| 
            
           Pengenalan 
          
          
          Apabila kita 
          membaca karangan Dr. Burhanuddin al-Helmy yang telah ditulis beberapa 
          dekad yang lalu, kita merasakan seolah-olah beliau baru menulisnya 
          semalam sahaja. Begitu hebat dan berkesannya buah fikiran, idea, 
          semangat dan cita-cita murni beliau ingin melihat homeopati bertapak 
          dan menjadi perubatan arus perdana di bumi tercinta ini - Malaysia. 
          
            Hari ini kita melihat sistem 
          perubatan ini mulai berubah sedikit demi sedikit baik dari segi 
          penerimaan masyarakat, pengiklanan, pengiktirafan, pengajaran dan 
          pembelajaran maupun dari segi persembahannya kepada masyarakat. 
          
            Namun perubahan itu harus dianjakkan 
          lagi. Ia harus lebih laju dan lebih dinamik. Ia harus lebih terbuka 
          dan canggih. Ia harus lebih peramah, mendekati dan prihatin terhadap 
          individu, masyarakat dan permasalahanya. Ia harus merangkumi segala 
          yang terhidang di dada realiti dan maya. Ia harus dibuat suatu 
          transformasi yang lebih jauh untuk kekal relevan. 
          
            Dua perkara saya ingin nyatakan 
          secara jelas di ruang dan hari terakhir tahun 2011 ini. 
           
            
          Pertama ialah 
          mengenai "Customization". 
          
          Di akhir abad yang lalu, bukan saja 
          industri dan kilang yang memasarkan produk yang boleh memuaskan 
          majoriti pengguna, tetapi para pengamal homeopati pun demikian juga. 
          Semakin banyak syarikat dan semakin ramai individu pengamal mulai 
          membuat dan mencipta remedi kombinasi homeopati untuk dipasarkan. 
          
            Dengan cara itu, harapannya ialah 
          produk tersebut boleh dibeli dan memuaskan kebanyakan orang. Melalui 
          cara itu banyak barang dapat dijual, untung masuk berganda dan 
          pasarannya meluas sekali. Mungkin di beberapa negara luar terdapat 
          beberapa kejayaan justeru pasarannya yang boleh dieksport. 
          
            Namun di Malaysia, keadaannya agak 
          sukar. Pasarannya kecil, peraturannya agak ketat, persaingan tinggi, 
          daya membeli ataupun permintaan orang ramai tidak begitu tinggi buat 
          mengayakan semua pengusaha. Justeru dalam perubatan homeopati, hanya 
          Prof. Dr. Azizan Ismail yang bertuah justeru kemunculan beliau secara 
          kreatif pada peringkat awal amat tepat pada waktunya. 
          
            Semua usaha syarikat dan pengamal 
          yang lain berakhir dengan kempunan, mungkin subur tetapi kurang 
          menjadi. Jika mereka ini meneruskan juga di dekad baru ini, tidak ke 
          manapun hasilnya.  
          
            Hari ini dengan ledakan sistem 
          maklumat dan penyampaian yang begitu pantas, mereka yang kekal dengan 
          arus ekonomi kuno dalam bidang homeopati mungkin akan ketinggalan.
           
            Sekarang dengan kecenderungan ke arah 
          "customization" 
          dalam ekonomi, cita-cita pengamal untuk mendapat 'hits' dalam 
          produk mereka mungkin kurang menjadi (seperti kejayaan EXAMO suatu 
          masa dulu). One-size-fits-all 
          tidak semestiya menjadi, malah berkemungkinan menghadapi persoalan dan 
          kesukaran. 
            Kritikal pada waktu ini ialah 'customization' 
          dan 'specialization'. 
          Kini niche replaces hits. 
          Yang mana ini semua bermakna tentulah lebih bererti jika pengamal 
          semua kembali kepada prinsip "individualization" 
          yang disaran oleh mahaguru kita, Samuel Hahnemann. 
          
           
          
            Bukan saja dalam pemasaran produk, 
          malah dalam bilik rawatan juga kita sarankan supaya janganlah pengamal 
          terlalu bergantung kepada radionic, pendulum, remedi kombinasi dan 
          seumpamanya. 
          
            Perkasakan ilmu kita berkaitan 
          penawar atau remedi, repertorization, simptom-simptom pesakit/penyakit 
          dan senario persekitaran dan zaman ini di samping sentiasa kemaskini 
          dengan keperluan basic pengamal, insya Allah kita akan pasti 
          berjaya. 
            
