Malaysia Homeopathy Cyber Library

       Promoting homeopathy all Malaysia Over and Virtually.

 

Kembali

 

 

 

HOMEOPATI MENGISI KEMERDEKAAN
 

(SEMPENA Hari Kemerdekaan 31 Ogos 2012)

 

oleh:  Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD

[Artikel yang cuba menyorot kembali perkembangan dan kedudukan homeopati di Malaysia dan apa yang harus rakan-rakan homeopati lakukan]

 

Hakikat yang terpaksa kita hirup berterusan ialah perubatan alternatif, khususnya homeopati masih di peringkat pertumbuhan di Malaysia, meskipun kehadirannya telah seusia dengan usia kemerdekaan tanah air.

Meskipun perubatan tradisional pernah secara tidak langsung merupakan sistem yang diterima masyarakat sebelum merdeka, namun penerimaan sistem pendidikan Barat secara beransur-ansur berjaya merombak kepercayaan terhadap sistem perubatan turun-temurun dan menukarkannya dengan sistem perubatan Barat, modern yang mana hari ini dinobatkan sebagai satu-satunya perubatan evidence-based.

Pendedahan Awal Mengenai Homeopati

Sistem perubatan homeopati telah diterima baik oleh Masyarakat Malaysia kerana mereka percaya kepada penerangan, keserasian dengan pegangan agamanya, testimonial-testimonial keberkesanan, dan faktor-faktor yang secara logiknya munasabah.

Apa lagi, apabila homeopati ini diperkenalkan oleh tokoh seumpama Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmy, tokoh yang kuat agama, pejuang kemerdekaan, berilmu serta seorang yang bijaksana dalam menghubungkan falsafah perubatan homeopati dengan agama dan unsur-unsur keperluan manusia.

Kita boleh kemukakan contoh pengajaran yang dibawa oleh tokoh perjuangan ini dalam penerangan beliau mengenai homeopati. Ini pastinya menarik kepada pendengar/pembaca. Contohnya:

(i) Dalam menjelaskan perkaitan antara sakit dan sihat, Dr. Burhanuddin menyatakan, “Falsafah homeopati telah sedia lama membuktikan bahawa manusia itu ialah tubuh yang TRIMUTRI iaitu tiga dalam satu, atau pergabungan tiga diri. Tiap-tiap seorang diri itu mesti mempunyai tiga susunan iaitu tubuh - akal - nyawa (body - mind - soul). Tubuh jasmani itu ibarat sangkar atau rumah. Maka dalam sangkar atau rumah itulah diam dan hidupnya roh, semangat dan akal. Ketika ketiga-tiga trimutri ini berjalan dengan betul dan aman damai, maka orang yang mempunyai diri itu merasa senang, rehat dan segar. Itulah yang dikatakan sihat.”

    “Bila penunggu di dalam tubuh itu tidak berjalan dengan betul (disorder) seseorang itu akan merasa berbagai-bagai yang merungsing dan tidak menyenangkan dalam dan pada tubuhnya. Maka yang demikian itu dikatakan SAKIT (Disease).”

  Sungguhpun penjelasan Dr. Burhanuddin ini berkaitan dengan homeopati tatkala memberi kuliah di dalam buku beliau "Falsafah Perubatan Homeopathy", pandangan beliau ini tetap dan menjadi pegangan beliau sehingga di dalam ucapan atau idea politikpun sedemikian lagunya.

  Dan hal ini tidak boleh diambil sebagai suatu kekhilafan. Ia benar dalam menjelaskan tentang sihat dan sakit manusia dan ia juga mungkin benar sebagai suatu idea perjuangan dan politik. Justeru nada yang hampir sama dapat dilihat apabila beliau mengatakan:

