Iklan Produk HBI:

 

 

LAMAN KONSULTAN HBI

DRHATTA.COM 2008-2014 - HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

"Promoting Homeopathy All Malaysia Over" project for continuous publication of homeopathy books & virtual knowledge. - info HBI

Laman Utama :

 Selamat Datang & Persediaan Ramadhan 2015 (31/05/15)

Pagi semalam iaitu hari Sabtu, sebaik sahaja sesudah solat subuh, sekali lagi Ustaz Shihabuddin Muhaemin berkunjung ke Masjid As-Sobiriin Bukit Changgang bagi menyampaikan kuliah bulanannya.

  Cuma kali ini, beliau tidak lagi memberi kuliah berkaitan "Persediaan Menghadapi Mati", sebaliknya beliau menukarkan tajuk kuliah kepada Persiapan Menghadapi Puasa, yang secara kebetulan tinggal hampir 2 minggu saja lagi.

  Kata beliau, sebelum datangnya Islam, Ramadhan merupakan antara bulan-bulan yang tidak digemari. Ramadh itu sendiri bermakna kepanasan. Ia juga memberi maksud kepedihan kerana kesan kepanasan.

  Tetapi dengan kedatangan Islam, bulan Ramadhan telah diangkat ke suatu tahap yang begitu mulia. Bahkan salah sebuah hadis ada menyebut  "penghulu segala bulan adalah bulan Ramadhan". Bagi kalangan masyarakat Islam hari ini pula, Ramadhan dikenali sebagai bulan puasa.

  Bagaimanapun, apa yang penting di sini ialah seruan Ustaz Shihabuddin pada kuliahnya semalam supaya kita semua meningkatkan amalan puasa kita dengan tidak lagi berpuas hati berada di tahap lama. Sebaliknya kita wajar meningkatkan amalan puasa kita ke tahap "bisness class" sekurang-kurangnya.

  Melalui ibarat yang diambil daripada tiga kategori orang berpuasa mengikut Imam Ghazali, beliau menyeru supaya kita tidak lagi berpuasa seperti orang naik kapal terbang di kelas ekonomi. Justeru mereka yang berada di kelas ini sekadar meninggalkan makan dan minum tetapi tidak mampu mengawal anggotanya daripada melakukan dosa atau perkara yang sia-sia.

  Amatlah dibimbangi, sekiranya kita masih berada di dalam kumpulan ini, puasa kita tidak ke mana-mana dan akhirnya akan termasuk di dalam golongan yang disebut di dalam sebuah hadis yang bermaksud "ramai yang berpuasa, tapi tak dapat apa-apa." Yang diperoleh hanya lapar dan dahaga semata-mata.

  Menjelang Ramadhan di Tahun Masehi 2015 kali ini, beliau menyeru ahli jemaah dan masyarakat Islam supaya meningkatkan amalan puasa kita agar kita tidak semata-mata meninggalkan makan dan minum di waktu siang, tetapi turut menjaga, mata, lisan mulut, telinga, kaki tangan dan sekalian pancaindera daripada menurut panduan nafsu dan syaitan.

  Jika kita berjaya elak melakukan segala perkara lain yang membatalkan puasa juga, barulah kita dapat capai ke tahap "bisness class". Barulah selepas itu kita boleh melihat perubahan di dalam cara hidup masyarakat kita hari ini ke arah yang lebih baik.

  Namun alangkah baiknya kalau kita boleh capai setingkat lagi. Puasa kumpulan yang disebut sebagai puasa khususul khusus ini, diumpamakan oleh Ustaz Shihabuddin sebgai puasa golongan kelas eksekutif.

  Untuk sampai ke tahap ini, hendaklah orang yang berpuasa itu menjaga hati dan fikirannya agar turut sama berpuasa. Ini bererti orang itu haruslah sentiasa berada dalam dzikrullah. Tidak ada sebarang perkara yang berupa hal-ehwal keduniaan berjaya menariknya daripada mengingati Allah s.w.t.

  Persoalan yang penting di sini ialah apakah persediaan yang perlu bagi para muslim?

  Jelas Ustaz Shihabuddin, secara ringkasnya, persediaan utama ialah (i) Orang berpuasa itu haruslah memiliki fizikal dan kesihatan tubuh badan. Ini bukan bermakna orang sakit sukar menunaikan puasa dan mencapai darjat yang lebih baik. Tetapi dia haruslah menjaga kesihatannya sebelum berpuasa lagi, perlu mematuhi pantang larang dan cara pemakanan yang sepatutnya dan ambillah mana-mana ubat yang perlu sepanjang berpuasa itu.

  (ii) Hendaklah kita mempunyai keimanan dan ketahanan mental yang kuat. Tanpa iman, orang Islam boleh kalah, tumbang dengan dugaan dan godaan di bulan puasa. Hari-hari mungkin asyik tonton ASTRO, mata dan telinga dibiarkan terdedah, diuji sikit sudah gelegabah untuk berbuka puasa. Petang-petang pula, kedua belah tangan penuh dengan hasil belian di Bazaar Ramadan bagi tujuan berbuka, lantas kita lupa cara bersederhana di bulan puasa.

  (iii) Berpuasanya kita pada kali ini biarlah dengan ilmu pengetahuan. Jangan ikut-ikutan dan menggunapakai budaya tahun-tahun dahulu tanpa perubahan dan peningkatan. Sebaiknya kita berguru dan belajar bagaimana kita boleh meningkatkan amalan dan ibadah kita di bulan puasa. Bacalah kitab-kitab yang banyak diperoleh di kedai-kedai dalam bahasa yang kita boleh fahami.

  Akhirnya, kami di HBI mengucapkan “Selamat Menyambut Bulan Ramadhan dan Selamat Berpuasa" kepada semua pelayar web drhatta.com dan homeolibrary.com. Semoga anda semua diberkati dan dirahmati.

 

Penulis sesi ini: Admin HBI.

 

 

     
 
 

© HBI Health & Homoeopathy Centre 2015