Iklan Produk HBI:

 

 

LAMAN KONSULTAN HBI

DRHATTA.COM 2008-2014 - HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

"Promoting Homeopathy All Malaysia Over" project for continuous publication of homeopathy books & virtual knowledge. - info HBI

Laman Utama :

  Kemerdekaan ke-58: Dr. Burhanuddin Pejuang Kemerdekaan Dalam Kenangan (30/08/15)

 Pertama sekali, kami ingin mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Malaysia kai ke 58. Hari yang penuh maknanya ini seharusnya disambut oleh semua rakyat Malaysia dengan bangga.

  Kita harus berbangga kerana hidup di dalam sebuah negara yang merdeka memungkinkan kita mencorakkan negara ini mengikut kemahuan sendiri. Tentulah tidak semua pengisian kemerdekaan itu selari dengan kehendak setiap oang daripada kita kerana yang merancang segala bentuk pembangunan dan perubahan bukannya kita. Tetapi bagaimanapun, mereka yang merencanakan itu adalah orang-orang yang kita pilih secara demokrasi.

  Bagi kami yang terlibat di dalam perubatan homeopati, kitapun merasa teramat bangga kerana tokoh yang memartabatkan homeopati di Malaysia ini juga merupakan salah seorang tokho pejuang kemerdekaan di tanah Melayu. Beliau yang kami maksudkan ialah Dr. Burhanuddin al-Helmy.

  Kita tidak menafikan sumbangan dan perjuangan tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar, Tengku Abdul Rahman Putra al-Haj, Pak Sako dan lain-lainnya, namun semua masyarakat di bumi bertuah ini harus juga menerima hakikat peranan tokoh homeopati yang sama-sama berjuang untuk kemerdekaan tanah air.

  Sesuai dengan tema Sambutan Kemerdekaan "Sehati Sejiwa", maka marilah sama-sama kita mengenangi kesemua yang pernah berjuang untuk bumi Malaysia ini dan sama-sama kita panjatkan doa buat roh mereka yang telah berjasa.

  Bagi yang pernah membaca, mendengar cerita dan menyorot kisah hidup Dr. Burhanuddin, kita pasti tidak lupa akan peribadi dan pengorbanan beliau. Dr. Riduan Mohamad Nor menulis mengenai Dr. Burhanuddin dalam sepanjang keterlibatannya dalam politik dan PAS (disiarkan di dalam HARAKAHDAILY - 19.5.2015):

  "Sekembalinya beliau ke tanahair, beliau telah menjawat jawatan guru bahasa Arab di sekolah Arab al-Juned, Singapura. Dalam masa yang sama beliau memainkan peranan menubuhkan akhbar ' Taman Bahagia' pada tahun 1937 untuk meluahkan rasa mual dan jijik beliau kepada sikap penjajah dan beliau cuba mengempur semangat dan pemikiran orang Melayu supaya menginsafi nasib mereka sebagai bangsa yang tertindas di watan sendiri.

Akhbar sebagai wahana pencerahan politik ini hanya bertahan untuk sekali keluaran sahaja (diharamkan di British) dan beliau telah membayar harga yang mahal, terpaksa menjenguk ke penjara British Dr. Burhanuddin telah memberi rancangan kepada penubuhan parti Islam yang pertama di Malaya iaitu Hizbul Muslimin yang ditubuhkan di Gunung Semanggol pada Mac 1948. Dasar dan slogannya ialah "Islam semata-mata bagi mencapai kemerdekaan bangsa Melayu yang berdaulat, ciptakan masyarakat bedasarkan Islam dan mencapai Tanah Melayu darul Islam".

Sejarah tanah air menyaksikan ketokohan, kesegaran idealisme dengan stamina perjuangan yang gencar sehingga beliau telah memberi mandat untuk memimpin beberapa wadah popular gerakan politik tanah air. Pada 30 November hingga 3 Disember 1945, Dr. Burhanuddin telah dilantik sebagai yang Dipertua Agung PKMM, menggantikan Mokhtaruddin Lasso seorang yang mempunyai identiti yang samar juga free thinker (anggota komunis) yang menghilangkan diri.

Pengaruh Dr. Burhanuddin kepada orang Melayu begitu sekali mengesankan, menyebabkan PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) berjaya merebut hati rakyat dan ini amat mengusarkan British. Parti ini merupakan pertubuhan pertama yang melaungkan slogan 'merdeka' di Tanah Melayu dan mempunyai sayap penopangnya seperti API (Angkatan Pemuda Insaf) dan AWAS (Angkatan Weanita Sedar). Jalur politik perlawanan menyebabkan PKMM meraih sokongan daripada orang melayu yang inginkan kemerdekaan.

