Iklan Produk HBI:

 

LAMAN KONSULTAN HBI

DRHATTA.COM 2008-2014 - HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

"Promoting Homeopathy All Malaysia Over" project for continuous publication of homeopathy books & virtual knowledge. - info HBI

Laman Utama :

 Berlibur di Pekanbaru (25/01/15)

Pada hujung minggu yang lalu, iaitu dari 17 hingga 19 Januari, konsultan HBI dan keluarga telah berkunjung ke Pekanbaru. Ini merupakan antara destinasi Airasia yang tambangnya agak murah berbanding tempat-tempat lain yang biasa dikunjungi pelancong.

 Kerisauan menaiki kapal terbang sejak AirAsia QZ8501 terhempas di lautan masih belum hilang. Tetapi mengingatkan angin dan cuaca di laluan selat Melaka tidak seperti di Laut China Selatan, maka tiket yang sudah lama ditempah itu dimanfaatkan dengan rancangan lawatan pendek.

  Sebenarnya Pekanbaru merupakan tempat yang seronok untuk berlibur dan menghabiskan tiga hari cuti. Bahkan sewaktu kami tiba di Pekanbaru, ada pula rombongan pemain golf baru saja berangkat pulang dari bermain di padang golf Labersa.

  Kami sampai dan terus ke tempat menginap yang ditempah melalui Agoda, iaitu Grand Hawaii Hotel. Sebuah hotel yang sederhana tetapi sangat dekat dengan kemudahan seperti Mall Pekanbaru dan pasar pusat membeli-belah yang dikenali dengan nama Ramayana.

  Oleh kerana kami sampai lewat tengahari, selepas daftar di hotel, kami terus berjalan kaki ke Mal Pekanbaru yang tidak jauh dari hotel kami menginap. Tujuan tidak lain selain menikmati makan tengahari di tingkat atas (Tingkat 3) Mal tersebut.

  Selepas rehat petangnya, kami dihantar oleh pihak hotel ke Pujasera 88. Pujasera merupakan kependekan kepada Pusat Jajaran Selera Rakyat. Kami menjangka harganya jauh lebih ekonomi. Dan ini ternyata benar apabila kami pesan ikan kerapu, sayur goreng, ayam masak mentega dan telur dadar serta otak-otak untuk enam orang sekeluarga hanya menelan belanja 231 ribu rupiah.

Pujasera 88 adalah antara beberapa Pujasera yang terdapat di Pekanbaru. Kalau di Malaysia kita biasa mengenalinya sebagai Medan Selera.

Pasaraya Ramayana mempunyai pakaian yang pelbagai tetapi kita tidak boleh tawar-menawar seperti Pusat Ramayana di Jalan Jend Sudirman.

  Selesai makan, kami ambil teksi dengan hasrat ke Pusat Membeli-berlah Ramayana. Malangnya, pusat Ramayana Jalan Jend Sudirman itu tutup agak awal. Lantas kami pergi ke Ramayana yang kira-kira 10 km dari temp[at itu dalam keadaan jalan yang sesak kerana hari malam minggu. Ramaya itu rupanya seperti supermarket. Meskipun harganya terdapat diskaun sehingga 70%, namun kami tidak boleh tawar-menawar lagi. Lama berkunjung ke sana menyebabkan kami pulang dengan kepenatan.

  Esoknya, kami dibawa oleh abangnya Pak Andrio yang mengangkut kami dari airport semalam. Harganya agak mahal dengan caj 600 ribu rupiah untuk sehari penuh berbanding perbandingan dengan rakan-rakan yang pernah berkunjung ke sana.

  Kami berkunjung ke Masjid Agung yang tidak jauh dari hotel kami menginap. Selepas mengambil foto, kami jalan-jalan di tepian tempat ruang gerai jualan di sepanjang jalan berhampiran pintu besar masjid Agung. Kami beli selendang dengan harga 35 ribu rupiah untuk satu helai dan percuma satu.

Bergambar di hadapan Masjid Agung, Pekanbaru. Kawasan pintu masjid di mana banyak gerai-gerai menjual pelbagai baranag, ada pakaian dan makanan juga.
Di Lake Limbungan. Ia sudah menjadi indah khabar daripada rupa. Makan makanan masakan Padang yang dihidangkan dengan pelbagai lauk pauk.

  Selepas itu, kami mohon taeksi membawa kami ke Pasar Bawah atau Pusat Belanja Wisata di Pekan Baru. Apabila sampai, kami merasakan ianya tidak ubah seperti pasar lama Kota Bharu yang terletak berhampiran Pejabat PAS.

  Di sini, meskipun banyak juga barang yang boleh dibeli, tapi tidak banyak yang berkenan. Harganya boleh ditawar, tetapi kami tidak dapat harganya seperti harga di Bukit Tinggi.

   Kemudian kami mohon dibawa ke Lake Limbungan. Memang ada cerita di internet berkaitan tasik buatan itu. Tetapi amat mengecewakan, rupanya apabila pihak pemerintah membina tempat bersiar dan bermain di situ, ia tidak dijaga dengan rapi. Ia hanya menjadi tempat lepak pasangan-pasangan remaj.