  “Kasihkan watan itu sebahagian daripada iman. Iman ialah nyawa agama. Kita pandang di segi falsafah dan kita susunkan dengan pemandangan yang dekat begini: (i) iman (nyawa), (ii) tubuh (diri), (iii) bangsa, (iv) watan (tanah air). Empat serangkai dalam binaan watan. Iman berdiri di atas tubuh. Tubuh berdiri di atas bangsa dan bangsa berdiri di atas watan. Salah satu daripada yang empat ini tidak boleh bercerai tinggal dalam susunan binaannya tetapi watan jadi pokok. Ada watan ialah dengan kuat bangsa. Kuat bangsa keluar dari tubuh diri yang sihat kuat dan perkasa seperti pekerja, pahlawan, perajurit dan lain-lain. Maka dalam jiwa pekerja pahlawan perajurit itulah terletaknya iman.” [lih. buku Perjuangan Kita]

(ii) Dalam menjelaskan prinsip perubatan homeopati secara tepat pula, beliau menegaskan:

  “Homeopati ialah satu sistem ilmu perubatan yang mempunyai falsafah yang teguh, iaitu perubatan yang menggunakan kaedah SERUPA atau mengubat mengikut RAKSI atau mengubati seseorang sakit itu dengan ubat yang serupa semboyannya. Iaitu bila sesuatu ubat atau racun yang berkhasiat ubat dimakan oleh orang sihat akan membuat beberapa sakit dan penyakit maka ubat yang demikian itu bolehlah diubatkan atau menyembuhkan sesuatu penyakit atau sakit yang serupa dengan khasiat ubat itu.”

   "Cogan kata kaedah ini disebutkan dalam bahasa Latin: Similia-Similibus-Curentur. Ertinya: 'Serupa dengan serupa boleh menyembuhkan.'"

  "Homeopathy berasal dari perkataan Greek. Homeo ertinya seperti, seakan-akan, semisal, serupa, seiras, seraksi. Pathy dari perkataan Pathos ertinya sakit atau penyakit, penanggungan sakit. Maksud homeopathy itu ialah cara perubatan yang seraksi atau cara mengubat orang sakit dengan ubat yang berkhasiat serupa dengan semboyan orang sakit itu". [Falsafah Perubatan Homeopathy]

  Secara bijaksana beliau menghubungkan prinsip ini dengan Islam. Lantas beliau menerangkan:

  "Sebuah hadis yang masyhur diriwayatkan 'Bila lalat jatuh ke dalam bijana kamu, hendaklah kamu benamkan kerana pada salah satu sayapnya racun dan lagi satu penawar'. Maksud hadis ini secara tersirat menurut fahaman saya adalah sangat bertepatan dengan bahas undang-undang seraksi atau similimum itu. Maka pendapat homeopati oleh Hahnemann ini sebagai pembaharuan dan penjelasan yang tegas pada menyatakan undang-undang yang tidak pernah ditegaskan oleh sebarang orang dengan terang sebelumnya." [Falsafah Perubatan Homeopathy]

  Di sini, terlihat kebijaksanaan Dr. Burhanuddin dalam menerangkan kefahaman falsafah yang universal sifatnya dan boleh diaplikasikan sama ada politik, agama maupun ilmu perubatan.

Homeopati Di Era Selepas Burhanuddin

Zaman Dr. Burhanuddin yang bermula sejak zaman penjajahan sehingga kepada negara sudah 12 tahun mencapai status negara merdeka merupakan tahun-tahun pengenalan homeopati kepada masyarakat. Bagaimanakah pula homeopati diketengahkan kepada masyarakat selepas tahun 1969?

  Apa yang berlaku selepas tahun tersebut boleh disebut sebagai suatu proses penting dalam mengisi wadah negara merdeka. Untuk melihat sejauh mana perkembangan homeopati dari sudut positifnya:

(i) Perkembangan berpersatuan : Perkembangan yang dibawa oleh pertubuhan, khususnya pertubuhan yang diasaskan oleh Dr. Burhanuddin yang kemudiannya ditukar nama kepada Persatuan Perubatan Homeopathy Malaysia (PPHM). Pertubuhan lain yang memberi nafas penting dalam tempoh sehingga tahun 1999 termasuklah Persatuan Perubatan Homoeopathy Bumiputera Malaysia (PPHBM), Persatuan Pengamal Perubatan Homeopati Berdaftar Malaysia (1984) dan Persatuan Doktor Homeopathy Malaysia.