Beliau juga telah menganjurkan persidangan Ekonomi- Ugama Se-Malaya pada 22-24 Mac 1947. Perhimpunan ini telah menghimpunkan rakan-rakannya di Maahad Al-Ehya As-Shariff. Persidangan ini telah mengorak langkah kepada pertubuhan PEPERMAS (Pusat Perekonomian Malaya Se-Malaya) dan MATA (Majlis Islam Tertinggi Se-Malaya). Dr. Burhanuddin telah menyertai PAS (Parti Islam Se Tanah Melayu) pada 14 Disember 1956 dan dilantik menjadi Yang Dipertua Agung PAS dalam Muktamar PAS ke-5.

Wibawa sebagai pemimpin ummah telah menyebabkan kemenangan PAS yang cermerlang di Kelantan dan Terengganu dalam Pilihan Raya Umum 1959. Beliau dalam Pilihan Raya itu telah diberi mandat oleh warga Parlimen Besut untuk menjadi jurubicara mereka di Parlimen Malaya. Tidak syak lagi kemasukan Dr. Burhanuddin ke dalam PAS telah meledakkan perubahan yang besar. Sebelum ini PAS telah dimomokkan oleh rakyat dan pemerhati politik, "PAS laksana ular, ekor bergerak tetapi kepalanya tidur".

Era kepimpinan yang paling berkesan dan paling menonjol dalam PAS ialah semasa PAS dipimpin oleh dua tokoh besar alam Melayu iaitu Dr. Burhanuddin dan Dr. Zulkifli Muhammad, kepimpinan mereka telah berjaya melonjakkan PAS ke persada arus utama politik negara ini. Pandangan mereka menjadi buruan akhbar apatah lagi kerana inteligensia Melayu tidak ramai terlibat dengan politik Tanah Melayu secara langsung.

Dr. Burhanuddin adalah mentor kepada politik kiri Tanah Melayu yang telah mendekam beberapa kali di penjara British. Akhbar 'Melayu Raya' sentiasa memberikan beliau publisiti yang lumayan sebagai pemimpin rakyat yang tidak gentar berhadapan dengan gertakan British pada tahun 1950 beliau adalah tokoh utama dalam peristiwa Natrah di Singapura sehingga beliau dipenjarakan. Beliau dibebaskan kemudiannya akibat desakan rakyat, juga kebijakan rejim British untuk meredakan kemarahan orang Melayu.

Dr. Burhanuddin Al-Helmy mula dilantik dalam muktamar PAS pada 25 Disember 1956 yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur dalam program muktamar yang hangat, Beliau telah berjaya menewaskan calon lain iaitu Dr. Zulkifli Muhammad untuk jawatan Yang Dipertua Agung PAS yang ketiga. Sungguhpun Zulkifli Muhammad telah mendapat pencalonan yang banyak daripada kawasan-kawasan."

(http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35526-dr-burhanuddin-tokoh-pas-yang-cemerlang)

  Sementara itu, di dalam DetikDaily, Dr. Ismail Said memasukkan catatan mengenai Dr. Burhanuddin sebagimana berikut:

  "Dr Burhanuddin al-Helmy dalam perjuangannya sebelum memasuki PAS sentiasa membimbing ahli-ahlinya supaya berusaha dengan tekun kerana berusaha itulah yang menentukan nasib diri dan kaum mereka akan berubah, beliau sering memberi tazkirah kepada mereka dengan memperdengarkan ayat-ayat al- Quran yang sesuai sebagai penguat semangat perjuangan.

Ibu Dr Burhanuddin al-Helmy, Sharifah Zaharah binti Habib Othman pula berketurunan Arab yang berhijrah ke Perak dari Melaka. Penghijrahan ini kerana ingin mencari rezeki yang lebih di samping mencari tempat tinggal yang tenteram.

Perkahwinannya dengan Haji Mohamad Noor diuruskan oleh keluarga. Dr Burhanuddin al- Helmy mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu di Behrang Ulu dan kemudian di Bakap sehingga darjah tiga.

Pada sebelah petangnya, Dr Burhanuddin al-Helmy mengikuti kelas al-Quran dan agama. Pada waktu lapang, Dr Burhanuddin al-Helmy belajar ilmu perubatan Melayu seperti jampi-jampi dan mantera daripada seorang datuk saudaranya.

Dr Burhanuddin al-Helmy dikatakan menyalin bahan-bahan ramuan untuk ubatan-ubatan Melayu itu.

Selepas bersekolah di Bakap, beliau berpindah pula ke sekolah di Kota Bahru (Perak) dan mula menceburkan diri dalam bidang penulisan dengan menerbitkan akhbar mingguan iaitu Berita Minggu yang menyiarkan beritaberita di dalam dan di sekitar kampungnya.

