DRHATTA DOT COM: KONSULTAN HOMEOPATI ONLINE HBI

     

 

Kembali

FR. JOHN LEO QUINN: PENGAMAL HOMEOPATI PERTAMA WILAYAH BORNEO, MALAYSIA TIMUR
[Malaysian Homeopath : Rev Fr. John Quinn (1901 – 1983)]

- Mohamed Hatta Abu Bakar HMD (BIH)

Rev Fr. John Leo Quinn merupakan seorang berbangsa Inggeris yang beragama dan merupakan paderi Roman Katolik yang lahir di Stockport Cheshire, England pada tahun 1901. Beliau merupakan anak kedua kepada John Quinn daripada isteri keduanya Mary McEvoy (isteri ayahnya yang pertama, Mary Melia telah meninggal dunia sewaktu beliau dilahirkan). Beliau adalah adik-beradik kepada Sarah Quinn dan adik beradik-tiri kepada Mary Quinn.

Fr Quinn mendapat pendidikan di Freshfields Formby dan Roosendaal Holland serta kemudiannya di St Joseph's Mill Hill College London. Beliau didekrikan sebagai Paderi Jesuit secara rasmi pada 1924 di St Joseph's College Mill Hill London.

Ada catatan menyatakan bahawa Fr Quinn adalah seorang pengamal homeopati terlatih dan berjaya dalam amalan perubatan itu sewaktu di England. Beliau juga dikatakan memperoleh banyak pengetahuan homeopati daripada neneknya yang menjalankan praktik dalam perubatan homoepati.

Fr Leo Quinn telah dihantar dan tiba di Tambunan ( St Theresa's )  pada 1925 bagi membantu meneruskan usaha yang telah dimulakan oleh Fr. Joseph Stall dari segi memberikan pengajaran dan pembelajaran kepada penduduk daerah Tambunan, di samping menyebarkan agama Kristian.

Masyarakat, pengamal dan persatuan homeopati di Malaysia tidak menyedari kehadiran Fr Leo Quinn sebagai pengamal homeopati sehingga lewat 1990an dan diwartakan oleh Majlis Perubatan Homeopathy Malaysia (MPHM). Apabila diketahui, nama beliau telah dimasukkan sebagai pengamal homeopati terawal yang mengamalkan homeopati di Tanah Melayu.

Kendatipun, daripada penyelidikan dan maklumat yang diketahui setakat ini, beliau dikenali oleh masyarakat sebagai paderi dan terlibat dalam pembangunan sekolah seperti St. John School yang dbina pada pada tahun 1930 dan sebuah gereja pada tahun 1932, juga dengan nama St. John.

Maklumat yang kami perolehi daripada rakan-rakan di Sabah juga tidak menunjukkan sebarang usaha atau inisiatif ke arah pembangunan, pengamalan, maupunpengajaran ilmu perubatan homeopati. Juga kami belum perolehi sebarang fakta bahawa beliau ada pernah menghasilkan karya ataupun anak murid dalam ilmu perubatan homeopati.

Fr Leo Quinn juga disebut sebagai pengasas Sekolah St. David Toboh, dan telah berkhidmat di Toboh selama 14 tahun antara tahun 1932 hingga 1942 dan dari tahun 1945 hingga 1948 sebagai guru besar dan Paderi daerah/Parish. Beliau dikatakan telah berkhidmat kepada masyarakat Toboh sehingga tahun 1971 dan selepas bersara masih lagi melawat masyarakat Toboh sehingga terakhir pada 1981.

Fr Quinn meninggal dunia pada 1 September 1983 di rumah rehat Mubaligh (Missionary) Mill Hill di Herberts House Freshfields Formby Liverpool England. Sejak daripada dahulu ramai pengamal homeopati mempunyai keraguan untuk mengangkat nama Fr John Leo Quinn dalam lapangan ini, dan setakat yang kami temui itulah sahaja rekod sejarah sumbangan beliau. Belum ada sesuatu yang signifikan daripada segi sumbangan beliau dalam ilmu perubatan homeopati di Malaysia. Mungkin kita boleh menerima beliau sebagai seorang pengamal homeopati biasa terawal secara tidak langsung di Borneo, dan yang pasti adalah sebagai mubaligh Kristian.

 

Sumber:

1. http://mphm.com.my/

2. http://kenwalker60.blogspot.com/2008/05/this-is-fr-john-quinn-grandson-of-john.html

3. https://www.facebook.com/FrJohnLeoQuinn/notes

4. http://kenwalker60.blogspot.com/

5. John Rooney. 1999. Khabar Gembira.  Continuum International Publishing Group.

 

 

- siap 27 Sept 2020.

 

  (Tanpa prejudis - sekiranya ada maklumat tambahan, sila info admin kami untuk sebarang pembetulan)

(Kembali Indeks Penyumbang)

INDEX UTAMA

   © HBI Health & Homoeopathy Centre 2020.   © Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 201920  (New Version - updated)

AlloWebmaster:drhatta3@yahoo.com