakan untuknya. Untuk memperoleh seringgitpun sukar, mengapakah harus dihabiskan ringgit untuk sesuatu yang memberi kesan buruk seperti ini?

  Kami berharap Malaysia akan lebih maju ke hadapan tanpa arak.

 

Penulis sesi ini: Admin HBI

 

 

     
 
 

HBI Health & Homoeopathy Centre 2015