DRHATTA DOT COM: KONSULTAN HOMEOPATI ONLINE HBI

     

 Produk Terbaik Daripada Konsultan Homeopati Prolifik Malaysia

BAHAN KARYA & ARTIKEL

 

KAMI MOHON MAAF KERANA MEMADAMKAN SEMUA LAMAN ILMU, ARTIKEL, CERITA, BERITA DAN ISU SEMASA SELAMA 10 TAHUN DRHATTA.COM BEROPERASI.

DI SINI MUNGKIN KAMI AKAN SEDIAKAN PETIKAN KANDUNGAN KOLEKSI BUKU, KARYA-KARYA LAMA DRHATTA.COM ATAU ARTIKEL BERSESUAIAN JIKA ADA SUMBANGAN.

 

BUAT SEMENTARA, KAMI ISIKAN DENGAN PENGENALAN KEPADA BUKU ORGANON SEMPENA PROMOSI BUKU UNIK INI, YANG PERTAMA KALI DITERBITKAN DALAM BAHASA MALAYSIA:

 

 

SEKAPUR SIREH ORGANON PERUBATAN 

Homeopati telah ditemui oleh seorang doktor perubatan konvensional yang bernama Christian Friedrich Samuel. Itulah nama sebenar Dr. Samuel Hahnemann yang kita kenali. Penemuan homeopati itu bermula dengan ujian beliau terhadap beberapa dos Cinchona yang dikatakan pernah digunakan untuk merawat malaria di Amerika Selatan dan Eropah. Ujian itu dilakukan terhadap diri beliau sendiri, sesuatu yang tidak diamalkan dalam perubatan konvensional.

Sejarah Lahirnya Organon Perubatan

Dr. Samuel Hahnemann berjaya mengesahkan tindakan kesembuhan kulit pohon Cinchona pada tahun 1790.  Enam tahun kemudian, beliau telah menguji-buktikan lebih banyak ubat dadah ke atas dirinya, kekawan dan juga keluarga beliau sendiri bagi membuktikan dan mengesahkan Undang-undang Similia (keserupaan) yang ditemui oleh beliau. Pada tahun 1796, beliau mengeluarkan hasil penemuan beliau di dalam Hufeland’s Medical Journal di dalam sebuah artikel yang bertajuk ‘An Essay on a New Principle for Ascertaining The Curative Powers of Drugs and Some Examination of Previous Principles’.

Apabila Dr. Hahnemann mempraktik ilmu perubatan baru berasaskan undang-undang similia, beliau berhadapan dengan pelbagai masalah dalaman dan luaran. Berpandukan pengalaman-pengalaman dan ujian-ujian yang dicerap, sikapnya terhadap penyakit, tindakan-tindakan ubat dadah, kaedah menguji kesan-kesan positif ubat, perhubungan di antara penyakit dan fenomena ubat dadah, serta kaedah aplikasi dan penyediaan ubat (penawar) homeopati mulai terbentuk secara beransur-ansur.

Selain daripada artikel yang disebut terdahulu, beliau juga menulis beberapa artikel lain seperti Aesculapius in the Balance (1805), Medicine of Experience (1805), On the Value of Speculative System of Medicine (1808), dan Observations on the Three Current Methods of Treatment (1809). Kesemua hasil tulisan beliau itu telah turut sama membantu beliau untuk menyepadukan hasil penemuan dan pemikiran beliau.

Rentetan kejadian, ujian-ujian dan karya-karya beliau telah membawa kepada terhasilnya sebuah karya agung, satu magnum opus yang dinamakan sebagai  Organon of Rational Medical Science, pada tahun 1810. Melalui karya inilah beliau berjaya menyampaikan (kepada) dan berkomunikasi dengan pengamal sezaman, sesudah beliau sehingga kepada pengamal-pengamal atau doktor homeopati pada hari ini. Mempraktik amalan perubatan homeopati tanpa memahami Organon adalah satu tragedi yang tidak terperikan.

Jika kita membaca dan menggali sejarah dan catatan-catatan berkaitan dengan Dr. Samuel Hahnemann, kita pasti bersetuju menyimpulkan bahawa beliau memang dilahirkan sebagai pencari kebenaran, walaupun terhad kepada amalan perubatan dan amalan harian semasa. Beliau sentiasa bersedia untuk mengubah atau memperbaiki idea-ideanya supaya selari dengan fakta. Beliau juga tidak teragak-agak untuk mengakui kesilapan-kesilapannya sekiranya fakta dan pengalaman benar-benar berlawanan dengan prinsip yang dipegangnya.

Buku Organon Perubatan ini ditulis dalam stail aforism (para dengan nombor-nombor) tetapi terdapat kesinambungan dan urutan aliran pemikiran yang logik bagi setiap bahagian atau aforisme. Buku ini juga sudah melalui enam edisi penerbitan.

Lima edisi yang terawal telahpun diterbitkan semasa Dr. Hahnemann masih lagi hidup. Edisi ke enam berjaya diselesaikan oleh Dr. Hahnemann pada tahun 1842. Namun apabila beliau meninggal dunia pada 2hb Julai 1843, buku Organon edisi ke enam belum sempat diterbitkan. Buku Organon Perubatan (Organon of Medicine) edisi ke enam hanya dapat diterbitkan pada tahun 1921 melalui inisiatif Dr. William Boericke.

Pelbagai Edisi Organon

Berikut ialah tarikh-tarikh di mana setiap edisi Organon Perubatan diterbitkan:

Edisi Pertama

Diterbitkan pada 1810 di Torgau
Terdapat 271 Aforisme
Tajuk – Organon of Rational Medical Science (Organon Der Rationellen Heilkunde)
Diterjemahkan ke Bahasa Inggeris oleh C. E. Wheeler, pada 1913.

Di atas aforisme pertama ada ditulis ‘Organon of The Healing Art’. Edisi pertama tidak mempunyai daftar kandungan.

Edisi Kedua

Diterbitkan pada 1819, di Leipzig
Terdapat 315 Aforisme
Tajuk – Organon of The Healing Art (Organon Der Heilkunst)
Diterjemahkan oleh Ernest George von Burnnon, dalam bahasa Peranchis, pada 1824.

Pada edisi kedua ini, tajuk buku Organon telah ditukarkan. Sajak yang dimuatkan di dalam edisi pertama juga digantikan dengan ‘Aude Sapere’, yang bermaksud ‘berani menjadi bijaksana’ (dare to be wise).

Edisi Ketiga

Diterbitkan pada 1824, di Koethen
Terdapatt 317 Aforisme
Tajuk – Organon of The Healing Art (Organon Der Heilkunst)

Tiada perubahan besar.

Edisi Keempat

Diterbitkan pada 1829, Koethen
Terdapat 292 Aforisme
Tajuk – Organon of The Healing Art (Organon Der Heilkunst)
Diterjemahkan oleh Charles H Deurient, ke bahasa Inggeris, pada tahun 1833

Buat pertama kalinya, Teori Penyakit Kronik telah dimasukkan ke dalam Organon. Di dalam aforisme ke 9 edisi ini, Dr. Hahnemann menyatakan bahawa sebab fundamental semua penyakit kronik ialah ‘Miasma Kronik’ (Chronic Miasms) dan di dalam aforisme ke 72, beliau beliau menyatakan bahawa penyakit kronik (chronic diseases) adalah disebabkan oleh ‘infeksi dinamik miasma kronik (dynamic infection of chronic miasm). Pada edisi ke empat juga satu Pengenalan kepada Organon (Introduction to Organon) telah diperkenalkan.

Edisi Kelima

Diterbitkan pada 1833, di Koethen
Terdapat 294 Aforisme
Tajuk – Organon of The Healing Art (Organon Der Heilkunst)
Diterjemahkan oleh Robert Ellias Dudgeon, ke bahasa Inggeris, pada tahun 1849 dan 1893. Juga diterjemahkan oleh C. Wesselehoft.

Edisi ini memperkenalkan dua pendekatan baru– Doktrin Tenaga Hayat (Doctrine of Vital Force), dan Doktrin Dinamisasi Ubat (Doctrine of Drug Dynamization).

Edisi Keenam

Diterbitkan pada 1921, ditulis di Paris
Mengandungi 291 Aforisme
Tajuk – Organon of Medicine
Diterjemahkan oleh William Boericke, dalam bahasa Inggeris, pada tahun 1921.

Tajuk Buku ‘Organon’

Perkataan ‘Organon’ berasal daripada perkataan Greek, ‘Organum’. Organum membawa makna ‘instrumen pengetahuan’ (instrument of knowledge). Perkataan ‘Organon’ pertama kali digunakan oleh ahli falsafah Greek yang bernama Aristotle (384-322 BC) apabila membicarakan tentang logik. Kemudian, Franics Bacon (1561-1626), seorang ahli falsafah Inggeris turut menggunakan istilah tersebut dalam tulisan berkaitan perjanjian logiknya bertajuk ‘Novum Organum’. Besar kemungkinan hasil kerja Aristotle dan Bacon telah mempengaruhi Dr. Hahnemann untuk menamakan bukunya “Organon”.

Jika dalam edisi pertamanya, Dr. Hahnemann menamakan buku beliau ‘Organon of the Rational Medical Science’. Namun mulai edisi ke 2 dan seterusnya, beliau telah menukarkan tajuk itu kepada ‘Organon of the Healing Art’.

Edisi ke Lima dan ke Enam

Seperti disebutkan lebih awal dalam pengenalan buku Organon Perubatan ini, edisi ke lima diterbitkan semasa hayat Dr. Hahnemann. Tetapi edisi ke enam hanya diterbitkan puluhan tahun selepas kematian Dr. Hahnemann. Masalahnya ialah perubahan antara kedua edisi buku Organon itu teramat besar sehingga tidak semua pengamal homeopati boleh menerima saranan perubahan itu.

Beberapa isu penting antara kedua edisi tersebut ialah: Pertama sekali, iaiitu Tenaga Hayat (Vital Force) telah digantikan dengan Prinsip Vital (Vital Principle). Kedua, isu berkaitan dengan skala potentisasi atau perkuatan-kuasa (potentization). Ketiga, isu skala 50 Milesimal (50 Millesimal scale) yang hanya terdapat dalam edisi ke enam. Selain itu, terdapat juga perubahan dalam penyediaan, pengurusan dan pengulangan pengambilan ubat.

Kandungan Organon Perubatan (Edisi Boericke)

Organon Perubatan (Organon of Medicine) edisi terjemahan William Boericke boleh dianggap paling popular. Di dalamnya mengandungi kedua-dua edisi Organon yang terakhir. Di dalamnya mengandungi Kata Pengantar, Isi Kandungan dan Pengenalan sebelum semua aforisme dipaparkan. Aforisme Organon edisi ke lima terdapat sebanyak 294, sementara dalam Organon edisi ke enam, kita dapati ia dikurangkan kepada 291 aforisme sahaja.

Buku Organon Perubatan sebagaimana dalam buku terjemahan Inggeris oleh William Boericke juga boleh diagihkan kepada dua bahagian. Bahagian-bahagian dan maklumat secara kasar bagi setiap bahagian adalah:

A. Bahagian Teori atau Doktrin (§ 1-71)

Bahagian ini menceritakan beberapa konsep dan doktrin dalam amalan perubatan homeopati, seperti:

1. § 1-4: mengenai misi, tugas, kerja-kerja dan tanggungjawab seorang doktor. Ia juga menjelaskan konsep kesembuhan yang sebenar.

2. § 5 – 18: mengenai pengetahuan mengenai penyakit dan tenaga vital (vital force).

3. § 19 – 27: mengenai pengetahuan tentang ubat (dadah/penawar).

4. § 28 – 69: mengenai pengetahuan tentang bagaimana memilih dan memberikan remedi; apakah perbezaan kaedah-kaedah seperti alopati, antipati, homeopati? Apa yang akan berlaku apabila dua penyakit dinamik bertemu dalam tubuh badan? dan lain-lain.

Bahagian aforisme 1 hingga 70 ini juga menerangkan sikap atau pandangan Dr. Hahnmeann terhadap penyakit, tindakan ubat dan pemilihan serta pengurusan remedi. Aforisme-aforisme yang awal berusaha menangani 3 persoalan pokok:

·         Apakah yang boleh disembuhkan dalam penyakit?

·         Apakah penyembuhan dalam ubat-ubat?

·         Bagaimana mengamalkan pengetahuan mengenai ubat terhadap pengetahuan mengenai penyakit?

 

B. Bahagian Praktikal atau Amalan (§ 72 – 291)

Bahagian Praktikal dalam Organon merangkumi sebahagian besar aforisme yang menjadi landasan bagi amalan homeopati. Bahagian ini membincangkan mengenai konsep-konsep berikut:

1. § 72 – 104: Bagaimana seorang doktor itu menentukan apa yang perlu diketahui bagi tujuan menyembuhkan penyakit? Di sini Dr. Hahnemann memberi justifikasi mengapa penyakit-penyakit itu wajar dibahagikan kepada penyakit akut dan kronik, dan kemudiannya memberi garis panduan mengenai kaedah pengambilan kes.

2. § 105 – 145: Bagaimana doktor boleh mendapatkan pengetahuan mengenai kuasa patogenik ubat-ubat? Di sini Dr. Hahnemann menunjukkan peraturan-peraturan bagi menguji-buktikan ubat-ubat (penawar) ke atas manusia yang sihat.

3. § 146 – 285: Apakah kaedah  atau cara yang paling sesuai dalam menggunakan agen morbid buatan (ubat-ubat) demi menyembuhkan penyakit tabii?

--  3a. § 164 – 263: membincangkan mengenai pemilihan dan kaedah pengurusan remedi-remedi.

--  3b. § 264 – 285: Dalam aforisme seterusnya, Dr. Hahnemann membicarakan tentang teori dinamisasi ubat dan farmasi homeopati. Di sini beliau memaklumkan arahan dalam mencari keserupaan di antara ubat dan penyakit ; pemilihan dan pengulangan dalam pemberian dos ; penyediaan ubat-ubatan ; diet dan regimen yang harus diikuti.

4. § 280 – 291: Kemudiannya, Dr. Hahnemann membincangkan faedah-faedah agen-agen terapeutik lain selain ubat-ubatan, seperti:

·                     § 286-287 – Magnetisme dan Elektrisiti

·                     § 288-289 – Mesmerisme

·                     § 290 – Urut (Massage)

·                     § 291 – Mandian (Bath)

Dengan kemasukan perbincangan mengenai agen-agen terapeutik lain, kita lihat seolah-olah Dr. Hahnemann ingin memasukkan semua kemungkinan sistem perubatan dalam membantu merawat penyakit yang dihidapi manusia. Demikian juga dalam sesetengah aforisme yang diutarakan itu, kita dapati penerangan yang hendak diberikan itu sangat terhad sehingga beliau mesti mencari satu cara yang boleh membantu hasrat beliau.

Justeru, di dalam Organon edisi ke lima dan ke enam Dr. Hahnemann telah menggunakan kaedah penerangan melalui nota kaki dengan banyak. Di sebahagian aforisme-aforisme itu, nota kakinya adalah jauh lebih panjang daripada aforisme itu sendiri.

Bagaimanapun, di dalam Organon Perubatan edisi Bahasa Malaysia ini, kita mengutamakan aforisme-aforisme itu lebih daripada yang lain. Nota kaki tidak dimasukkan, tetapi jika dirasakan teramat penting, penulis memberi ulasan ringkas yang dapat dirumus daripada nota kaki yang asal. Bagaimanapun, ada masanya petikan-petikan kenyataan Organon turut dikepilkan bersama di dalam nota kaki.

 (petikan daripada buku Organon Perubatan Homeopati - karya Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD)

 
   © HBI Health & Homoeopathy Centre 2019.   © Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 2019  (New Version - updated)

AlloWebmaster:drhatta3@yahoo.com