Malaysia Homeopathy Cyber Library

       Promoting Homeopathy All Malaysia Over and Virtually.

 

Kembali

 

 

CABARAN 2015:

HARAPAN TINGGI MENGGUNUNG

(Esei HBI - HOMEOLIBRARY - 1 1 Jan 2015)

 

oleh:  Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD

 

PENGENALAN

Selalunya setiap kali menjelang awal tahun baru kita cenderung untuk memperkatakan ataupun meletakkan azam baru. Tetapi kali ini kita akan bawa cerita baru kerana perubatan homeopati di Malaysia telah memasuki gerbang baru dan senario yang semakin berubah.

  Dengan lahirnya tujuh graduan pertama BHMS (HONS) dari CUCMS yang sempurna pembelajaran mereka selama empat tahun, maka sekalian yang terlibat di dalam mengusahakan pengiktirafan kelulusan homeopati di bumi Malaysia bukan saja menghulurkan ucapan tahniah, tetapi turut berbangga di atas usaha puluhan tahun mereka menjadikan kelulusan homeopati yang diiktiraf di Malaysia menjadi suatu realiti.

  Paling berbangga di antara mereka ialah Ahli Lembaga  Eksekutif Majlis Perubatan Homeopathy Malaysia (MPHM) dan tokoh-tokoh/pengamal homeopati yang terdahulu termasuk mereka yang telah terlebih dahulu meninggalkan kita.

  Sebagai pemegang BHMS yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia, mereka bukan saja boleh membuka klinik sendiri seperti pusat-pusat rawatan homeopati yang dikendalikan oleh pengamal-pengamal homeopati sedia ada, malahan mereka boleh diambil bekerja di hospital-hospital kerajaan di bawah skim gaji yang sama dengan pegawai-pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam yang lain.

PENGALAMAN BARU

  Meskipun mereka merupakan pengamal homeopati yang diiktiraf, mungkin beberapa perkara harus dilakukan bagi membantu meningkatkan kemahiran mereka di dalam bidang homeopati. Jika tidak, akan terdapat beberapa jurang di antara mereka yang berkelulusan akademik dan pengamal sedia ada.

  Pertama, seeloknya mereka segera terlibat secara praktikal di hospital kerajaan sebagai tambahan kepada housemanship di universiti. Jika tidak, boleh bekerja bersama-sama pengamal sedia ada bagi mendapat lebih pengalaman dan banyak kes-kes rawatan.

  Kedua, melibatkan diri di dalam persatuan sebagai pengamal. Di dalam persatuan, mereka boleh bergaul dalam satu komuniti dan belajar melihat dan menilai di mana mereka boleh turut sama memberi sumbangan dalam membangunkan homeopati. Jika mampu, mereka juga boleh memikul beberapa tanggungjawab di dalam persatuan supaya mereka boleh menjadi pelapis dalam menggerakkan persatuan di masa akan datang.

  Ketiga, harus terbuka di dalam pergaulan dengan pengamal-pengamal sedia ada. Pengamal-pengamal sedia ada pula tidak harus kedekut ilmu atau dari segi yang lain tidak merasa inferiority complex dalam isu kelulusan kepada anak-anak lulusan BHMS ini. Melalui perkongsian pengetahuan dan pengalaman praktikal, pemegang BHMS akan lebih selesa berada di dalam masyarakat homeopati dan pengamal-pengamal sedia adapun akan mendapat manfaat bersama.

  Keempat, mereka juga harus lebih banyak membaca dan merujuk buku-buku homeopati di samping mempraktik dan menerima kes-kes baru. Harus diingat, ilmu yang diperolehi dalam kelas dan ijazah yang digondol bukan penamat dan mencukupi dalam melalui kehidupan sebagai seorang homeopath.

SUMBANGAN KEPADA MASYARAKAT

  Selain mengambil bidang homeopati ini sebagai kerjaya (career), hendaklah kita membawa semangat simpati dan empati di dalam homeopati lebih jauh lagi. Dalam ertikata lain, kita harus bersedia untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dengan menjadi pengamal di luar batasan.

  Hanya dengan cara ini saja kita boleh membezakan diri kita daripada orang yang mengambil kerjaya ini sebagai tempat mencari makan semata.

  Dalam kejadian banjir yang buruk yang melanda di penghujung 2014 baru-baru ini, banyak khidmat yang boleh diberikan oleh lulusan BHMS (seperti juga pengamal-pengamal lain). Kita boleh membantu memberi makanan, pakaian, ubat-ubatan, konsultasi percuma, mengendurkan kesusahan serta derita keperitan bencana, menyediakan talian bebas untuk panggilan kecemasan/pertanyaan, dan berbagai bentuk pertolongan lain.

  Sebelum inipun, kita pernah mendengar berita pengamal-pengamal sedia ada memikul tugas seperti ini. Pemegang ijazah BHMS harus juga dijinakkan dengan aktiviti-aktiviti seumpama ini.

SUMBANGAN KEPADA ILMU

  Di Malaysia perkembangan di dalam ilmu perubatan homeopati boleh dikatakan sangat perlahan berbanding perkembangan ilmu perubatan homeopati di Eropah. Semangat mengembang dan berkongsi ilmu yang ada kebanyakannya adalah di sekitar komuniti homeopati sahaja, dan lebih teruk lagi ialah disimpan di dalam persatuan atau di kalangan sahabat handai masing-masing.