  Antara aktiviti-aktiviti yang menyerlah termasuk mengadakan konferens, seminar dan kursus-kursus  yang ditawarkan sama ada di peringkat Sijil, Diploma ataupun Ijazah. Persatuan-persatuan juga mengeluarkan buletin sendiri secara berkala. Yang paling jelas ialah percambahan klinik-klinik di bawah naungan masing-masing persatuan daripada empat persatuan utama itu.

  Persatuan-persatuan juga memainkan peranan aktif dalam berhubung dengan Kementerian tertentu, khususnya Kementerian Kesihatan. Ini dilakukan supaya persatuan dan ahlinya mendapat imej yang lebih baik di mata masyarakat di samping usaha hendak meyakinkan masyarakat bahawa sistem rawatan homeopati mendapat sokongan daripada Kementerian Kesihatan atau orang-orang penting dalam politiik tanah air. Dua buah persatuan seperti Persatuan Pengamal Perubatan Homeopati Berdaftar Malaysia (1984) dan Persatuan Doktor Homeopathy Malaysia pula cenderung menggunakan Sultan di negeri masing-masing bagi meningkatkan imej persatuan mereka.

(ii) Perkembangan dalam Perusahaan : Merujuk kepada usaha-usaha yang melibatkan pengeluaran produk homeopati.

  Dalam hal ini, kita tidak nampak inisiatif diberikan kepada usaha mengeluarkan sendiri remedi-remedi homeopati yang boleh digunakan oleh pusat-pusat rawatan homeopati. Tidak ada pengeluaran tempatan berhubung bekalan titikan ibu, tinktur, globul, disket ataupun blanket buat digunakan oleh pengamal homeopati di klinik mereka sebagai alternatif kepada produk import.

  Justeru kebergantungan kepada pembekal atau orang tengah, khususnya kaum yang berulang-alik dari India ataupun Pakistan berterusan. Dua buah syarikat yang bergerak cergas dalam mengendalikan urusan mengimport barangan homeopati untuk kegunaan pusat-pusat rawatan secara konsisten ialah Perubatan Homeopathy Mulia di Kota Bharu dan Syarikat T.M. Shafi.

  Walau bagaimanapun, pengamal homeopati yang berusaha mengeluarkan produk kepenggunaan semakin bertambah sejak akhir tahun 1980an hingga kini. Walaupun pada peringkat awalnya, usaha seperti ini seolah-olah kurang mendapat restu daripada persatuan tertentu, tetapi perkembangan seperti ini tidak dapat dielakkan.

  Ini berlaku berikutan keperluan kepada kewangan yang kukuh, perkembangan pasaran dan juga kesan kejayaan tokoh-tokoh awal, khususnya Dr. Azizan Hj. Ismail. Dr. Azizan boleh dianggap usahawan berjaya dan contoh terbaik bagi mereka yang bergerak ke arah bisnes dan pengeluaran produk-produk homeopati.

  Dengan kejayaan beliau dalam pengeluaran produk pengguna, tidak sedikit pengamal mengharapkan beliau memberi ruang kepada pengeluaran tinktur dan tablet homeopati untuk kegunaan klinik-klinik atau pusat-pusat perubatan homeopati di Malaysia. Ini adalah munasabah sekali kerana beliau merupakan satu-satunya pengusaha yang berjaya menubuhkan kilang homeopati pertama dan terbaik di Malaysia.

  Namun apa yang diharapkan itu tidak berlaku. Pengusaha-pengusaha lain pula mempunyai modal yang terlalu kecil untuk menggalas harapan itu, terutama memandangkan pasarannya agak kecil dan mungkin kosnya tidak setimpal dengan perolehan.

  Jika hasrat ini hendak direalisasikan juga, mungkin kita perlukan suatu usaha korporat atau mobilasi kewangan secara bekerjasama atau berpersatuan dengan matlamat yang padu.

