Iklan Produk HBI:

 

 

LAMAN KONSULTAN HBI

DRHATTA.COM 2008-2015 - HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE

"Promoting Homeopathy All Malaysia Over" project for continuous publication of homeopathy books & virtual knowledge. - info HBI

Laman Utama :

  Pocket Corner Tiga Usahawan Dalam KUD 2015 (04/09/15)

 Dalam slot Pocket Corner Eksplorasi Niaga, Seminar Usahawan KUD 2015, tiga lagi usahawan dijemput untuk berdiskusi dalam usaha menggalakkan anak-anak muda dan usahawan baru memberi komitmen lebih padu di bidang perniagaan.

  Kali ini, seperti yang dijemput oleh En Zahemi selaku moderator, panel-panel itu ialah Sdr Fizo Omar, Pn Nur Fatin Dato' Seri Ibrahim dan Datuk Rosyam Nor.

  Fizo Omar yang popular sebagai seorang pelakon dan usahawan muda, telah membawa momentum baru dalam selok belok perniagaan hari ini. Beliau bukan sahaja berjaya menempatkan dirinya sebagai ikon remaja, malahan mempunyai kepakaran dalam menggunakan platform media sosial sebagai medium pengiklanan.

  Sehingga ini beliau sudah berjaya membantu mempromosi produk dan perniagaan kepada berjuta akaun dengan kadar yang rendah. Malahan facebook beliau telah diiktiraf sebagai "the fastest growing page facebook in Malaysia".

  Kata beliau, "Seperti kata salah seorang pakar sekiranya perniagaan kita tidak ada internet, kita belum ada bisnes. Jika anda mempunyai bisnes pada hari ini, walaupun hanya menjual goreng pisang, anda seharusnya mengguna internet, sekurang-kurangnya ada facebook, twitter atau Instagram. Itulah menunjukkan pentingnya sosial media hari ini."

  Bagaimanapun, beliau kini begitu popular sebagai usahawan "Hot Burger" yang membekal dan membantu usahawan baru dalam perniagaan bisnes burger hanya dengan mempunyai modal asas sebanyak RM2,000 sahaja. Mereka yang mendapat bekalan daripada beliau bukan sahaja diberi segala peralatan dan kit untuk operasi, malah diberikan kursus bagaimana menjalankan bisnes burger.

  Kini beliau sudah mempunyai ofis dan cawangan-cawangan di Melaka, Johor, Selangor, KL dan Kelantan. Pada bulan September ini, cawangan baru di Terengganu akan dibuka. Melalui kaedah beliau ini, para peniaga juga akan memperoleh keperluan bahan pada kadar yang rendah.

  Pn Nur Fatin pula adalah penyambung legasi kepada bisnes ayahnya di bawah jenama Brahim. Brahim Group atau Dewina Group sudah menempah nama di Malaysia sejak tiga puluh tahun yang lalu.

  Jenama Brahim terus meningkat naik dan relevan kerana ia berjaya mengguna teknologi baru dalam katering, pemprosesan dan pembungkusan makanan, dan membuka rangkaian restoran antarabangsa termasuk di Jepun.

  Brahim Group turut membekalkan makanan siap bungkus ke dalam industri penerbangan peringkat antarabangsa termasuk MAS. Pn Nur Fatin adalah Pengarah Kumpulan yang bertanggungjawab membawa jenama keluarganya ke perada global.

  Seperti disebutkan oleh Datuk Rosyam Nor, beliau dan keluarganya juga telah mengguna makanan berpaket jenama Brahim sejak sebelum kahwin lagi. Antara produk yang paling beliau suka ialah kuah kacang keluaran Brahim.

  Datuk Rosyam seterusnya mengulas, "Fizo pula merupakan orang yang pandai menggunakan sosial media sebagai alat atau satu sumber pendapatan." Justeru, Fizo Omar menjadi jutawan kerana kebijaksanaannya mengguna platform sosial media tersebut.

  Malangnya, sambung Datuk Rosyam Nor, "Di negara Malaysia lebih daripada 16 juta orang menggunakan sosial media, merupakan antara negara yang paling tinggi menggunakan sosial media. Tetapi 90 peratus daripada penggunanya menggunakan sosial media untuk sesuatu yang tidak tentu arah, memasukkan benda-benda yang membodohkan diri sendiri."

