Kembali

PROF. DR. MOHAMMAD YACOB: PENGAMAL HOMEOPATI SELATAN TANAH MELAYU
[Malaysian Homeopath : Dr. Mohd Yacob (1918 – 2007)]

- Mohamed Hatta Abu Bakar HMD (BIH)

Dr. Mohammed Yacob merupakan sahabat akrab Dr. Burhanuddin. Beliau dilahirkan di Pontian Johor pada 1918, dan mula berjinak dengan homeopati apabila bersama Dr. Burhanuddin. Seperti Prof. Dr. Mohammad Nor, beliau juga memperoleh ijazah kedoktoran homeopati (M.D.H.) daripada Hahnemann Medical College, California. Tetapi beliau membuka klinik pertamanya di Singapura serta menghabiskan sebahagian usianya di sana.

Beliau telahpun mula mengajar homeopati sejak mempraktikkan homeopati di Singapura. Apabila beliau kembali ke Malaysia lewat tahun 1970an, beliau mengumpulkan kembali kesemua pelajarnya dan kemudian menubuhkan sebuah persatuan homoeopati yang baru. Persatuan itu dinamakan Persatuan Perubatan Homoeopathy Bumiputera Malaysia (PPHBM).

Atas semangat homeopati, kedua persatuan homeopati yang terawal telah bersatu (PPHBM and PPHM) kembali pada tahun 1993. Melalui Majlis Homeopati Kebangsaan Malaysia, beliau dan Dr. Mohammad Nor Nordin memainkan peranan sebagai Penasihat Majlis.

Dalam arus kebangkitan perubatan alternatif, ketika semua pertubuhan rawatan alternatif termasuk homeopati dicantumkan untuk seketika, beliau telah dilantik sebagai ahli kepada The Permanent Committee of Tradisional/Complementary Medicine bagi Kementerian Kesihatan, Malaysia.

            Beliau banyak menulis pamflet dan buku-buku yang mengulas isu-isu semasa. Dalam bidang homeopati juga, beliau turut menyumbangkan tulisan dan kompilasi. Antara buku-buku yang telah dipasarkan kepada umum ialah “Penyakit-penyakit dan Rawatannya Menurut Perubatan Homeopathy” (Diseases and Treatment According to Homoeopathy), Materia Medica Homeopathy dan Pengantar Ilmu Perubatan Homeopathy.

           Walaupun dalam usia yang lewat, beliau masih mengamalkan sistem perubatan ini sepenuhnya di samping turut menjadi rujukan oleh pengamal-pengamal homeopati di Malaysia. Pada tahun 1998, beliau juga pernah dilantik sebagai wakil homeopati bagi Jawatankuasa Perubatan Tradisional dan Komplimentari, Kementerian Kesihatan Malaysia.

             Selain dalam urusan homeopati, beliau juga kerap dirujuk bagi mendapat maklumat berkaitan senario politik di zaman beliau. Beliau pernah ke udara di dalam rancangan terbitan RTM untuk memperkatakan tentang homeopati.

                 Meskipun beliau telah memaklumkan kepada penulis bahawa buku-bukunya (berkaitan materia medika dan falsafah homeopati) dalam proses cetakan dengan penerbit daripada Indonesia pada Februari tahun 2002 ketika temubual dengan penulis, namun hanya di penghujung hayatnya baru buku-buku tersebut dapat direalisasikan penerbitannya. Beliau meninggal dunia pada 2hb Ogos 2007 ketika berusia 89 tahun.

 

Sumber:

1. Mohamed Hatta Abu Bakar HMD. 2004. Tokoh Homeopati Selepas Dr. Burhanuddin. Esei-esei Milenium Baru. Banting: HBI Health & Homoeopathy Centre.

2. Di Pendakian Usia Empat Puluh. Jurnal PPHM (Persatuan Perubatan Homeopathy Malaysia).

3. Mohamed Hatta Abu Bakar HMD. 1997. Perubatan Homoeopati. Banting: HBI Health & Homoeopathy Centre.

 

-  diedit semula pada 5 September 2011 oleh www.drhatta.com.

 

   

Mohamed Hatta Abu Bakar HMD (BIH)
drhatta3@yahoo.com

 


English/Synopsis: Prof. Dr. Mohammed Yacob was born in 1918 in a small town known as Pontian, Johor. He studied homeopathic medicine from (or together with) Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmy. He was considered as one of the 12 disciples of Dr. Burhanuddin. In 1963 he started homeopathic clinic at Jalan Tekun, Singapore and teached basic homeopathic medicine at Dewan Perubatan Homoeopathy, Singapore (Singapore Homoeopathic Medical Hall). When he returned to Malaysia in 1978, he setup a homeopathic clinic at Jalan Keris, Taman Seri Tebrau, Johor Bahru, Johor and registered a new homeopathic society, Persatuan Perubatan Homoeopathy Bumiputra Malaysia (PPHBM), becoming its first President. He was once been elected as advisor for Majlis Homeopathy Kebangsaan Malaysia in 1993. In 1998, he was elected as homeopathic representative in the Traditional/Complementary Medicine Committee, Ministry of Health, Malaysia. He passed away on 2nd August 2007 at the age of 89.

.[The history of homoeopath in Bahasa Malaysia (Malay language) is a project dedicated to earlier Malaysian homeopath with significant contribution on the spread of  homeopathy.]

Copyright © Mohamed Hatta Abu Bakar HMD (BIH) 2011