Kembali

DR. MOHD NOR NOORDIN: PEMIMPIN PERSATUAN SELEPAS DR. BURHANUDDIN
[Malaysian Homeopath : Dr. Mohd Nor Noordin (1929 – 1995)]

- Mohamed Hatta Abu Bakar HMD (BIH)

Dr. Mohd Nor Noordin adalah salah seorang daripada 12 orang anak didik Dr. Burhanuddin yang awal. Beliau dilahirkan di Melaka pada 6 Januari 1929. Mendapat pendidikan perniagaan daripada ayahnya yang juga seorang peniaga. Telah masuk persekolahan dalam usia 5 tahun, iaitu pada 1934. Pernah juga menjadi guru pelatih dalam usia 13 tahun, iaitu pada tahun 1942.

    Pertemuan pertama beliau dengan Dr. Burhanuddin ialah pada tahun 1945, iaitu bertempat di Melaka. Pertemuan kedua beliau adalah pada akhir tahun 1952. Pada pertemuan kali kedua itu, beliau memaklumkan bahawa Dr. Burhanuddin menyarankan 'supaya ilmu perubatan homeopati dipelajari dan diperkembangkan hingga menjadi Perubatan Nasional bagi negara Malaysia Merdeka'. Justeru diminta kumpulkan sekumpulan pemuda sebagai perintis.

        Menurut riwayat daripada tulisan beliau sendiri, beliau mendapat pendidikan langsung daripada dua tokoh Perubatan Homeopathy Antarabangsa, iaitu Prof. Burhanuddin al-Helmy dan Prof. E. P. Mc. C. Heyzer yang berbangsa German, seorang pakar bedah, ahli Patologi dan Fisiologi. Menurut beliau, pembelajaran itu berlaku antara tahun 1952 hingga 1962.

        Beliau memiliki pengalaman menjadi setiausaha sulit kepada Dr. Burhanuddin, Ketua Delegasi Malaya di Konferensi - AFROASIA - Bandung - 1955. Selain itu, Dr. Mohd Nor juga dikatakan seorang tokoh pidato yang cermat memilih perkataan, mahir berpantun serta menguasai bahasa Inggeris dan Arab.

         Selepas Dr. Burhanuddin, beliaulah orang yang mengambil alih jawatan presiden Persatuan Perubatan Homeopathy Malaysia (Malaysian Homoeopathic Medical Association), iaitu dari tahun 1969 hingga 1982 (dalam catatan beliau, 1984). Selepas memimpin persatuan tersebut dan kemudian menyerahkan kepada generasi muda, beliau dilantik pula sebagai penasihat persatuan dari tahun 1985 sehinggalah beliau kembali ke rahmatuLlah pada tahun 1995.

            Beliau memainkan peranan besar juga dalam usaha menggabungkan dua persatuan homeopati (PPHM & PPHBM) di bawah satu payung pada tahun 1993. Beliau merupakan penasihat kepada Majlis Homeopathy Kebangsaan Malaysia (MHKM) dan juga sempat menyampaikan ceramah khas dan pesanan-pesanan berkaitan homeopathy dan Islam kepada pengamal dan peminat homeopati sebelum beliau dijemput kembali ke RahmatuLlah pada akhir tahun 1994.

            Dr. Mohd Nor mempunyai klinik di Bandar Melaka dan mengajar homeopati kepada peminat di sekitar negeri kelahiran beliau . Beliau juga bertanggungjawab menubuhkan Koperasi Homoeopathy Melaka Sdn. Bhd. Sepanjang sumbangannya kepada perkembangan homeopati, beliau turut giat menulis esei dan buku-buku homeopati yang digunakan sebagai rujukan oleh pengamal homeopati yang menjadi muridnya.

          Di bawah kepimpinan beliau, homeopati berjaya dikembangkan secara lebih meluas, khususnya di kalangan kakitangan kerajaan. Beliau merupakan seorang tokoh yang petah berbicara serta banyak menerima jemputan ceramah mengenai homeopati dan ugama.

            Beliau adalah tokoh yang popular dalam politik dan homeopati. Kalau dalam homeopati beliau sempat memimpin persatuan, dalam politikpun beliau berkesempatan merasa nikmat pencapaian yang memuaskan. Beliau adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka dari tahun 1974 hingga 1978 dan atas status itu juga beliau berjaya mempromosi homeopati. Beliau juga sempat memegang jawatan Pengerusi PEMADAM Bahagian Melaka Tengah 1978 - 1984.

            Penulis sempat bersua dengan beliau antara tahun 1992-1993, pernah berbual, juga mendengar ceramah dan perbahasan beliau mengenai homeopati. Beliau juga kerap membawa anaknya bersama sewaktu berceramah. Sahabat rapat beliau, Hj. Mohd Shariff Abd Latif memaklumkan beliau sakit dan dirawat di Hospital Tawakkal sebelum beliau dilaporkan meninggal dunia pada 3 Disember 1994.

Sumber:

1. Atondra. 2002. Suka Duka 9 Tahun MHKM Dikuburkan Demi Kesekutuan MPHM. Buku Cenderamata MPHM 2002.

2. Di Pendakian Usia Empat Puluh. Jurnal PPHM (Persatuan Perubatan Homeopathy Malaysia).

3. Prof. Dr. Hj. Mohd Nor Noordin. Sejarah Dan Falsafah Ilmu Perubatan Dan Peranan Perubatan Homeopathy.

    Kertas kerja Seminar Gabungan PPHM dan PPHBM. 11 April 1993.

 

-  diedit semula pada 7 September 2011 oleh www.drhatta.com.

 

   

Mohamed Hatta Abu Bakar HMD (BIH)
drhatta3@yahoo.com

 


English/Synopsis: Dr. Mohd Noor Nordin is one of the 12th disciples of homeopathy trained by Dr. Burhanuddin. He is the 2nd President of Malaysia Homeopathy Medical Society which is the earliest society formed by Dr. Burhanuddin al-Helmy. – Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.

.[The history of homoeopath in Bahasa Malaysia (Malay language) is a project dedicated to earlier Malaysian homeopath with significant contribution on the spread of  homeopathy.]

Copyright © Mohamed Hatta Abu Bakar HMD (BIH) 2011