Mobile - Artikel Pilihan 2019

 

HBI DALAM SEJARAH PERUBATAN HOMEOPATI DI MALAYSIA 

- 2 Januari 2019

Selamat Tahun Baru 2019 buat sekalian sahabat HBI. Tahun ini HBI sudah masuk ke tahun 23 penubuhan dan tahun kedua selepas penerbitan buku yang pertama Perubatan Homoeopati pada tahun 1997.

HBI adalah satu akronim kepada tiga istilah popular dalam perubatan alternatif. Ia merujuk kepada Homeopathy, Biochemistry dan Iridology. Perubatan homeopati ialah kepakaran konsultan kami dalam perubatan alternatif, biokimia adalah perubatan alternatif yang seiring dan pelengkap kepada sistem perubatan homeopati, dan Iridologi pula merupakan satu kaedah diagnosis yang dilakukan dengan menilik iris.

Itulah singkatan HBI yanag mana suatu waktu dahulu sahabat kita arwah Dr. Azizan Hj Ismail pernah bertanya kepada konsultan HBI, tetapi beliau mendiamkannya. Pasti tokoh itu sudah menjangka akan makna akronim itu walaupun konsultan kami mengatakan bahawa ia 'merujuk kepada nama isterinya Huzaini binti Ibrahim', yang mana HBI itu juga merupakan singkatan kepada nama isteri arwah Dr. Azizan. Kebetulan kan?

Tujuan Penubuhan HBI

Tujuan kami menubuhkan syarikat ini tidak lebih daripada untuk mengembangkan ilmu perubatan yang masih dianggap baru ketika itu. Waktu itu, walaupun sudah puluhan tahun bertapak di Malaysia, namun ia seperti tersembunyi. Belum begitu ramai anggota masyarakat yang mengetahui mengenainya meskipun (i) persatuan homeopati terulung PPHM sudah giat mendidik dan mempromosikan homeopati, (ii) Dr. Nik Omar juga mempromo homeopati seperti yang selalu tersiar di dada2 akhbar, hingga membawa persidangan antarabangsa beberapa kali ke Malaysia sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, (iii) Dr. Azizan melebarkan maklumat mmengenai homeopati melalui produk, kursus-kursus dan program-program motivasi Sistem Era Edar dan (iv) tidak sedikit juga ahli-ahli homeopati secara persendirian berusaha menyebarkannya secara persendirian.

Dalam jangka waktu inilah, kami mengisi ruang yang kosong iaitu dengan cara memberikan fokus kepada bidang (i) penerbitan buku-buku dan penulisan bahan-bahan homeopati dan (ii) melayarkan maklumat digital sebanyaknya ke alam maya. Ini dilakukan semasa ramai pengamal masih terkial-kial mencari tapak, iaitu di era komputer serba baru sementara era internet melalui handfon virtualpun masih belum ada.

(i) Pertama, (i) Dalam tempoh setahun sahaja selepas penubuhan HBI, kami telah berjaya menerbitkan buku yang pertama dan paling popular, iaitu "Perubatan Homoeopati". Buku ini memecahkan rekod kerana ia memberi fokus kefahaman kepada pelajar, pengamal dan sekaligus kepada masyarakat umum. Apakah ini buku homeopati pertama diterbitkan di Malaysia? Tidak. Tetapi kebanyakan penerbit-penerbit sebelumnya tidak bertahan lama. Selepas satu atau dua buku diterbitkan, biasanya syarikatnya hlang dari persada penerbitan tanah air.

Memang menerbitkan buku dan mengedarnya menelan kos yang besar. Jika matlamat penerbitan sekadar untuk populariti dan mendapatkan untung, boleh dikatakan kurang berbaloi. Itu adalah antara punca syarikat boleh gulung tikar dalam arena penerbitan buku-buku homeopati.

AlhamduliLlah. Syukur kepada Allah swt., justeru kami sempat mengharungi gelora ombak sehingga sempat menerbitkan sehingga dua belas (12) tajuk buku-buku homeopati setakat ini. Termasuk yang terakhir buku Organon Perubatan Homeopati pada  tahun 2017. Bagi kami, ini adalah satu kejayaan luar biasa. Ataukah sebaliknya??

Bagaimana kami bisa melangkah sejauh ini? Adakah formulanya?

