Iklan Produk HBI:

 

 

LAMAN KONSULTAN HBI

DRHATTA.COM 2008-2015 - HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

"Promoting Homeopathy All Malaysia Over" project for continuous publication of homeopathy books & virtual knowledge. - info HBI

Laman Utama :

  Sarah Modvier dan Irfan Khairi Dengan Kehebatan Tersendiri (03/09/15)

 Dua usahawan muda dijemput khusus di dalam program Eksplorasi Niaga, Karnival Usahawan Desa (KUD) 2015 yang berlangsung di Presint 3, Putrajaya bermula dari 2 hingga 6hb September 2015.

  Mereka dijemput oleh pihak bertanggungjawab kerana mempunyai kelebihan tersendiri sehingga berjaya menempatkan diri dalam lanskap keusahawanan bumiputera di Malaysia tanpa memerlukan bantuan kewangan agensi kerajaan.

  Pada sebelah petang 2hb Sept, dalam Sembang Bersama Usahawan dalam program Seminar Usahawan KUD 2015 di venue yang dikendalikan oleh MARA, Siti Sarah binti Mohd Nor telah dibawa ke pentas bagi mendapat maklumat hati ke hati bagaimana beliau boleh maju dalam jarak yang begitu pantas. Siti Sarah berasal dari Perak dan merupakan lulusan daripada UPM.

  Menurut beliau, memang pada asalnya beliau hanya mengendalikan bisnes secara online dengan menjual barangan kanak-kanak, tetapi kemudiannya timbul minatnya untuk menjual pakaian muslimah. Bisnes ini dijalankan kerana pada waktu itu beliau merupakan suri rumah sepenuh masa.

  Ada juga waktunya beliau bekerja seperti menjadi lecturer, tetapi itu tidak kekal. Sebaliknya apabila beliau dengan tiba-tiba mengemukakan suatu idea kepada suaminya untuk meneroka dalam bisnes eksklusif menjual pakaian berjenama di kawasan yang padat dengan isi rumah kelas atasan dan pertengahan, ianya telah mendapat restu suaminya.

  Dengan bermodalkan RM150,000.00 beliau terus membuka sebuah kedai yang dibuat renovasi serta menempatkan 25 jenama pakaian popular waktu itu di Bangsar. Tanpa disangka, kedai yang diberi nama Modvier itu menjadi tumpuan masyarakat di situ melebihi jangkaan.

  Dalam masa dua tahun sahaja, sambutan yang diberikan memberi isyarat yang cukup untuk beliau terus bergerak maju. Lantas di dalam sesi temubual itu juga, beliau memaklumkan bahawa satu lagi outlet akan dibuka, iaitu di bandar Kuantan.

  Beliau menasihatkan kepada usahawan supaya lebih fokus apabila membuat sesuatu usahaniaga. Justeru apabila ditanya oleh salah seorang hadirin mengenai pakaian rekaan dan jenama sendiri yang mungkin beliau keluarkan, beliau dengan tegas mengatakan bahawa waktu ini fokus beliau ialah kepada memasarkan pakaian  berjenama.

  Hingga waktu ini, beliau sudah mempunyai outlet utama yang lebih besar serta sudah menyediakan 75 brand pakaian berjenama di Bangsar. Tambahan itupun baru bermula sejak Februari 2015. Outlet baru di Kuantan dijangka mula beroperasi pada Januari 2016.

  Seperti Siti Sarah, Irfan Khairi juga telah menempah kejayaan sejak awal lagi. Sekiranya dahulu bisnes online membawa beliau hingga menempah nama sebagai jutawan internet, tapi hari ini, bisnes beliau lebih kepada memberi input kepada lebih ramai usahawan yang ingin menceburkan diri di dalam bisnes online.

  Selain mengendalikan kelas untuk usahawan yang berminat kepada bisnes online, beliau menerima sangat banyak jemputan bagi memberi ceramah. Lebih seminggu yang lalu beliau telah menggegarkan program BAHTERA di KLCC, kini beliau dijemput khusus untuk berkongsi dalam program Seminar Usahawan KUD 2015.

  Apabila beliau hadir untuk berceramah pada pagi tadi 3hb Sep. kali ini ruang Bilik Seminar penuh padat sehingga ramai yang terpaksa berdiri. Sangat ramai audiens berpuas hati dengan ceramah bimbingan online Irfan, sementara soalan-soalan yang ditanya hadirin pula dijawab dengan tepat dan memuaskan.

  Beliau merupakan seorang yang berjaya memenuhkan waktu yang diberikan dengan isi-isi (content) yang relevan dan praktikal. Inilah yang menyebabkan banyak penganjur ingin berterusan menjemput beliau untuk menyampaikan kuliah berkaitan bisnes online.

  Demikian pandangan-pandangan yang kami terima daripada peserta seminar dan penganjur program berkaitan penyampaian Irfan. Pendek kata, beliau tidak lokek berkongsi ilmu yang bermanfaat buat semua, terutama peserta yang berminat dengan trend keusahawanan generasi baru.

  Salam daripada kami di HBI.

 

Penulis sesi ini: Admin HBI.

 

 

     
 
 

HBI Health & Homoeopathy Centre 2015