Organon Versi Bahasa Melayu

 

 

 

Malaysia Homeopathy Cyber Library WEBSITE SINCE 2001

ORGANON PERUBATAN HOMEOPATI

Saringan Oleh: Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD

(VERSI BAHASA MALAYSIA BERASASKAN TERJEMAHAN INGGERIS)

  MALAYSIA HOMEOPATHY VIRTUAL INSTITUTE

    

 

 

 

§ 36

“I. Jika dua penyakit yang tidak serupa tetapi sama kuat atau penyakit yang terdahulu itu lebih kuat, bertembung dalam diri manusia maka penyakit yang baru masuk akan ditahan oleh penyakit yang terdahulu tanpa sempat memberi kesan. Seorang pesakit yang menderita penyakit kronik yang teruk tidak akan dijangkiti oleh disenteri bermusim atau pelbagai penyakit wabak lain.”

Kemudiannya Dr. Hahnemann turut menyebut beberapa contoh yang dilaporkan oleh rakan-rakannya berhubung dengan ilustrasi yang pertama. Umpamanya, dilaporkan oleh Larry bahawa mereka yang menderita ekzema atau mendapat jangkitan skurvi cenderung kebal daripada serangan wabak (plague of the Levant). Sementara Jenner mengatakan bahawa rachitis menghalang daripada pelalian memberi kesan. Alasan beliau jelas iaitu penyakit kronik yang teruk mungkin kebal daripada penyakit wabak yang ringan dan tidak serupa.

 

§ 37 Edisi 5 dan 6

“Begitulah juga halnya dalam rawatan perubatan biasa, penyakit kronik yang lama kekal tidak dapat disembuhkan maupun dirubah jika ia dirawat mengikut kaedah alopati biasa. Ini adalah kerana ubat-ubat yang digunakan itu tidak mampu menghasilkan simptom-simptom yang serupa dengan penyakit di dalam diri individu sihat. Kenyataan ini tetap benar walaupun rawatan itu diberikan sehingga bertahun-tahun lamanya dan penyakit itu tidak teruk sangat. Situasi ini disaksikan setiap hari dalam amalan perubatan dan kerana itu tidak perlu diberikan ilustrasi lagi.” 

Mengikut Dr. Hahnemann, perkara ini disaksikan setiap hari dalam amalan perubatan dan kerana itu tidak perlu diberikan contoh lagi. Dalam nota kaki edisi ke 6, beliau menjelaskan sekiranya ia dirawat oleh ubat alopati yang lebih keras maka penyakit lain mungkin terbentuk yang menyebabkan keadaan menjadi lebih kusut dan membahayakan kehidupan.

 

§ 38

“II. Ataupun dalam satu keadaan lain, penyakit baru yang tidak serupa lebih kuat. Dalam kes ini, penyakit lama yang diidapi pesakit lebih lemah dan kerana itu akan dipendam atau dihentikan buat sementara berikutan kehadiran penyakit baru yang kuat. Apabila penyakit baru itu habis tempoh serangannya ataupun dapat disembuhkan, maka penyakit yang terdahulu itu akan timbul kembali dan tidak sembuh. Dua kanak-kanak yang dijangkiti oleh sejenis epilepsi didapati bebas daripada serangan epilepsi selepas dia dijangkiti sejenis kurap (ringworm - tinea) tetapi selepas letusan di kepalanya telah hilang, epilepsi itu kembali menyerang seperti dulu. Itu satu kes yang diperhatikan oleh Tulpius. Mengikut pemerhatian Schof pula, gatal-gatal boleh hilang apabila timbul skurvi, namun apabila skurvi itu sembuh, gatal-gatal yang dialami sebelumnya timbul semula.”

Banyak lagi contoh-contoh yang diperhatikan oleh para doktor dan dipetik oleh Dr. Hahnemann bagi membuktikan kenyataan kedua beliau itu. Semua itu dikumpulkan pada Para 38 Organon. Justeru beliau merumuskan "demikianlah dengan semua penyakit yang tidak serupa; yang kuat menangguhkan yang lemah (apabila ia tidak menimbulkan komplikasi antara satu sama lain - yang mana jarang berlaku dalam kes penyakit akut), tetapi ia tidak saling menyembuhkan".

