DRHATTA DOT COM: KONSULTAN HOMEOPATI ONLINE HBI

     

 

Kembali

COL. A.S. RAJAH: PENYUMBANG PENGAMALAN HOMEOPATI PERTAMA SEBELUM DR BURHANUDDIN
[ Malaysian Homeopath : A.S.Rajah (1867-1978) ]

- Mohamed Hatta Abu Bakar HMD (BIH)

Col. A. S. Rajah merupakan nama besar dan ajaib dalam perkembangan perubatan homeopati tanah air. Beliau berasal dari India dan dikatakan membuka premis rawatan homeopati di Jalan Tangga Duke, Johor Bahru pada tahun 1928. Tarikh sebenar beliau tiba di Tanah Melayu tidak diketahui dengan pasti. Tetapi Dr. Burhanuddin pernah mencatat bahawa ramai orang India telah datang dengan membawa amalan praktis homeopati sejak sewaktu perang dunia pertama lagi.

Col Dr Azim Saunde Rajah adalah insan hebat justeru namanya disebut oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy, di mana namanya kerap timbul dalam banyak catatan ringkas sejarah perubatan homeopati di Malaysia dan disalin oleh pelbagai penulis sejarah homeopati, termasuk di dalam artikel-artikel penulis. Yang anihnya ialah kita tidak menemui sebarang catatan sejarah awal dan sejarah penghujung kehidupannya untuk dijadikan satu biografi.

Berbeza dengan biografi yang diperoleh dalam kes Fr John Leo Quinn, Col. Azim S. Rajah dikesan sumbangannya dalam sejarah perubatan homeopati di Malaysia meskipun latarnya cukup ringkas. Kita tahu bahawa beliau mendapat gelaran Prof. dengan kelulusan M.D. & L.M.S (Homoeo), juga ada titel M.C.H.C, F.C.H.M.B dan M.B.H.A (London).

Col. A. S. Rajah dipercayai sebagai orang yang membantu Dr. Burhanuddin untuk memperoleh ijazah Medical Doctor in Homeopathy (M.D.H). Meskipun ada rencana yang mengatakan Dr. Burhanuddin belajar homeopati di India, kenyataan Dr. Mohammed Yacob dan Ramlah Adam menunjukkan bahawa pada hakikat atau asalnya ialah Dr. Burhanuddin belajar homeopati melalui Dr. A.S. Rajah, walaupun ijazahnya diperoleh daripada Ismaeliah Medical College. Dengan itu, kita boleh rumuskan bahawa Col A. S. Rajah merupakan seorang guru homeopati terawal.

Penting juga disebut sebagai perjalanan dalam praktik dan pengamalan homeopati beliau ialah Col. A. S. Rajah ada membuka klinik di Tanah Melayu bersama-sama dengan Dr. Burhanuddin. Perkara ini bukan sahaja disebut oleh Rashidah Ismail dalam artikelnya, malahan dicatat oleh Dr. Burhanuddin, yakni "Tahun 1937 baharulah saya dapat bersama dengan Prof. Dr. Rajah membuka Gedung Homeopathy di Singapura dan Johor Bahru sehingga tahun 1942."

 

Selain peranan beliau dalam pengajaran ilmu perubatan homeopati, kita ketahui bahawa Prof A. S. Rajah juga telah bertindak sebagai seorang pengarang buku homeopati. Buku "Keputusan Elmu Dukun" yang diterbitkan dalam tulisan jawi pada tahun 1935 mendedahkan kepada kita tentang satu sumbangan penting beliau dalam homeopati, iaitu menyajikan sebuah buku dalam bahasa Melayu, dalam tulisan jawi. Dr. Burhanuddin disebut sebagai orang yang bertanggungjawab menterjemah dan menyalin karya asal Dr A.S. Rajah ke dalam bahasa Melayu tulisan Jawi. Bagi kita yang tidak berada di zaman itu, buku itu sudah pastinya satu buah tangan penting bagi membantu memudahkan pembelajaran oleh murid-muridnya ketika itu.

Demikianlah sedikit maklumat berkaitan tokoh Col. A. S. Rajah yang merupakan seorang pengamal, berperanan sebagai guru, malahan telah menyumbang lebih jauh melalui penulisan sebuah buku homeopati dalam tulisan jawi yang pertama di Tanah Melayu atau Malaysia ataupun dirantau Asia Tenggara.

 

Sumber:

1. www.drhatta.com/homeolibrary.com/NEW-2016/NEWS/MajlisJasaMuDikenang.htm

2. Mohamed Hatta Abu Bakar. 1997. Perubatan Homoeopati. Banting: HBI Health & Homoeopathy Centre.

3. Mohd Nor, Noordin (Prof. Dr.). 1993. Sejarah dan Falsafah  Ilmu Perubatan dan Peranan Perubatan Homoeopathy. Kertas kerja - sempena Gabungan PPHM & PHBM: 11 hb. April.

4. Ramlah Adam. 1996. Burhanuddin al-Helmy: Suatu Kemelut Politik. K.L.: Dewan Bahasa dan Pustaka.

5. Rashidah Ismail. 1969. Dr. Burhanuddin al-Helmy anak melayu pertama mempelajari homeopati. Dewan Masyarakat. Dis. Ms: 23-25.

6. Mohamed Hatta Abu Bakar. 2004. Esei-esei Milenum Baru (Siri Homeopati). Banting: HBI Health & Homoeopathy Centre. Ms: 10-11.

 

- siap 27 Sept 2020.

 

(Tanpa prejudis - sekiranya ada maklumat tambahan, sila info admin kami untuk sebarang pembetulan)

(Kembali Indeks Penyumbang)

INDEX UTAMA

   © HBI Health & Homoeopathy Centre 2020.   © Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 201920  (New Version - updated)

AlloWebmaster:drhatta3@yahoo.com