(iii) Perkembangan dalam pergerakan pendidikan homeopati : Merujuk kepada usaha ke arah terlaksananya pendidikan homeopati secara formal.

  Sejak homeopati pertama kali diperkenalkan di Malaysia, pengajaran dan pembelajaran homeopati semakin baik. Bilik kuliah mulai dipertingkatkan dari mengguna kemudahan klinik, menyewa bangunan-bangunan sekolah/institusi, hinggalah kepada bilik-bilik khas untuk seminar di hotel. Alat bantu Mengajar juga semakin canggih sesuai dengan perubahan zaman. Kebanyakan peningkatan kemudahan-kemudahan bilik kuliah ini berjaya kerana usaha-usaha gigih dan kreatif persatuan seperti Persatuan Perubatan Homeopati Malaysia, Persatuan Perubatan Homoeopathy Bumiputera Malaysia, Persatuan Pengamal Perubatan Homeopati Berdaftar Malaysia, dan persatuan-persatuan homeopati yang besar.

  Selain itu, kepelbagaian kaedah menyampaikan ilmu perubatan homeopati juga dilebarkan oleh (i) usaha Kolej Homeopati Malaysia dalam mendidik pengamal baru khususnya ahli dari kalangan pengedarnya, (ii) kaedah modul olah Persatuan Perubatan Homoeopathy Bumiputera Malaysia (iii) menerusi gaya pos seperti yang dilaksanakan oleh Persatuan Perubatan Homoeopathy Bumiputera Malaysia (PRHM) dan Persatuan Doktor Homeopathy Malaysia, dan (iv) secara dalam talian yang dikendalikan oleh Konsultan Malaysia Homeopathy Virtual Institute, HBI Health & Homoeopathy Centre.

  Apa yang menjadi isu sejak daripada awal lagi ialah pengiktirafan pihak Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan terhadap Diploma ataupun Ijazah keluaran pihak-pihak yang berkaitan. Meskipun usaha PPHM melalui Majlis Akademi Homeopathy Malaysia (MAhM) secara kerjasama dengan Fakultas Kedoktoran, Universitas Utara (USU) Medan, Indonesia berjaya memberi pendidikan lebih baik dari segi kualitinya bagi melahirkan graduan ijazah homeopati, namun ia masih tidak memenuhi syarat yang dikehendaki oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

  Selepas Majlis Perubatan Homeopathy Malaysia (MPHM) menganjurkan Seminar Ke Arah Pengiktirafan Pengajian Homeopati Di Malaysia pada 30 Mac 2009 (dengan kerjasama Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, KKM, Wakil National Council For Homeopathy (Govt of Pakistan), Cyberjaya University College of Medical Sciences dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Kem. Pengajian Tinggi), langkah proaktif ke arah suatu model baru dalam pendidikan homeopati yang lebih formal semakin cerah.

  Pada bulan Ogos 2010, melalui pengambilan pertama pelajar Tahun Satu Bachelor of Homeopathy dengan pendaftaran seramai lapan orang pelajar di CUCMS meletakkan satu batu petanda baru dalam perkembangan homeopati di Malaysia.

(iv) Perkembangan dalam penerbitan : Iaitu meliputi penghasilan buku, buletin dan penulisan artikel berkaitan homeopati.

  Apabila tertubuhnya satu-satu persatuan homeopati, sememangnya secara automatis makalah atau buletin dikeluarkan oleh persatuan. Bagaimanapun, menjadi kebiasaan juga bahawa semua bahan-bahan tulisan itu berlegar di sekitar ahlinya sahaja. Sebahagian besar makalah atau buletin itu pula tiada ISSN, dan justeru, sukar diperoleh di pasaran ataupun perpustakaan.

  Tetapi ada juga persatuan homeopati yang aktif berusaha menerbitkan majalah seperti Persatuan Doktor Homeopathy Malaysia yang menerbit dan menjual majalah homeopati kepada orang ramai pada tahun 1995 dengan nama "Utusan Kesihatan". Malangnya, sambutan sangat kurang dan mengakibatkan penerbitan itu terpaksa ditutup pada tahun berikutnya.