  

§ 39

“Berkurun-kurun lamanya para pengikut sekolah perubatan biasa menyaksikan bahawa fitrah atau tabii (Nature) itu sendiri tidak dapat menyembuhkan sebarang penyakit dengan cara menggantikan penyakit terdahulu dengan penyakit baru walaupun penyakit baru itu lebih kuat seandainya (simptom) penyakit baru itu tidak serupa dengan (simptom) penyakit sedia ada dalam tubuh. Apakah mereka tidak fikir akan natijahnya apabila mereka terus-menerus merawat penyakit kronik dengan remedi alopati, terutama ubat yang boleh mengakibatkan lahirnya pelbagai penyakit lain justeru ia tidak serupa dengan penyakit yang hendak dirawat?”

“Meskipun para doktor itu tidak memerhatikan dengan teliti kejadian tabii itu, mereka sepatutnya mendapat pengajaran daripada kesan-kesan rawatan mereka yang menunjukkan mereka telah mengikuti jalan yang tidak wajar, iaitu jalan yang salah. Tidakkah mereka faham apabila mereka menggunakan rawatan alopati yang agresif dalam merawat penyakit kronik mereka sebenarnya hanya melahirkan penyakit buatan yang tidak serupa dengan penyakit asal, yang mana dengan cara berterusan berbuat demikian bermakna mereka telah menekan atau membenamkan penyakit asal ke dalam, walhal kemudiannya, sebaik sahaja (tenaga hayat) pesakit tidak dapat lagi menerima ubat-ubat alopati maka penyakit asal itu tetap menyerang semula?”

Seperti para 38, di sinipun Dr. Hahnemann turut memberi contoh-contoh akibat penggunaan ubat alopati yang tidak serupa. Antara lain katanya, "Dengan cara inilah maka ubat kuat purgatif yang diberikan berkali-kali menyebabkan erupsi kulit hilang dengan cepat, tetapi apabila pesakit tidak lagi dapat bertahan dengan penyakit buatan (yang tidak serupa) dan ubat purgatif itu, maka erupsi jangkitan kulit itu meletus balik seperti dulu ataupun jangkitan psora dalaman mempamerkan diriya melalui simptom-simptom buruk,..dan pesakit bukan saja bakal mengalami penyakit asal yang tidak berkurangan, sebaliknya  terpaksa menanggung siksa gangguan pencernaan yang menyakitkan dan tenaga yang lemah buat meneruskan hidup."

 

§ 40

“III. Atau selepas lama bertindak ke atas organisma, penyakit baru itu bekerjasama dengan penyakit lama yang tidak serupa dan lantas membentuk satu penyakit kompleks. Setiap penyakit yang hadir itu menguasai kawasan tertentu dalam organisma khususnya organ-organ yang bersesuaian dengannya, sementara organ-organ yang lain dibiarkan kepada penyakit lain yang tidak serupa dengannya. Justeru, pesakit sifilis mungkin menjadi pesakit psora, dan begitulah sebaliknya. Oleh kerana kedua penyakit itu tidak serupa di antara satu sama lain, mereka tidak boleh mengenepikan maupun menyembuhkan antara satu sama lain. Pada mulanya simptom-simptom venereal dipinggir dan ditangguhkan apabila letusan psora mula timbul. Tetapi selepas berlalu beberapa waktu (apabila sifilis itu mulai menjadi sekuat psora), kedua-dua penyakit itu bertaut (di mana setiap satunya mengawal bahagian organisma yang mempunyai environmen bersesuaian dengannya) dan menyebabkan pesakit mengalami lebih banyak masalah penyakit dan lebih sukar disembuhkan.”

