§ 6 Edisi 5 dan 6
Pada Para 6 ini, Hahnemann mengingatkan
tentang pentingnya melihat simptom itu secara keseluruhan kerana kesemua
tanda-tanda yang dapat ditanggap itu, yang merupakan perubahan terhadap
kesihatan tubuh dan minda, itu sajalah yang mewakili penyakit.
"Pemerhati yang
tidak prejudis - yang sedar mengenai spekulasi sia-sia dan tiada pengesahan (bukti)
daripada pengalaman - tidak melihat sesuatu yang lain selain daripada
perubahan kesihatan tubuh dan minda individu yang sakit, yang hanya dapat
ditanggap oleh pancaindera yang rasional; yakni beliau hanya memberi perhatian
kepada penyimpangan (perubahan) daripada keadaan kesihatan individu
yang dijangkiti
yang boleh
dirasakan oleh pesakit, tampak jelas oleh orang sekeliling dan diperhatikan
oleh doktor. Kesemua tanda-tanda yang dapat ditanggap ini menggambarkan
penyakit dalam rupanya yang menyeluruh, atau dalam kata lain, keseluruhan
tanda-tanda itu membentuk rupa diri penyakit yang boleh ditanggap dan jitu."
Justeru, Dr. Hahnemann mempersoalkan di dalam
nota kakinya di mana beliau hairan bagaimana para doktor boleh menyembuhkan
penyakit atau berpura-pura mampu menyembuhkannya tanpa memberi perhatian
kepada simptom-simptom sedangkan simptom-simptom itulah yang memimpin kita
semua dalam usaha merawat dan menyembuhkan pesakit. Bagi beliau, seorang
doktor tidak akan sekali-kali dapat melihat makhluk rohani yang menghasilkan
penyakit iaitu tenaga vital (vital force), kerana itu tanpa panduan
simptom-simptom mereka tidak akan dapat menemui remedi yang betul. Lantas
bagaimanakah mereka boleh mendakwa cara atau prosedur itu sajalah boleh
digelar sebagai rawatan yang radikal dan rasional?
Dalam nota edisi ke 5, Dr. Hahnemann ada
menyatakan bahawa para doktor yang kajian-kajiannya tertumpu kepada
perhubungan tersembunyi di dalam dalaman organisma mungkin terlalu
berhati-hati, tetapi ahli homeopati yang menguasai secermatnya kesemua
kumpulan simptom-simptom, mempunyai panduan yang pasti; dan jika dia berjaya
dalam mengenepikan kesemua kumpulan simtom-simptom maka seolah-olah dia telah
menghapuskan punca tersembunyi yang menyebabkan penyakit itu.
§ 7
Sebagai lanjutan daripad Para 6, Dr. Hahnemann
seterusnya mengingatkan bahawa hanya menerusi pengenalan simptom-simptom
sahajalah remedi bagi penyakit dapat ditemui. Lebih-lebih lagi jika diketahui
keseluruhan simptom, iaitu gangguan-gangguan kepada kuasa hayat yang
menentukan remedi paling seraksi, maka dapatlah penyakit itu disembuhkan.
Kerana itu pengamal itu harus berpegang dan mengambil perhatian
sungguh-sungguh kepada prinsip ini supaya dia dapat membuang penyakit menerusi
seni kesembuhan homeopati ini.
"Sekarang sebagaimana dalam suatu kes penyakit
di mana tiada penyebab atau agen yang merangsang zahirnya [penyakit] (causa
occasionalis) perlu dibuang, kita tidak dapat menanggap apa-apa melainkan
simptom-simptom morbid - maka sudah pasti
(dengan mengambilkira kemungkinan miasma, dan
perhatian perlu diberi kepada keadaan tambahan/sampingan,
§ 5) hanya simptom-simptom ini sahajalah yang dapat
memandu doktor dalam memilih remedi yang tepat bagi melawan penyakit. Lagipun,
keseluruhan simptom-simptom, yang merupakan imej kepada gambaran intipati
penyakit, yakni yang menjangkiti tenaga hayat, mestilah menjadi kaedah
satu-satunya dalam mengenali penyakit dan menentukan jenis remedi yang
diperlukan - bahkan hanya cara ini juga yang menentukan pilihan remedi paling
tepat".
