Malaysia Homeopathy Cyber Library Promoting Homeopathy All Malaysia Over and Virtually. |
|
|
|
Esei Menjelang Awal Masehi 2014:
AZAM YANG MEMBERIKAN IMPAK
(Esei HBI - HOMEOLIBRARY - 31 Dis 2013)
oleh: Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD
PENGENALAN
Setiap menjelang awal tahun baru kita memperkatakan tentang azam. Kemudiannya, untuk melakukan suatu perubahan yang besar, kita cenderung pula menunggu ketibaan tahun baru yang akan datang.
Inilah kesilapan dan kedaifan kita di dalam mengharungi hidup seharian. Beberapa isu yang timbul di sini ialah:
Bila berada di waktu pagi, kita menunggu hari petang akan tiba, dan bila kita berada di waktu petang, kita menghabiskan waktu sementara menuggu hari malam atau esok pagi. Begitulah gelagat kita seharian sehingga apabila kita tersedar, umur kita sudah meningkat.
Selain membazir waktu, kita selalu meletakkan matlamat yang pendek dan ringkas tetapi tidak kukuh dalam meneruskannya hingga tercapai. Umpamanya, seperti yang kerap didapati di dalam kajian, kebanyakan masyarakat hari ini cenderung memilih azam seperti mengurangkan berat badan, berhenti merokok, meningkatkan keupayaan kewangan, mendapatkan kerja baru dan mengubah tabiaat pemakanan lebih baik, mengurus stress dan memperbaiki perhubungan. Azam itu hanya bertahan paling lama enam bulan bagi 40 peratus daripada mereka yang berazam, jika tidak lebih pendek lagi. (http://www.npr.org/templates/story/story.php?storyId=98738130)
Selain itu, adakalanya kita cenderung meletakkan azam yang tinggi tetapi komitmen kita untuk mencapainya sangat rendah. Kemahuan dan impian tinggi juga boleh jadi dibuat tanpa mengira aspek realiti dan kemampuan capaian.
Ada masanya, kita sekadar meletakkan matlamat, kita mengatakan mahu mencuba, malangnya hasrat itu tidak disusuli dengan tindakan dan usaha konsisten dalam mempertahankan tindakan kita. Natijahnya kita berakhir di kedudukan yang sama di awal tahun berikutnya. Jika berlaku perubahanpun, ianya amat sedikit dan tidak terkesan.
MASA LALU
Inilah realiti kita pada hari ini. Justeru itulah, Allah s.w.t. telah memperingati kita di dalam suatu surah "Demi masa, Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian, Kecuali mereka yang beriman dan beramal saleh, Dan yang berpesan tentang kebenaran dan yang berpesan tentang kesabaran". (surah ke 103: al-'Asr)
Disebabkan kita sering alpa, apa yang tinggal akhirnya ialah “masa lalu” kita. Kitapun akan menjadi keliru, dan kalau dikemukakan persoalan “Apakah yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?”, kita pasti akan memberikan jawapan yang sama seperti murid-muridnya Imam al-Ghazali.
Kita memberikan jawapan yang tidak relevan seperti jauhnya jarak bulan, bintang dan matahari. Sedangkan, yang semakin jauh dengan kita ialah “masa lalu” kita yang tidak mungkin dapat diperoleh kembali, bahkan kian jauh perginya daripada masa kini kita.
Mulai esok, pastinya kita akan memberikan salam pamitan kepada 2013, 2012, 2011, 2010 dan tahun-tahun sebelumnya, semuanya menjadi semakin jauh dan tinggal sebagai kenangan semata-mata. Sama ada kenangan itu berupa sejarah pahit, masam ataupun manis, kita terus berkelana menjalani kehidupan seperti lazimnya.
Hakikatnya... Tidak mungkin kita peroleh lagi peluang-peluang emas yang pernah dianugerahkan kepada kita justeru kita telah abaikannya.
MELETAKKAN AZAM TAHUN BARU 2014
Sekarang marilah kita meletakkan azam yang membezakan kita pada tahun 2014 berbanding dengan 2013. Kali ini, selain kita berusaha memperbaiki diri kita dalam kewangan, pemakanan, tabiat, pencapaian cita-cita, penurunan berat badan, memperoleh 10A dan seumpamanya yang berpaksi hanya kepada diri sendiri, kita juga wajar fikirkan kepada suatu azam yang lebih dinamik, global dan menjangkau jauh melepasi duniawi (ukhrawi) yang memberi impak.
Maksud azam yang memberi impak di sini ialah, di hujung tahun 2014 nanti azam kita itu harus memberi implikasi yang lebih jauh daripada sekadar perubahan untuk diri sendiri. Dalam erti kata lain, ia turut memberi impak kepada masyarakat, persekitaran, sejarah bangsa, dan mungkin mendatangkan ganjaran berganda di akhirat.