  Demikian juga dalam penerbitan buku-buku, usaha-usaha dibuat secara tidak serius. Kerana itu penerbitan kecil-kecilan oleh persatuan homeopati dan individu-individu pengamal tidak berterusan. Selepas sekali atau dua kali diterbitkan, ia tidak dikeluarkan lagi.

  Ada beberapa masalah dalam kegiatan penerbitan. Pertama kos yang tinggi dan pulangan yang lambat, kedua pengedarannya tidak meluas, ketiga penulisannya tidak berpusat kepada pengguna umum menyebabkan kurang sambutan, ketiga sukar mendapat penulis yang konsisten menulis dan akhirnya, kekurangan barisan editor dan proof-reading.

  Daripada sekian banyak syarikat penerbitan, hanya HBI Health & Homoeopathy Centre memperlihatkan usaha yang konsisten dalam penerbitan buku-buku homeopati. Sejak tahun 1997 hingga 2012, syarikat ini telah menerbitkan buku-buku homeopati atau yang berkaitan dengan homeopati berjumlah 9 buah.

(v) Meneroka perkembangan arus globalisasi

  Ketika internet mula berkembang di akhir-akhir tahun 1990an, tidak banyak pengamal, persatuan atau syarikat homeopati yang melihat peluang dan masa hadapan homeopati dalam arus maya. Ada satu atau dua laman yang dimuatnaikkan sekadar hanya ingin memperkenalkan klinik atau produk serta bersifat peribadi.

  Pada saat Malaysia Homeopathy Cyber Library (HBI Health & Homoeopathy Centre) dilancarkan di atas tapak percuma  tripod, geocities dan v3, ramai pelayar memberi respons yang positif terhadap maklumat/informasi di dalamnya serta menyarankan ia ditambahbaik lagi dengan unsur-unsur grafik. Pada waktu itu, persatuan-persatuan homeopati di Malaysia masih terkial-kial mencari pakar komputer, penulis dan tapak bagi web masing-masing.

  HBI Health & Homoeopathy Centre boleh dikatakan peneroka dalam melangkah bahtera internet dan peneraju dalam menyampaikan pelbagai informasi di samping usaha pengamal-pengamal daripada Persatuan Pengamal Perubatan Homeopati Berdaftar Malaysia membuat pelbagai iklan produk dan rawatan.

   Pada tahun 2004, HBI Health & Homoeopathy Centre telah mendapatkan tapak berbayar dan melancarkan www.homeolibrary.com bagi memberi servis yang lebih baik kepada pelayar. Pada tahun 2008, www.drhatta.com dilancarkan pula bagi membantu pasaran produk HBI Health & Homoeopathy Centre disamping bertujuan menyampaikan maklumat semasa kepada pengguna.

  Sejak lima tahun kebelakangan ini, usaha yang dirintis oleh HBI telah menjadi contoh yang baik bagi beberapa pengamal dan persatuan untuk membuka laman web berbayar sendiri atau setidak-tidaknya blog peribadi bagi memuatkan hasil tulisan atau iklan. Ini termasuklah web www.pphm.org.my/ dan www.mphm.org.my/ .

  Dengan penghasilan laman yang semakin dipermudahkan ini, kita bersyukur dengan kebanjiran lebih ramai mereka yang terlibat dalam penyampaian ilmu dan maklumat secara virtual. Kita mengharapkan kegiatan ini berterusan dan tidak terhenti setakat copy & paste bahan orang lain atau untuk tujuan iklan semata-mata.

  Selain itu medan laman sosial seperti facebook harus dimanfaatkan lagi dengan lebih luas dan pengamal-pengamal yang menjadi ahli harus diajak bersama, dan AJK patut mengwar-warkan dalam setiap kali pertemuan atau seminar. Bukankah facebook sudah menjadi seolah-olah makanan bagi generasi Z?