"Dalam ertikata lain, kita boleh simpulkan
bahawa simptom-simptom secara keseluruhan mestilah menjadi prinsip, malahan
satu-satunya perkara yang si doktor itu harus memandang penting dalam setiap
kes penyakit dan yang perlu dihilangkan menerusi seni (kesembuhan homeopati)
supaya penyakit itu dapat disembuhkan dan dirubah kepada keadaan sihat."
Sedangkan sejak sekian lama, doktor sekolah
perubatan lama yang tidak tahu bagaimana untuk melegakan pesakit telah
membenam penyakit dengan memberi ubat-ubatan bagi tujuan merawat satu sahaja
daripada sekian banyak simptom yang dipaparkan oleh penyakit di bawah nama
rawatan simptomatik. Ini dinyatakan di dalam nota kaki 2, di mana tidak ada
faedah yang diperoleh daripada usaha itu melainkan menambah-burukkan keadaan.
§ 8
"Jika kesemua simptom-simptom penyakit telah
berjaya dibuang atau dihilangkan, sudah pasti yang tinggal itu hanyalah "sihat
sejahtera". Tidak mungkin lagi dapat dikatakan penyakit masih ada apabila
punca dan kesan-kesan penyakit itu sudah tiada."
Kata Dr. Hahnemann, jika seorang pesakit itu
telahpun disembuhkan daripada penyakitnya oleh doktor yang sebenar sebagaimana
di atas sehingga tiada lagi kelihatan simptom dan kesan penyakit - di mana
tanda-tanda kesihatan kekal telah kembali, adalah tidak munasabah untuk kita
mengatakan penyakit dahulu masih ada tersembunyi di dalam diri pesakit.
Menafikan kebenaran ini (bahawa pesakit sudah sembuh) sepertilah juga
memperkecilkan bukti yang diterima akal.
Namun para doktor persekolahan lama masih
tetap mengatakan bahawa "homeopati hanya boleh membuang simptom-simptom,
sedangkan di dalamnya masih ada penyakit". (lih. Homoopathie, p.27, 1,
19.) Sejak dahulu sehingga kini alopati masih
berpendirian demikian.
Hal ini timbul justeru (i) jika mereka terima
hakikat itu, ia akan pasti memalukan sekolah perubatan lama, memandangkan
progres yang ditunjukkan oleh homeopati demi kebajikan manusia sejagat sudah
terlalu jauh. Selain itu, ia juga disebabkan (ii) mereka
cuba mempertahankan kepercayaan doktor alopati bahawa penyakit itu adalah
sesuatu yang material. Mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa penyakit itu
hadir kerana tenaga hayat (vital force) telah mendapat gangguan atau
sebagai satu keadaan di mana kedudukan kesihatan individu sudah mengalami
perubahan.
Disebabkan kepercayaan itu mereka tidak yakin
kesembuhan sudah tercapai melalui kaedah perubatan homeopati, walaupun pesakit
telah pulih dan semua simptom-simptom yang kelihatan sebelumnya telahpun
lenyap. Demikian keterangan nota kaki para 7, Organon.
§ 9
“Semasa sihat, tenaga hayat yang bersifat rohani,
mengenderai tubuh kasar serta menguasai dan mengatur semua bahagian organisma
dalam keadaan harmoni, meliputi perasaan dan segenap fungsi, agar kewujudan
dan kurnia akal dapat bertindak dengan bebas bagi mencapai matlamat unggul
kewujudan manusia.”
Di sini Dr. Hahnemann
memperkenalkan tenaga hayat (vital force) sebagai satu kuasa atau
pengaruh yang memberi tenaga untuk hidup kerana tubuh badan mengandungi aspek
material dan nonmaterial. Pandangan ini ditentang oleh golongan berpemikiran
saintifik yang materialistik justeru mereka melihat unsur spiritual dalam
falsafah perubatan homeopati.
LAMAN INDEKS
Malaysia