Rasanya ia berjaya kerana beberapa sebab. Antaranya ialah (a) kerana motif utama kami yang ingin melebar-luaskan ilmu perubatan homeopati kepada semua anggota masyarakat dan bukan keuntungan semata-mata, (b) kami mendapat sokongan daripada produk-produk yang dihasilkan oleh konsultan seperti Active IQ, Homeo-ABC dan set Pranatal. Hasil pulangan produk-produk itu telah digunakan bagi menerbitkan buku-buku yang seterusnya, (c) apabila sudah lebih daripada lima atau enam kali buku-buku baru homeopati diterbitkan, ia memudahkan syarikat melariskan kembali buku-buku homeopati lama bersama dengan buku-buku baru, dan (d) juga kerana buku-buku yang dikeluarkan sentiasa membawa topik yang berbeza, ia tidak mengulang cerita lama dalam buku-buku sebelumnya.

(ii) Kedua, kami berjaya melayarkan berita-berita dan informasi berkaitan homeopati sebaik sahaja kita memasuki ambang alaf baru. Ini dilakukan melalui media internet yang masih terlalu baharu di Malaysia ketika itu. Bukan sahaja kami, bahkan semua orang dalam keadaan merangkak dalam usaha membina laman web sama ada untuk tujuan promosi, perniagaan ataupun memberi maklumat.

Laman Malaysia Homeopathy Cyber Library sudah dilancarkan seawal tahun 2001 dengan menggunakan tapak percuma 'Geocities'. Lebih kurang dua tahun kemudian kami membuat tapak khusus kepada tapak yang baru itu melalu alamat http://go.to.homeolibrary. Yang mana kemudiannya alamat itu diubah kepada tapak yang lebih kekal iaitu www.homeolibrary.com.

Tapak informasi virtual homeopati ini adalah tapak yang mungkin paling ramai diakses oleh mereka yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan homeopati, khususnya dalam bahasa Malaysia. Ia diselenggarakan dalam dua bahasa, iaitu bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris. Pendapat ini adalah berdasarkan rangking website untuk lebih sepuluh tahun setiap kali kami memeriksa ranking dalam Alexa.

Zaman Merosot Carian Laman HBI

Apa maksudnya zaman merosot ini? Ini ialah zaman di mana apabila semakin ramai pelayar akses internet menerusi handfon dan semakin kurang pelayar akses internet menerusi komputer. Pelayar menghabiskan banyak masa untuk membuat carian melalui gajet, namun kita pengamal homeopati masih leka dengan kaedah lama, menyediakan laman homeopati melalui program yang hanya sesuai ditonton melalui komputer. Ini berlaku kepada banyak laman web, termasuk laman homeolibrary.com, drhatta.com, eraedar dan lain-lain.

Demikianlah sahabat. Bila kita lalai untuk sama-sama berubah dengan perjalanan masa, lalu kita ditinggalkan oleh masa.

Selain itu, kita juga menghadapi zaman kemerosotan apabila media sosial mulai menguasai masyarakat. Kita menjadi semakin tertinggal apabila kita gagal membawa ilmu ini secara konsisten melalui media baru. Di sini, kami melihat Dato Dr.Suriyakhatun Osman telah berjaya mengguna ilmu media sosial dengan baik dan bijak melalu fb dan grup fbnya. Ikutilah perkembangan terbaru berkaitan banyak isu, khususnya isu homeopati, melalui grup yang dibina oleh Dr. Suriyakhatun. Kami mengucapkan tahniah kepada Dato Dr. Suriya.

 

Tahun 2019 untuk

HBI

Kami tidak tahu sejauh mana lagi kami mampu berlayar di lautan ilmu dalam daerah yang semakin mencabar ini. Konsultan kami sudah terasa penat dan masa yang dihabiskan untuk media sosial pada beberapa tahun yang akhir itu turut menuntut bayaran dari segi tenaga, emosi dan fikiran. Kini, sejak pulang daripada Makkah untuk mengerjakan haji pada tahun 2018, beliau sudah kurang aklif lagi. Apabila beliau kurang aktif lagi, maka HBI pun menjadi kurang aktif.

Kendatipun begitu, artikel ini berusaha membawa semangat baru bersempena dengan tahun baru 2019. Untuk page ini juga, kami cuba menggunakan mobile friendly html.

Persoalannya. Laman homoelibrary.com sudah terlalu berat. Maklumatnya tersangat banyak. Al-maklum, usianya sudah hampir dua dekad. Hampir tidak mungkin kami mengubahsuaikan ia supaya semuanya menjadi mobile friendly.

Tapi persembahan artikel ini, untuk kesekian kalinya, boleh dibaca melalui handset dan gajet sahabat-sahabat dengan selesa.

Sekian. Salam tahun baru. Moga tahun ini sejahtera buat semua.

 - Huzaini Ibrahim & Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD