30-69:
Memetakan falsafah sistem.
§ 30 Edisi
5 dan 6
Dalam membicarakan masalah yang timbul
berkaitan kesembuhan secara semulajadi, Dr. Hahnemann seterusnya
menyatakan:
“Nampaknya tubuh manusia seperti mengakui bahawa ubat (sebahagiannya
kerana kita mempunyai kuasa menentukan dos) lebih berkesan daripada
pengaruh morbid semulajadi - justeru jelas sekali penyakit-penyakit
dapat disembuhkan dan dikawal dengan menggunakan ubat (penawar-penawar)
yang bersesuaian.”
Dr. Hahnemann menjelaskan bahawa tindakan penawar (ubat atau kuasa
morbid buatan - yang lebih kuat) yang pendek tempoh masanya
memungkinkan ia mudah dikendalikan oleh tenaga hayat berbanding
penyakit-penyakit tabii yang lebih lemah. Ini berlaku kerana natijah
daripada tindakan penyakit tabii (berpunca daripada psora, sifilis,
sikosis) yang terlalu lama tidak dapat dihapuskan sehingga doktor
itu mesti memberi kesan kepada tenaga hayat melalui penawar
homeopati (atau agen yang dapat menghasilkan penyakit paling serupa
dan lebih kuat). Kata Hahnemann, "Penyembuhan penyakit-penyakit yang
mengambil masa bertahun lamanya (§ 46), menerusi jangkitan campak
dan cacar (yang mana keduanya mengambil masa hanya beberapa minggu)
adalah contoh proses yang berlangsung mengikut prinsip yang sama".
Jelas kepada kita di sini bahawa nota kaki para 29 edisi ke 5 sudah
dipindahkan ke para 30 edisi ke 6 serta diringkaskan sedikit.
§ 31
“Kuasa inimikal yang mempunyai unsur psikologi dan fizikal (diistilahkan
sebagai agen berbahaya morbid) yang mana kita semua terdedah tidak
mempunyai kuasa mengganggu kesihatan manusia secara bebas. Tetapi
kita boleh jadi sakit hanya apabila kita atau organisma manusia
terdedah secukupnya dan alah kepada agen morbid, serta keadaan sihat
mudah dirubah dan terpaksa menerima perasaan dan fungsi yang tidak
normal - dalam erti kata lain ia tidak menghasilkan penyakit ke atas
setiap orang dan tidak juga pada setiap masa.”
Dr. Hahnemann menjelaskan di dalam nota kakinya bahawa beliau bukan
ingin memberikan penerangan metafizik tentang semulajadi (tabii)
penyakit. Maksud beliau yang sebenarnya ialah penyakit bukan
perubahan kimia atau mekanikal serta tidak bergantung kepada bahan
morbid yang material, sebaliknya sekadar kekalutan hidup yang
bersifat dinamik dan rohaniah (konseptual).
§ 32
“Sebaliknya agen penyakit (morbid) buatan yang merujuk kepada
penawar adalah berbeza sekali. Setiap penawar yang tulen bertindak
setiap masa, dalam semua situasi dan persekitaran, ke atas setiap
manusia hidup, dan menghasilkan simptom-simptom khusus (yang dapat
ditanggap dengan jelas apabila dosnya cukup besar). Dengan itu juga
setiap organisma hidup cenderung menerima kesan atau mendapat jangkitan
dengan penyakit ubat setiap masa, tanpa syarat. Dan ini berbeza
sekali dengan tindakan semulajadi penyakit tabii.”
§ 33
“Sesuai dengan kenyataan ini, tidak dapat dinafikan bahawa semua
pengalaman menunjukkan organisma hidup lebih mudah terdedah dan
menerima kesan serta mengizinkan keadaan sihatnya dirubah oleh kuasa
penawar berbanding agen berbahaya penyakit dan jangkitan miasma. Dalam
lain perkataan, boleh juga disebutkan bahawa agen berpenyakit dan
jangkitan miasma mempunyai kuasa yang lebih lemah dan bersyarat
dalam aktivitinya merubah kesihatan seseorang, sedangkan agen
penawar mempunyai kuasa mutlak dan jauh lebih hebat.”
Seterusnya Dr. Hahnemann memberi contoh tentang penggunaan sedikit
dos Belladonna yang diberikan kepada kanak-kanak di
Konigslutter yang telah berjaya menghalang mereka daripada
dijangkiti skarlatina sedangkan hampir seluruh kanak-kanak di
Sydenham tidak terkecuali daripada jangkitan apabila wabak itu
berlanjutan menyerang. Katanya, jika penawar atau ubatan itu boleh
menahan penyakit yang sedang merebak tentulah ia mempunyai kuasa
mempengaruhi tenaga hayat secara lebih kuat lagi.
§ 34 Edisi
5 dan 6
“Bagaimanapun, kekuatan penyakit buatan yang dihasilkan oleh penawar
bukanlah satu-satunya penyebab untuk menyembuhkan penyakit tabii (semulajadi).
Kerana bagi memberi kesan kesembuhan, penawar itu harus mampu
menghasilkan simptom-simptom penyakit buatan di dalam tubuh manusia
yang serupa dengan penyakit yang hendak dirawat. Berasaskan
keserupaan ini, digandingkan dengan kekuatannya (yang lebih),
barulah ia dapat menggantikan jangkitan tabii morbid tadi dan
seterusnya mengetepikan pengaruh penyakit ke atas tenaga hayat. Ini
terbukti benar kerana penyakit sedia ada itu tidak boleh disembuhkan
sama ada secara fitrah (Nature) maupun ubat-ubatan selagi ia
tidak mampu menghasilkan keadaan morbid yang serupa di dalam tubuh
yang sihat.”
Terdapat sedikit tambahan dan perubahan ayat dalam edisi ke 6 para
34.
§ 35
“Bagi membuktikan kenyataan ini, kita lihat ilustrasi tiga kes yang
berbeza sepertimana yang biasa berlaku apabila dua penyakit tabii
yang tidak serupa bertembung dalam tubuh seseorang. Iaitu seperti
juga halnya bila rawatan perubatan yang biasa dibuat ke atas suatu
penyakit dengan ubat alopati yang tidak sesuai, yang tidak mampu
menghasilkan keadaan morbid buatan yang serupa dengan penyakit yang
hendak disembuhkan. Di mana kita akan saksikan yang fitrah (Nature)
itu sendiri tidak dapat membantu mengenepikan kehadiran penyakit
lain yang tidak homeopati (bagi tujuan menyembuhkan), walaupun ianya
cukup kuat.”
Tiada dalam terjemahan Hering,
tetapi Dudgeon menyebutkan: ...dan kalaupun didapati penggunaan ubat
kuat yang diberikan secara bukan homeopati bagi tujuan menyembuhkan
satu-satu penyakit, kejayaannya amat sedikit sekali.
|