Pada tahun 1924, setelah tamat sekolah Melayu, Dr Burhanuddin al-Helmy dihantar oleh bapanya ke Sungai Jambu, Sumatera untuk mendapatkan pendidikan Islam di sana. Selama dua tahun di sana beliau dikatakan dididik dan dipengaruhi oleh guru-guru dan ajaran-ajaran Kaum Muda.

Beliau kemudiannya tidak mahu meneruskan pengajian di sana kerana tidak setuju dengan cara pendidikan yang dijalankan di sekolah agama itu.

Sistem menadah tangan dan menghafal kitab yang sama tidak disukai oleh Dr Burhanuddin al-Helmy. Beliau lebih suka satu bentuk metodologi pengajaran dan pembelajaran yang bersifat perbincangan dan soal jawab antara guru dengan murid dilaksanakan.

Ini kerana, beliau mempunyai banya persoalan yang ingin dihuraikan. Beliau mempunyai sikap ingin tahu, tidak dapat berpuas hati dengan satu jawapan yang sangat kaku. Beliau tidak suka pemikirannya dikongkong.

Apabila berhenti dari sekolah di Sungai Jambu Sumatera, Dr Burhanuddin al-Helmy dihantar belajar oleh ayahnya di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah. Tuan guru pondok itu ialah Tuan Guru Haji Salleh Ismail iaitu sahabat kepada bapa Dr Burhanuddin al-Helmy.

Oleh kerana beliau berasakan cara pengajian dan sukatan pelajaran di pondok ini tidak memadai baginya, Dr Burhanuddin al-Helmy berpindah pula ke Madrasah al-Masyhur al- Islamiyyah, Pulau Pinang.

Di madrasah ini, Dr Burhanuddin al-Helmy belajar sehingga tamat Thanawi (menengah atas) pada tahun 1934. Satu hakikat yang tidak dapat disanggah di sini ialah, Dr. Burhanuddin al-Helmy telah dipengaruhi oleh pemikiran dan keperibadian politik Sheikh Abu Bakar al-Rafie iaitu Mudir madrasah, Haji Arshad al-Bawayih, seorang ahli tatabahasa bahasa Arab iaitu seorang dari golongan ‘Kaum Muda’ dan Ashiran Yaakob, seorang penulis yang turut serta dalam memperjuangkan nasib politik, ekonomi dan sosial orang Melayu.

Dr Burhanuddin al-Helmy kemudiannya ditawarkan biasiswa oleh hartawan-hartawan India Islam di Pulau Pinang untuk melawat dan meneruskan pengajian di India. Semasa di India, Dr Burhanuddin al-Helmy belajar bidang homeopati sehingga memperoleh ijazah homeopati.

Bidang ini telah dipelajarinya di Ismailiah Medical College.

Dr Burhanuddin al-Helmy juga mendapat kelulusan Doctor of Naturopathy dari School of Naturopathy, London secara ijazah luar kampus. Penganugerahan ijazah lain yang diperolehnya seperti Doctor of Divinity daripada International Academy Canada, kerana penglibatan luas beliau dalam bidang perubatan homeopati. Ini termasuk juga penganugerahan ijazah Doktor Falsafah.

Dr Burhanuddin al-Helmy juga dikatakan belajar di Aligarh Muslim University, India. Semasa dalam perantauan di negara orang inilah Dr Burhanuddin al-Helmy banyak belajar dan menerima pengalaman politik dari nasionalis-nasionalis luar negara.

Di India, beliau telah didedahkan dengan perjuangan Mahatma Gandhi menuntut pembebasan India daripada penjajahan British.

Beliau dikatakan menghadiri rapat umum dan ceramah-ceramah Mahatma Gandhi serta mengikuti pendapat Mahatma Gandhi yang menuntut kebebasan politik bagi India dan tidak menggalakkan kekerasan dan permusuhan dalam kalangan orang India. Semasa di India juga, Dr Burhanuddin al-Helmy terdedah dengan ajaran tasawuf Naqsyabandiah Semasa melawat Palestin, beliau telah melihat tindakan politik dan ketenteraan British mewujudkan sebuah negara Israel dengan menafikan hak politik bangsa dan negara Palestin. Dr Burhanuddin al-Helmy turut terlibat dalam perarakan menentang Perjanjian Balfour yang membentuk negara Israel.

Akibatnya beliau ditahan oleh British.

Pengalaman-pengalaman yang dikutip dari perantauan ini menjadi pedoman dan inspirasi perjuangan membebaskan negara daripada penjajahan kuasa barat. Bersama-sama dengan Ibrahim Haji Yaakob, Onan Siraj dan beberapa orang pemimpin KMM yang lain, Dr Burhanuddin al-Helmy telah menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) pada Julai 1945.