Homeopati Belum Mengisi Sepenuhnya Kehendak Kemerdekaan

Sungguhpun arus perkembangan homeopati semakin cemerlang, tetapi banyak lagi isu-isu dalam perubatan homeopati yang memerlukan perhatian dan penyelesaian atau penambahbaikan. Selagi perkara-perkara ini belum diperbaiki atau diselesaikan, kita masih belum benar-benar mengisi agenda kemerdekaan dan menyempurnakan hasrat pengasasnya, Dr. Burhanuddin di bumi merdeka ini.

  Antara aspek-aspek atau perkara-perkara yang perlu diambil tindakan itu ialah:

1. Pendokumentasian bahan-bahan sejarah dan karya peninggalan tokoh-tokoh awal homeopati. Harus ada kerjasama dari kalangan mereka yang menyimpan karya-karya pengamal terdahulu sebagai harta/koleksi peribadi. Harus diterbitkan atau diarkibkan seberapa segera. Juga harus ada ada kerjasama di kalangan mereka yang mengetahui sejarah sejak kemasukan homeopati di Malaysia, dan yang ini harus cepat sebelum mereka meninggalkan kita semua.

2. Penulisan buku-buku ilmiah atau terjemahan buku-buku homeopati utama. Harus diwujudkan komiti dari kalangan mereka yang berkaliber sama ada dari segi ilmu perubatan homeopati, ilmu sains, bahasa mahupun tata bahasa. Kebergantungan kepada bahan berbahasa German atau Inggeris harus dikurangkan dengan menerbitkan bahan-bahan bacaan dalam bahasa ibunda. Untuk pelajar-pelajar homeopati (khususnya bangsa Malaysia) bagaimana?

3. Perpaduan di kalangan pengamal-pengamal dan persatuan homeopati di Malaysia. Sampai bilakah pertelingkahan ini harus dibiarkan berterusan, atau selama manakah mereka yang degil dan ingkar boleh terus dibiarkan beramal tanpa kawalan majlis atau persatuan?

4. Kajian dan Pembangunan (Research & Development), yang diharapkan dapat dimulakan oleh CUCMS. Sudahkah bermula atau masih mencari formula?

5. Mendirikan kilang ubat-ubat homeopati supaya kita tidak terlalu bergantung kepada bekalan import semata-mata. Harus diusahakan dana daripada kerajaan, pihak korporat atau individu yang kaya.

6. Selagi belum mendirikan kilang, bahagian ini harus diusahakan. Iaitu, mendapatkan pelepasan bahan-bahan homeopati yang diimport supaya tidak diikat oleh peraturan standard yang tidak relevan (apa lagi jika ubat-ubat homeopati dikatakan placebo - bermakna tidak ada sebarang kemungkinan kandungannya berbahaya).

7. Individu-individu khususnya mereka yang berada di tampuk teratas dalam komiti persatuan atau majlis harus bertindak dan harus sentiasa bersuara ke arah menggalakkan perkongsian ilmu dan pengalaman. Ilmu dan pengalaman ini pula harus didedahkan, diterbitkan atau diketengahkan tanpa ada rasa lokek atau sombong. Perasaan ujub dan kedekut ini sudah sepatutnya dikebumikan 50 tahun dahulu, jika kita benar-benar berjiwa merdeka.

  Itu mungkin senarai pendek yang kami keluarkan sahaja. Mungkin senarainya lebih panjang jika anda sekalian menokok-nambah kepada aspek-aspek atau isu-isu itu.

  Kesimpulannya, perkembangan homeopati memerlukan sentuhan yang lebih kuat dan bersungguh-sungguh lagi untuk membawanya setanding dengan perubatan arus perdana. Jika isu-isu inipun belum berjaya diselesaikan, bagaimanakah agaknya homeopati 50 tahun akan datang?

  Kita baru merayakan 55 tahun Malaysia merdeka. Apakah kita ingin melihat status yang sama pada 50 tahun akan datang (walaupun kita sudah tiada)?

 

 

   

Mohamed Hatta Abu Bakar HMD (BIH)
drhatta3@yahoo.com

 


Sumber:

 

Virtual copyright © Mohamed Hatta Abu Bakar HMD (BIH) 2012