          Kedua ialah kesedaran 
          tentang Informasi (The 
          Info Economy) 
          
          Sebenarnya sudah lama kita sampai dan 
          sama-sama melalui era baru ini. Tetapi sebahagian besar daripada kita 
          tidak seratus peratus berusaha memasukinya atau merelakannnya. Ramai 
          yang masuk dengan semangat 'enggan', serba salah, semangat 'kedekut', 
          'ego, bahkan ada yang bungkam dalam nostalgia sijil homeopati dan ilmu 
          nan setitis.  
          
            Malahan sewaktu saya mula menulis dan 
          menerbitkan buku "Perubatan Homoeopati" pada tahun 1997 dahulu dan 
          berusaha memasarkannya, ada pengamal yang ditemui mempersoalkan "Apa 
          perlunya dipasarkan buku ini? Tidak semua orang perlu (atau patut??) 
          tahu mengenai homeopati."  
          
          [Sukacita saya 
          pesankan di sini, jika ada di antara anda masih seperti ini pada saat 
          ini, anda sudah beribu batu ketinggalan keretapi] 
          
            Demikianlah sikap dan fiil perangai 
          yang menyebabkan ilmu perubatan homeopati ini tidak maju mengikut arus 
          sepatutnya di bumi Malaysia. Meskipun hari ini kita bolehlah berbangga 
          sedikit dengan kesediaan persatuan dan individu homeopati membuka 
          laman sendiri (termasuk blog2) buat menyebarkan risalah berharga ini. 
          Namun pastinya, tentulah apa yang ada ini masih amat tidak mencukupi. 
            Kita 
          perlukan bahannya yang berkualiti. Bukan 
          setakat iklan-iklan dan gambarnya yang gah semata-mata. 
            Justeru saya peringatkan di sini 
          bahawa kita harus lebih cergas dan agresif lagi. Kita 
          harus sedar yang capaian masyarakat kepada ilmu 
          ini teramat-amat penting dalam segala rupa bentuknya.
          Ilmu pada 
          hari ini adalah milik semua dan ia 
          berjalan teramat pantas sebagaimana ia 
          bermula dengan komputer pertama dihasilkan sehingga kepada teknologi 
          wifi dan touch screen serta dengan iphonenya (terkini). 
          
            Apakah pengamal homeopati di Malaysia 
          masih belum bersedia? Lupakanlah nostalgia lama dan semangat ingin 
          menyimpan-nyimpan ilmu dan bahan yang sudah menjadi arkib. Zaman 
          sekarang ialah zaman 'memberi' (giving), zaman sekarang ialah 
          zaman 'berkongsi' (sharing).  
          
            Hari ini ilmu dan bahan kita harus 
          diperbaharui setiap hari. Arkib kita juga harus dikemaskini. Lebih 
          daripada itu, bahan arkib kita jua harus dapat dicapai oleh semua 
          orang lain. 
          
            Jika ayat dan perenggan yang terakhir 
          itu tidak dapat difahami dan sukar dicernakan, keluarlah kita dari 
          dunia ini kerana kita bukan manusia homeopati yang boleh melihat dan 
          melakukan inovasi. 
            
          Penutup 
          Sebagai penutup buat hari terakhir 
          tahun masehi 2012 ini, ingatlah - Tanpa perubahan sikap, tanpa 
          persediaan kendiri, tanpa inovasi anda akan hilang dan tidak bernilai 
          sebagaimana sepatutnya. Justeru inovasi 
          sebenarnya ialah memecahkan nilai-nilai lama 
          (yang tidak baik dan menjadi penghalang 
          kemajuan). 
          Innovation is actually venturing. 
          
            Sebab itu, walaupun hadis ini lemah, 
          tetapi amat berguna dan relevan apabila Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: 
          "Sampaikanlah olehmu daripada aku, walaupun satu ayat". 
          
            Dua perkara di dalam esei ini, saya 
          nyatakan sebagai pemula kepada usaha-usaha transformasi yang harus 
          diamalkan oleh pengamal homeopati di Malaysia untuk kekal relevan dan 
          berdaya saing. 
          
            Akhir kata, marilah kita sama-sama 
          melakarkan transformasi perubatan homeopati di bumi bertuah ini. 
           
            
          
 
 
         
      
    
   |