“Apabila dua penyakit berjangkit akut yang tidak serupa bertembung, seperti cacar (smallpox) dan campak (measles), telah diperhatikan bahawa salah satu penyakit itu menangguhkan yang lain. Namun dalam kes yang jarang-jarang berlaku sewaktu kejadian epidemik yang teruk, dua penyakit akut yang tidak serupa menyerang pada waktu yang sama di dalam tubuh seorang individu, tetapi tidak lama kemudian bertaut di antara satu sama lain. Dalam satu kejadian wabak di mana cacar dan campak tersebar pada masa yang sama, di antara tiga ratus kes, P. Russel mendapati satu kes di mana kedua penyakit yang tidak serupa ini berada dalam diri seorang individu pada masa yang sama. Demikian juga disaksikan oleh Rainey di mana wujud kejadian serentak penyakit cacar dan campak yang melibatkan dua orang budak perempuan. Dalam amalan praktiknya, J. Maurice sempat perhatikan dua kes yang hampir sama. Kes yang serupa boleh didapati daripada Ettmuller dan beberapa tulisan lain.”

Sila rujuk senarai nota kaki yang diberikan oleh Dr. Hahnemann dalam naskhah asal Organon untuk melihat sumber asal petikan. Pada nota pertama, beliau juga ada menyatakan mengenai hasil pemerhatiannya terhadap jenis penyakit kompleks seperti ini serta kaedah terbaik memberi kesembuhan menggunakan sediaan merkuri beserta remedi psora yang spesifik secara berselang dan bijaksana. 

 

§ 41 Edisi 5 dan 6

“Komplikasi yang lebih kerap lagi berbanding penyakit-penyakit tabii yang saling merumitkan kesembuhan yang lain dalam tubuh yang sama ialah komplikasi penyakit yang diakibatkan oleh seni perubatan yang diamalkan oleh pengamal biasa (konvensional), yang mana rawatan perubatan yang tidak wajar (kaedah alopati) menerusi penggunaan dadah yang tidak sesuai dalam tempoh yang lama cenderung menimbulkan komplikasi morbid. Selain daripada penyakit tabii yang hendak disembuhkan, kini masalah itu ditambah lagi dengan pemberian berterusan ubatan yang tidak sesuai yang mampu mengakibatkan keadaan morbid yang baru dan menjemukan.”

“Simptom-simptom (penyakit lama) ini yang tidak mampu disembuhkan mereka melalui tindakan keserupaan (iaitu secara homeopati) mengakibatkan penyakit kronik itu bergabung perlahan-lahan dengan penyakit baru yang tidak serupa hasil buatan ubat, yang tabiinya memang kronik. Natijahnya, pesakit mengidap lebih daripada satu penyakit yang membuatkan pesakit lebih parah dan lebih sukar disembuhkan. Kebenaran ini dibuktikan oleh banyak kes yang memohon bantuan nasihat seperti yang tersiar di dalam jurnal perubatan dan rekod-rekod daripada tulisan berkaitan perubatan.”

“Salah satu bukti ialah dalam kes venereal chancrous disease, terutama apabila timbul komplikasi psora atau diskrasia gonorea kondilomata, yang mana bukan saja tidak dapat disembuhkan dengan menggunakan dos sediaan merkuri yang tidak sesuai, banyak dan berulang, sebaliknya ia turut sama mengambil tempat bersama jangkitan merkuri kronik yang muncul secara beransur-ansur di dalam organisma, dan seterusnya membentuk komplikasi penyakit yang lebih besar.”

Apa yang disebutkan sebagai penyakit kompleks (complicated disease) merujuk kepada masked venereal disease. Constantine Hering menyebutnya masked  syphilis atau pseudo-syphilis, sama seperti tercatat dalam buku The Chronic Diseases karangan Dr. Hahnemann. Rawatan penggunaan merkuri sebagaimana disebut dalam nota kaki boleh membantu menyembuhkan penyakit venereal bila semua simptomnya serupa, namun kemungkinan juga akan mewujudkan kesan sampingan penyakit lain terutama jika dosnya besar, lebih-lebih lagi jika melibatkan komplikasi psora.



 

 

© HBI Health & Homoeopathy Centre ; Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 2016