Contohnya, jika selama ini kita menulis di dalam blog seminggu sekali, kali ini kita bertekad untuk membuat catatan setiap hari dan mengaitkannya dengan usaha-usaha dakwah dan kemaslahatan umum. Jika selama ini kita mengemaskini laman setiap hari, bagaimana pula jika selepas ini kita mengemaskinikan laman setiap jam atau setiap isu dengan harapan pembaca atau masyarakat sekitar lebih update atau berilmu?
Jika kita melaksanakan sebuah kursus sebulan, kita letakkan sasaran menjalankannya secara mingguan. Jika kita mempunyai sebuah klinik sahaja selama sepuluh tahun ini, bagaimana jika buat kesekian kalinya kita merancang membuka sebuah cawangan lagi di tahun 2014?
Sahabat sekalian, jika kita sekadar membaca sebuah buku pada tahun 2013 dan sebuah juga setiap tahun sebelumnya, bagaimana jika tahun ini kita menguatkan azam bagi membaca sebuah buku sebulan atau seminggu?
Namun itu baru bertujuan meningkatkan ilmu pengetahuan dan perubahan diri kita. Bagi menganjakkan lagi matlamat kita untuk memberi impak, apa salahnya jika kita meletakkan sasaran menulis dan menerbitkan sebuah buku pada tahun 2014. Dan ini pasti memberi impak yang besar kepada diri, komuniti, ilmu, sejarah bangsa, agama dan saham kita melepasi batasan waktu duniawi.
Sahabat sekalian, perbezaan di antara anda yang sekadar membaca dengan anda yang menulis dan menerbitkan sebuah buku adalah seperti langit dengan bumi. Perbezaannya ialah sebuah buku yang menjadi pendinding di antara si penulis dengan si pembaca. Itupun, syukur alhamdulillah justeru anda termasuk di dalam kelompok pembaca.
Dalam hal ini, tidak dapat tidak anda tergolong di dalam salah satu kategori ini. Tiga kategori atau kumpulan individu ini berbeza seumpama perbezaan di antara orang yang tidak berpengetahuan, orang yang belajar dan orang yang mengajar. Dan pastinya apabila anda membaca artikel ini, anda tidak lagi termasuk ke dalam kelompok orang yang tidak membaca dan tidak mencari ilmu. Anda sekurang-kurangnya termasuk ke dalam kelompok orang-orang yang membaca, dan mungkin pada tahun 2014 nanti sudah terlintas di benak fikiran anda untuk menulis dan menyampaikan (atau meninggalkan) sesuatu.
Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati biarlah meninggalkan nama baik dan diingati.
MINDA “BERKALAU”
Memanglah bagi mencapai suatu perubahan yang besar itu, ranjaunya tidak kecil dan sedikit. Ranjau itu datangnya dalam pelbagai bentuk seperti perasaan serba salah, rimas, malas, mencabar kewangan anda, menagih masa seronok anda, sindiran teman-teman dan sebagainya.
Di antaranya ialah sikap kita yang suka “berkalau”. Buat apalah sibuk hendak tulis buku kalau masa itu boleh digunakan untuk cari wang, bermain tenis, bersembang facebook atau ziarah kawan. Buat apa kita menulis jika akhirnya sekerat jalan saja, atau kalau tidak ada orang hendak menyemaknya atau kalau tidak ada penerbit mahu menerbitkannya.
Demikianlah halnya dengan mereka yang berhasrat melakukan khidmat masyarakat serta kerja-kerja kemanusiaan di tempat yang jauh. Bisikan pastinya datang dengan meniupkan sangkakala “kalau” orang di sana tidak beri kerjasama bagaimana?, kalau rombongan anda terkandas bagaimana? atau “kalau” anda kehabisan wang bagaimana?
Sahabat sekalian, buangkan minda ‘berkalau” ini. “Berkalau” ini adalah tentera syaitan dan musuh anda nombor wahid dalam rangka usaha ingin mengekalkan anda di kedudukan tahun-tahun sebelumnya. Hanya dengan memadamkan sikap “berkalau” inilah sahaja yang bakal menjadikan diri dan kehidupan anda bermakna dan azam serta cita-cita anda bagi tahun baru 2014 ini memberi impak besar.
PENUTUP
Tuntasnya, anda tidak perlukan seribu alasan untuk tidak melaksanakan apa yang anda azamkan, sebaliknya anda hanya perlukan satu alasan untuk berjaya melakukan perubahan. Jadi lakukanlah di tahun 2014 ini.
Salam Tahun Baru 2014 !!!
Sekian. Wa Llahu a’lam.
Referens:
HBI Health & Homoeopathy Centre
drhatta3@yahoo.com
Sumber: Lih. referens di atas.
Virtual copyright © HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE
2013