Iklan Produk HBI:

 

LAMAN KONSULTAN HBI

DRHATTA.COM 2008-2014 - HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

"Promoting Homeopathy All Malaysia Over" project for continuous publication of homeopathy books & virtual knowledge. - info HBI

Laman Utama :

 MESTICA Di Malam Mega Fair Kolej MARA (02/03/15)

Semalam, sebuah kumpulan nasyid telah dijemput menggamatkan malam Mega Fair Kolej MARA Banting. Kali ini, kumpulan yang mengisi ruang hiburan versi Islam itu ialah grup Mestica.

  Pada tahun-tahun sebelumnya, kumpulan nasyid yang pernah dijemput ialah In Team, Hafiz Hamidun untuk penutup program sambil selawat dan terapi zikir (2013) dan pada tahun lepas (2014) ialah kumpulan Rabbani.

  Mungkin kita merasakan agak janggal sedikit pada tahun-tahun mutakhir ini kerana aktiviti nasyid sudah tidak semeriah dahulu lagi. Sama ada ia sudah kehilangan idea baru atau mungkin tokoh-tokoh yang mempopularkan nasyid sudah tidak aktif lagi.

  Bagaimanapun, apabila kami halakan persoalan ini kepada saudara kita daripada Mestica nasyid group, mereka menjelaskan, "Sebenarnya, kami dan lain-lain grup nasyid masih dan sentiasa bergiat aktif, tetapi maklumlah artis nasyid tidak seperti artis penyanyi yang menyanyikan lagu-lagu biasa."

  Menurut Mestica, kalau artis biasa, mereka mempunyai demand yang tinggi dan sekali dipanggil menyanyi, untuk mendapat RM6,000 sudah dalam tangan. Mereka sentiasa mendapat tempat di media khususnya siaran ASTRO.

  Ini berbeza dengan grup nasyid. "Bagi kami sekarang nasyid menjadi aktiviti sampingan yang harus diutamakan. Tetapi kami harus mempunyai kerja lain yang lebih tetap untuk menyara kehidupan."

  Apabila ditanya lanjut, kami dimaklumkan bahawa hanya dua orang sahaja ahli kumpulan Mestica yang memberi tumpuan seratus peratus kepada nasyid sebagai kerja hakiki atau utama.

  Oleh kerana liputan pihak media arus perdana semakin berkurang, sebahagian promosi terpaksa dibuat sendiri dan menerusi media sosial. Itupun mereka hanya fokus kepada promosi melalui facebook, meskipun peminat hari ini mulai beralih kepada laman Instagram yang menjadi pangkalan buat artis dan promosi bisnes kontemporari.

  Pada malam Mega Fair Kolej MARA Banting kali ini, kumpulan Mestica mempersembahkan lima buah lagu, termasuk lagu Salehuddin al-Ayyubi. Lagu Salehuddin al-Ayyubi menggamatkan pentas kerana liriknya yang membangkitkan semangat hadirin.

  Salahuddin Al-Ayubi

  Malammu disinar solat munajat
  Siangmu dihias lonjakan jihad
  Pembela insan yang miskin dan lara
  Kemelut yang menyelubungi
  Dalam sirah ummah
  Kau ungkai dengan fatwa nubuwwah

  Pernah kembara bagai pelarian
  Akhri bertakhta penuh kemuliaan
  Berkurung dendam demi keamanan
  Bergemalah bumi Anbia
  Takbir kemenangan
  Menjulang iman hapus kemungkaran

  Walaupun seisi dunia
  Melutut di tapak kakimu
  Tetapi kau pergi tanpa sisanya untuk
  Diwarisi Quran Hadith terpasak di kalbumu
  Syair puisi pelembut rasamu
  Tinta senjata lakaran mindamu
  Darah juga airmatamu
  Dakwat yang mewarna
  Lembaran agung insan terulung

  Jasamu Salahuddin
  Bagai kasturi mewangi
  Harumannya melewati
  Baitul Maqdis
  Walaupun jasadmu tiada
  Semangatmu tetap menyala
  Kekal menjadi aspirasi
  Mujahid kini dan selamanya

  Malammu disinar solat munajat
  Siangmu dihias lonjakan jihad
  Pembela insan yang miskin dan lara
  Kemelut yang menyelubungi
  Dalam sirah ummah
  Kau ungkai dengan fatwa nubuwwah
  Kaulah satria, kaulah perwira Fisabilillah

  Sedar atau tidak, sama ada media mungkin semakin kurang prihatin terhadap kehendak masyarakat Islam supaya kumpulan nasyid hiburan Islam kembali didaulatkan, keadilan dalam memberikan tempat kepada kumpulan hiburan alternatif ini wajar dinilai semula dan diketengahkan kembali.

  Di hati masyarakat Islam, mereka masih berbisa dan boleh mendatangkan keuntungan, sekiranya perkara itu yang menjadi perkiraan utama dalam mempromosi hiburan di media arus perdana.

  Salam daripada kami di HBI.

 

Penulis sesi ini: Admin HBI.

 

 

     
 
 

HBI Health & Homoeopathy Centre 2015