  Akibatnya, ramai orang di Malaysia khususnya bangsa Melayu yang tidak pandai menggunakan media sosial untuk tujuan kebaikan telah membuat wakaf dosa melalui media sosial. Ini dilakukan dengan aktiviti menjatuhkan bangsa sendiri, menjatuhkan maruah diri, mengaibkan orang dan menabur fitnah.

  Inilah pertama kali kami melihat Datuk Rosyam Nor, yang bukan saja hebat sebagai pelakon dan produser filem, malah pandai pulak memberi motivasi dan nasihat. Situasinya pula amat tepat kerana audiens terdiri daripada pelajar institusi pengajian MARA, usahawan dan pengunjung Karnival Usahawan Desa (KUD).

  Sebagai usahawan pula, beliau mengatakan bahawa semua pencapaian yang diperolehnya adalah melalui kerja keras. Ini adalah kerana beliau bukannya datang daripada keluarga berada dan semasa kecil dulu pula agak nakal orangnya.

  Tetapi kenakalan itulah yang menjadikan beliau hebat dalam lakonan filem dan boleh memainkan pelbagai watak.

  Selain berjaya membawa Suhan Movies jauh ke depan dengan menjadi syarikat pengeluar drama Melayu terbesar di Malaysia, Datuk Rosyam juga terlibat dalam bidang pertanian dengan memiliki seratus tujuh puluh lima ekar tanah di Lancang, Pahang. Di dalam kawasan tanah yang begitu luas, beliau telah mengusahakan tanaman nangka madu sebanyak 7,000 pokok dan 8,000 pokok durian Belanda.

  Kejayaan itu diperoleh bukan dengan senang dan dengan membuka perniagaan yang terus besar. Sebaliknya, semua itu hanya berjaya dilakukan dengan berdikit dan secara kecil-kecilan terlebih dahulu. Kerana itu, beliau turut menasihatkan anak-anak muda agar berniaga dengan bermula dari sekecilnya dan tidak perlu berangan hendak mendirikan perniagaan yang besar pada peringkat permulaan.

  "Kalau kita berniaga dengan membuka perniagaan besar sekaligus, ia akan jahanam, kerana kita tidak ada pengalaman", katanya lagi. Pengalaman jatuh bangun itu penting. Hendak mula berniagapun penting. Kerana bila kita hendak berniaga, kita tidak boleh main ikut-ikut saja.

  Selain itu, beliau memaklumkan kepada audiens bahawa beliau kini turut memiliki 8 buah hotel boutique. Walaupun kecil tetapi memiliki aset seumpama itu amat besar ertinya, jelas beliau sambil senyum. Beliau juga sudah membuka syarikat "money changer" sendiri dan mula menjadi pengedar traktor Bumiputra di Malaysia.

  Beliau memberi suntikan semangat supaya apabila hendak terjun ke dalam keusahawanan, kita harus berani dan "Buat. Buat, buat, buat. Gagal, buat, gagal, buat, gagal, buat. Dan akhirnya ia akan berjaya."

  Itulah Datuk Rosyam Nor, yang berjaya walaupun berasal lahir di kampung setinggan. Kenyataan beliau hampir sama seperti yang disebut oleh mentor usahawan, iaitu Dr. Azizan Osman - seseorang itu harus mempunyai "Tindakan". Tanpa tindakan, impian dan idea akan sia-sia.

  Daripada perbualan di luar pentas Pocket Corner, rakan-rakan juga diberitahu bahawa beliau turut merancang menerbitkan sebuah buku autobiografi serta merakamkan jatuh bangun beliau di dalam perniagaan.

  Kami daripada HBI mengucapkan syabas dan semoga hasrat Datuk Rosyam Nor untuk merakamkan semua pengalaman beliau dalam bentuk sebuah buku itu menjadi kenyataan.

  Salam daripada kami di HBI.

 

Penulis sesi ini: Admin HBI.

 

 

     
 
 

HBI Health & Homoeopathy Centre 2015