  Sebagai lulusan homeopati BHMS yang bermutu akademik, mereka harus keluar daripada kepompong ini dan bertindak secara lebih intelek dan bijaksana. Apakah sumbangan dari segi ini yang boleh pemegang ijazah homeopati BHMS lakukan? Antaranya:

  - Mereka harus melibatkan diri di dalam kajian-kajian homeopati yang banyak diabaikan. Kajian-kajian kes dan rumusan-rumusan kes harus diperbanyakkan dengan asas pembuktian (evidence-based). Lebih baik lagi jika kajian-kajian ini dibentangkan di dalam seminar-seminar (kebangsaan atau antara bangsa) dan dibukukan sebagai rujukan autoritatif masa aan datang.

  - Mereka harus meneroka sumber-sumber ubat-ubat baru berdasarkan kekayaan bahan-bahan tempatan. Dengan kemudahan fasiliti di CUCMS atau di makmal-makmal kerajaan dan universiti tempatan, kita percaya perkara ini dapat dilakukan. Masyarakat Malaysia, seperti juga masyarakat India dan Eropah, mempunyai banyak sumber herba yang belum diteroka bagi dijadikan penawar homeopati, dibuat proving dan membantu menambahkan stok ubat-ubat homeopati di dalam materia medika.

  - Mereka harus rajin menulis untuk masyarakat. Homeopati bukannya ilmu untuk VVIP atau orang terpilih sahaja. Ada informasi atau maklumat-maklumat yang wajar dimaklumkan kepada masyarakat dan orang-orang awam. Berapa banyak buku-buku berkaitan perubatan konvensional yang telah diterbitkan dan dijual kepada orang awam (dan orang awam membelinya untuk ilmu dan pembacaan), tetapi homeopati sendiri sangat ketandusan dari segi penyebaran/penyampaian ilmu ini, terutamanya dalam bahasa Malaysia.

SUMBANGAN ALAM DIGITAL/VIRTUAL

  Perkembangan virtual sudah kian pesat. Persatuan dan individu juga telah mengambil inisiatif masing-masing bagi memperkayakan maklumat dengan mewujudkan website persatuan, membuka laman facebook, menghantar sms longgok, iklan produk serta servis dan sebagainya. Tetapi ianya masih jauh daripada mencukupi bagi anggota masyarakat Malaysia yang lebih 28 juta orang, apalagi di luar Malaysia.

  Jika mampu, mereka harus usahakan satu pangkalan data atau rangkaian maklumat bagi carian klinik-klinik homeopati di Malaysia di internet. Jangan jumud dan ego dengan menyenaraikan tujuh orang pemegang ijazah dan bakal lulusan CUCMS sahaja. Lima atau sepuluh tahun lagipun lulusan CUCMS tidak akan mampu memenuhi permintaan hospital kerajaan, apalagi keperluan rakyat Malaysia. Di talian HBI Health & Homoeopathy Centre sendiripun ramai yang selalu bertanya di Kuala Terengganu, di Kelantan, di Melaka, di Johor bahkan di seluruh Malaysia, mereka bertanya: di mana kami boleh dapatkan rawatan homeopati?

  Di manakah pangkalan data homeopati pengamal-pengamal sedia ada di Malaysia, terutama yang boleh diakses oleh pengguna? Mereka dahagakan perkhidmatan, tetapi maklumat tidak ada atau tidak lengkap.

  Demikian juga, anda harus menulis dan harus sentiasa update dengan berita-berita, informasi dan kajian-kaijan terbaru buat paparan masyarakat dan dunia. Tidak cukup sekadar memaklumkan tarikh seminar, tarikh mesyuarat agung atau bahan maklumat yang terbatas.

  Sekarang kita bercakap mengenai global atau sekurang-kurangnya masyarakat Malaysia, bukannya sekadar di kalangan ahli atau rakan facebook.

  Kawan-kawan, kita sudah berada di dunia tanpa sempadan, bukannya katak-katak di bawah kawah atau kuali lagi.

PENUTUP

  Jadi, sekali lagi kita petik makna surah al-'Asr "Demi masa, Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian, Kecuali mereka yang beriman dan beramal saleh, Dan yang berpesan tentang kebenaran dan yang berpesan tentang kesabaran". (surah ke 103: al-'Asr)

  Selain beriman, marilah kita secara beramai melakukan amal saleh. Secara komited kita berikan sumbangan. Dengan semangat inginkan kebaikan buat semua, buang ego, kedekut, sombong, pemalas, dengki, mengejar duit dan nama semata-mata, kepada melakukan amal saleh dan berpesan tentang kebenaran ilmu, lalu bersabar.

  Marilah kita di tahun 2015 ini membuat suatu perubahan, khususnya anak-anak kita yang baru lulus BHMS dari CUCMS. Benar sekali, harapan kami tinggi menggunung, tetapi semua ini demi perkembangan homeopati yang lebih dinamik dan demi anda peneraju generasi baru.

Salam Tahun Baru 2015 !!!

Sekian. Wa Llahu a’lam.

Referens:

   

HBI Health & Homoeopathy Centre
drhatta3@yahoo.com

 


Sumber:

Virtual copyright © HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE 2015