  Oleh kerana waktu sudah tengahari, kami minta abang Pak Andrio yang dikenali sebagai Pak Wel membawa kami ke restoran Padang. Kami dihidangkan dengan masakan padang pelbagai lauk serta dipesan, mana yang tidak disentuh tidak perlu dibayar. Banyak yang nampak menyelerakan, tetapi kami ambil lauk-lauknya yang perlu sahaja seperti ayam goreng, gulai padang, daging berkuah, gulai limpa dan ulamnya saja.

  Harganya untuk tujuh orang makan bersekali dengan pemandu hanya 208 ribu rupiah saja. Waah!! lagi murah nampaknya.

  Selepas makan tengahari, kami mohon dibawa ke hotel untuk solat Zohor dijama'kan dengan 'asar. Kami dibawa keluar jalan-jalan lagi apabila Pak Wel datang kira-kira jam 3.30 petang.

  Oleh kerana tidak berpuas hati dengan kunjungan di Lake Limbungan, kami minta beliau membawa kami ke Alam Mayang. Katanya, tempat ini diurus oleh swasta, justeru tempatnya terjaga dan ramai orang. Hanya, tiket masuknya kena dibayar agak tinggi sedikit

Antara gambar-gambar yang kami sempat ambil semasa berada di Pusat Perkelahan dan Rekreasi di Alam Mayang. Di belakang gambar kami itu ialah replika perahu Lancang Kuning.

  Sesampai di sana anak-anak kepingin menaiki sepeda air, lalu kami berhenti dan membayar lagi tiket untuk anak-anak mengayuh sepeda. Di samping itu, kami mengambil peluang bergambar di replika candi yang berada di sebelahnya.

  Kami tidak mengambil masa yang lama berada di situ kerana hari sudah lewat petang. Ketika akan pulang, kami minta pemandu membawa kami ke Gramedia untuk melihat buku-buku dan membeli kalau sesuai untuk dibaca.

  Rupanya di Gramedia itu, pengunjungnya ramai. Tiada tempat untuk teksi memarkir. Lantas kami minta teksi tinggalkan saja kami di situ dan mengambil kami semula jam 7 petang.

  Selepas membeli beberapa buah buku, kami mohon dihantar ke Pusat Membeli-belah Ramayana Jalan Jend Sudirman yang ditutup awal semalam. Malangnya bila saja sampai, banyak kedai di situ sudah tutup.

  Bagaimanapun, masih ada kedai yang buka dan tutup lewat. Jelas sekali, inilah tempat yang tepat untuk membeli-belah. Harganya tidak jauh bezanya dengan kedai di Bukit Tinggi. Apabila kami tawar harganya, memang dapat pada harga hampir separuh daripada harga yang dipamer. Baju batik lelaki yang berharga 190 ribu rupiah, kami dapat pada harga 100 ribu rupiah sahaja.

  Oleh kerana, hari sudah malam, kami mohon dibawa ke tempat makan. Oleh kerana kami berpuas hati dengan makanan di Restoran Kota Buana Rumbai tadi, jadi kami minta Pak Wel memberhentikan saja teksinya di Kota Buana Pekan.

  Di situ kami order alacarte 3 mee rebus, 1 pinggan satay, 2 nasi goreng dan nasi sup. Ternyata memuaskan. Oleh kerana sirsak, avocado, alpukat campur jagung dan fresh orange sudah dirasa, di sini kami mencuba pula air terung belanda dan jus jambu merah.

  Apabila akan pulang, seperti di tempat-tempat lain yang kami pernah singgah, sekali lagi kami diminta oleh Pak Wel agar memberikan 2 ribu rupiah untuk kos parking. Dan teksi dibantu untuk undur dan susul keluar.

  Itulah pengalaman kami tiga hari dua malam di Pekanbaru. Apabila kami kembali, harinya sedah lewat malam. Sesampai di hotel, pihak hotel sedang merayakan hari ulangtahun hotel Grand Hawaii. Kami solat isya' dan kemudian terus tidur kerana keletihan.

  Keesokan harinya, kira-kira jam 9 pagi, selepas sarapan, kami terus dibawa ke lapangan terbang Sultan Syarif Kasim II. Apabila kami dibawa ke kaunter, apa yang kami jangka meleset. Kami bukan diminta bayar 100 ribu rupian, tetapi 150 ribu rupiah seorang untuk cukai airport.

Meskipun sudah agak lewat sampai ke airport, kami sempat mengambil beberapa keping foto kenangan.

  Itulah Pekanbaru, provinsi Riau, Indonesia. Iaitu, di mana budayanya hampir sangat sama dengan budaya masyarakat di Malaysia.

  Salam daripada kami di HBI.

 

Penulis sesi ini: Admin HBI

 

 

     
 
 

HBI Health & Homoeopathy Centre 2015