Penubuhan KRIS digalakkan oleh pihak Jepun. Jepun sebenarnya telah menjanjikan kemerdekaan kepada Indonesia.

Justeru itu beberapa siri rundingan telah diadakan antara pihak Jepun dengan Soekarno. Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ibrahim Yaakob ingin membawa Tanah Melayu merdeka bersama Indonesia apabila Jepun berundur nanti.

Atas matlamat inilah satu perundingan dan perbincangan telah diadakan antara brahim Yaakob dengan Soekarno dan Hatta di Taiping pada 12 dan 13 Ogos 1945. Soekarno dan Hatta pada ketika itu dalam perjalanan pulang dari Saigon setelah bertemu Field Marshall Terauchi, Pemerintah Tertinggi Tentera Jepun bagi Asia Tenggara. Usaha-usaha mencapai kemerdekaan dalam konsep Indonesia Raya ini telah dijalankan dengan digerakkan oleh Dr Burhanuddin al-Helmy.

Satu mesyuarat telah diadakan di Kuala Lumpur pada 15 dan 16 Ogos 1945 bagi merancang beberapa langkah yang patut dibuat bagi menentang kemasukan semula British ke Tanah Melayu.

Mesyuarat juga telah memutuskan sebuah kabinet akan dibentuk bagi negara merdeka tersebut dengan nama Malaya Demokratik Rakyat, di mana dalam kabinet ini Dr Burhanuddin al-Helmy juga dilantik sebagai anggota kabinet.

Mesyuarat juga membincangkan cara-cara bagi menggelak penguasaan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) selepas pengunduran Jepun.30 Pada 17 Ogos 1945, atas arahan Ibrahim Yaakob satu perjumpaan dengan wakil-wakil pemuda KRIS telah diadakan di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Perjumpaan ini turut dihadiri Itagaki dan dua orang kawannya.

Pihak Jepun telah memberitahu rancangan untuk merdeka dalam Indonesia Raya tidak dapat dilaksanakan kerana penyerahan diri Jepun secara mendadak pada 15 Ogos 1945. Dengan itu usaha untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu juga gagal.

Kegagalan ini sedikit menghampakan Dr Burhanuddin al-Helmy. Jika usaha ini berjaya kita mungkin dapat membayangkan Dr Burhanuddin al-Helmy akan menjadi Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama, seorang pemimpin yang menggabungjalinkan semangat kemelayuan, nasionalis tulen dan semangat keislaman." (http://www.detikdaily.net/v6/modules.php?name=News&file=print&sid=16711)

  Dari sudut yang lain, ramai juga antara kita yang maklum bahawa Dr. Burhanuddin petah berbahasa dan memberi ucapan. Di dalam ucapannya terselit kepandaiannya menggunakan bunga bahasa yang sebahagiannya datang dari rumpun bahasa Melayu dan sebahagiannya daripada Bahasa Arab. Di dalamnya juga mungkin terselit perkataan-perkataan Sanskrit atau berhubung dengan budaya masyarakat India memandangkan Dr. Burhanuddin juga pernah belajar di sana.

  Antaranya ialah seperti yang dipetik oleh pengarang artikel "Dr. Burhanuddin: Putera Besar Melayu Raya" di bawah:

Di atas runtuhan kota Melaka

kita bangunkan jiwa merdeka,

bersatulah Melayu seluruh baka,

membela hak keadilan pusaka…”

  Syair klasik karya Dr Burhanuddin ini dikatakan yang dirakamkan oleh Hamka dalam bukunya Dari Perbendaharaan lama (1981: 174). Menurut penulis blog ini, syair itu sebenarnya telah diungkap Dr Burhanuddin ketika menyampaikan ucapan perdananya di Kongres Ke-2 Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di Melaka dalam tahun 1946.

  Kata penulis, Hamka merakamkan puisi lama itu ke dalam bukunya barangkali kerana pengaruh syair itu yang meluas di kalangan pejuang-pejuang tanah air di masa lampau yang sering mengungkapkannya semasa berjuang menggerakkan dan menaikkan semangat orang-orang Melayu supaya bangkit menentang penjajah Inggeris. (https://zabidin13.wordpress.com/2008/06/14/dr-burhanudin-al-helmi-putera-besar-melayu-raya/)

  Syair sedemikian masih bermutu dan tentulah harus dipandang penting kerana ia merupakan karya peninggalan seorang tokoh politik yang telah banyak menyumbangkan jasa dalam kebangkitan semangat kebangsaan Melayu pada abad ke-20 di Tanah Melayu.

  Salam kemerdekaan.

  Salam daripada kami di HBI.

 

Penulis sesi ini: Admin HBI.

 

 

     
 
 

© HBI Health & Homoeopathy Centre 2015