Iklan Produk HBI:

 

LAMAN KONSULTAN HBI

DRHATTA.COM 2008-2014 - HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

"Promoting Homeopathy All Malaysia Over" project for continuous publication of homeopathy books & virtual knowledge. - info HBI

Laman Utama :

 Irfan Khairi Di National Young Entrepreneurs Summit 2015 (30/03/15)

Hari ini terdapat dua tokoh yang diundang ke National Young Enrepreneurs Summit. Seorang merupakan pakar pemasaran, kepemimpinan dan kewangan bernama Nazril Idrus yang menempah slot waktu tengahari.

  Seorang lagi adalah seorang pakar dalam perniagaan internet atau online yang dikenali ramai sebagai Irfan Khairi. Nama beliau pernah diuar-uarkan secara besar-besaran juga di media suatu ketika dahulu.

  Perbezaan ketara antara keduanya ialah yang pertama membawa produk dan berjaya menarik ramai hadirin untuk membeli produk DVDnya dengan diskaun, sedang yang seorang lagi membawa majalah Inspirasi Kejayaan (IK) dan mengedarkan secara percuma kepada peserta National Young Entrepreneurs Summit (NYES).

  Di sini kami amat tertarik untuk membicarakan mengenai Irfan Khairi yang mempunyai jadual cukup padat pada hari yang dijemput. Tetapi yang pentingnya ialah beliau hadir tepat pada waktunya dan sempat bergambar dengan para pelajar jawatankuasa NYES.

  Daripada cerita beliau kepada peserta Summit, beliau amat suka kepada seni rekabentuk. Sejak sekolah lagi beliau akan menyertai apa saja pertandingan yang berkaitan dengan design. Dan selalunya pula, apabila beliau masuk bertanding, beliau akan menang.

  Justeru, beliau melibatkan diri di dalam produk bisnes yang paling beliau gemari iaitu design "book cover". Itulah yang membawa beliau ke puncak kejayaan.

  Sepanjang perkongsian ilmu perniagaan online (knowledge sharing) itu, beliau bercakap dalam dwi bahasa. Apabila beliau merasa selesa di dalam bahasa Malaysia, beliau tidak merasa kekok untuk menukar atau menyelangi penerangannya dengan bahasa ibundanya.

  Nasihat beliau kepada hadirin yang berminat berniaga online ialah "kecilkan pasaran anda". Inilah intipati dalam apa yang disebut sebagai niche marketing.

  Perniagaan online melibatkan pasaran yang sangat besar, menjangkau ke pentas seluruh dunia. Oleh sebab itu, bakal peniaga disaran supaya lebih fokus untuk berjaya. "The bigger the market, the smaller the niche," kata beliau. Maknanya, anda akan lebih memenangi pelanggan jika anda kecilkan pasaran anda. Letakkan target pelanggan anda. Jangan jual segala macam benda secara online. Itu bukan caranya.

 

  Menurut Irfan, beliau tidak mempunyai latar belakang kukuh dalam bisnes, tetapi beliau banyak membaca, browse internet dan berkomunikasi. Cita-citanya ialah untuk mula bisnes ketika berumur 20 tahun dan menjadi jutawan dalam usia 30 tahun. Itulah pentingnya bagi seseorang mempunyai matlamat yang jelas, boleh diukur dan target masa hendak dicapai. 

  Namun beliau lebih bernasib baik kerana beliau mencapai tahap jutawan dalam tempoh yang lebih singkat, iaitu pada usia 25 tahun sahaja. Ini terjadi kerana beliau berjaya mengambil peluang tepat pada masanya dengan engage seseorang menerusi internet ketika menjalankan bisnes secara separuh masa dengan modal RM500 sahaja.

  Bagaimanapun, harus diingat bahawa Irfan Khairi bukan sembarang orang. Beliau merupakan seorang pelajar lulusan Bachelor of Multimedia Design daripada Staffordshire University, UK. Ketika baru sahaja selesai ijazahnya, beliau sudahpun ditawarkan jawatan di dalam sebuah Syarikat IT gergasi di Birmingham, UK.

  Apa sekalipun, Irfan merupakan seorang yang gemar berkongsi ilmu yang diperolehnya dengan orang lain. Jika tidak, masakan Inspirasi Kejayaannya diedarkan secara percuma. Malahan beliau bersedia menjawab semua pertanyaan peserta dengan jelas dan bersifat praktikal.

  Saat menjawab persoalan bagaimana menjual produk anda secara online dan meningkatkan keyakinan pelanggan, beliau menerangkan antara lain:

* Adalah penting bagi anda meletakkan foto anda dalam laman web bisnes anda, * seeloknya tulis dan paparkan 6 testimonial produk kepada pelayar atau bakal pelanggan, * berkomunikasi dengan klien seperti dengan menceritakan kisah atau pengalaman benar mengenai keberkesanan produk anda.

  Kata Irfan, seorang usahawan mestilah inovatif dan kreatif. "Think big, but start small". Ini cara yang lebih baik daripada mula dengan besar sehingga terpaksa meminjam.

  Sementara itu, sebagai usahawan, seseorang itu tidak harus bersifat cepat ingin meraih dan merasa hasil pendapatan perniagaan. Dan jangan kecewa jika tahun pertama mengalami kerugian kerana itu perkara biasa.

  Bahkan "jika anda memperoleh jumlah keuntungan, paling baik anda melabur 90% daripada hasil keuntungan itu" ke dalam perniagaan dan simpan 10% sahaja. Biarlah perniagaan itu tumbuh dengan kencang dahulu.

  Mengapa kita harus bermula dengan kecil-kecilan? Irfan membawa contoh Dato' Hussamuddin iaitu usahawan Syarikat Karangkraf yang berasal dari Kelantan. Katanya, dengan permulaan modal yang kecil, jika kita gagal kita tidak akan rasa sangat kecewa, sedangkan daripada kegagalan itulah kita akan banyak belajar.

  Dengan cara itu, kita boleh perbaiki kelemahan dan bergerak maju lebih jauh dalam perniagaan.

Sewaktu ditanya berkaitan pengurusan masa, beliau memaklumkan amatlah penting seseorang itu menjaga dan mengawal masa. Masa lebih berharga daripada emas.

  Seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w., kita hendaklah menjaga masa muda sebelum didaki tua, sihat seblum sakit, kaya sebelum miskin. Jika kita mengurus masa dengan baik semasa remaja lagi, kita akan berjaya dalam kerjaya atau bisnes.

  Menurut beliau sendiri, beliau turut membahagikan masa mengikut jadual tertentu meskipun padat. Ada masa untuk urus bisnes, update fb (facebook), tulis artikel dan waktu tertentu untuk membaca.

  Bahkan beliau hanya mempunyai masa khusus untuk update fb, masa lain beliau tidak gunakan untuk aktiviti yang menjadi ketagihan kebanyakan orang.

  Selepas beliau mengguna sepenuh masa dua jam, secara khusus bagi melayani soalan daripada setiap meja, beliau meninggalkan Dewan Summit dengan ucapan "Selamat Berjaya" kepada semua peserta Summit.

  "Kejayaan untuk anda semua dan kejayaan untuk saya juga".

  Meskipun beliau berkejar-kejar dengan masa, beliau sempat bersalam dengan konsultan HBI dan sudi bergambar bersama dengan majalah beliau dan buku terakhir (terbit 2013) tulisan konsultan HBI iaitu "Simptom-simptom Penyakit dan Rawatan homeopati".

.  Salam daripada kami di HBI.

 

Penulis sesi ini: Admin HBI.

 

 

     
 
 

HBI Health & Homoeopathy Centre 2015