| 
           
			SEJARAH
          PENGGUNAAN HERBA SEBAGAI RAWATAN
          PERUBATAN
          
           
          
			Penggunaan
          herba sebagai satu rawatan bermula sejak manusia hidup secara primitif
          lagi. Berdasarkan pengalaman cuba-cuba jaya, mereka dapat mengenali
          yang mana satu tumbuh-tumbuhan yang boleh dimakan, yang mana baik
          untuk penyakit, dan tumbuhan mana yang boleh membawa kesan racun dan
          kematian. Berdasarkan rekod bertulis, pengajian herba dikatakan
          bermula sejak tamadun Sumeria iaitu kira-kira 5,000 tahun yang lalu.
          
           
          
			ZAMAN
          PURBA
          
           
          
			Antara
          kejayaan-kejayaan awal dalam perubatan herba boleh dilihat dalam
          sejarah Mesir purba. Ramuan-ramuan mengenai preskripsi perubatan
          yang digunakan oleh para pawang di Mesir boleh ditemui dalam papyri
          perubatan (medical papyri)
          yang disusun antara tahun 1500 hingga 1000 sebelum Masehi.
          Ramuan-ramuan ini diambil daripada tumbuh-tumbuhan, pokok-pokok dan
          buah-buahan di mana di antaranya ada yang mengandungi khasiat-khasiat
          perubatan yang diakui oleh perubatan herba moden. Daripada
          preskripsi-preskripsi yang dicatat di dalam "Ebers
          papyrus", ada disebutkan Allium
          sativum (bawang putih) sebagai agen efektif terhadap pelbagai
          gangguan termasuk sakit kepala, cacing dan masalah jantung dan
          sirkulasi. Mereka juga ada menggunakan Colchicum autumnale (autumn
          crocus) dalam merawat sakit gout atau artritis.  
          
           
          
			  
			
			Di
          negeri China, pengetahuan mengenai tumbuh-tumbuhan perubatan dikesan
          sejak zaman Emperor Chin-nung di mana kira-kira hampir 2500 S.M.
          sebuah farmakopia "Pun-tsao"
          ditulis. Antara tumbuh-tumbuhan yang disebut di dalamnya ialah Indian
          hemp, Aconite, Opium poppy dan Croton.
          Beberapa jenis racun dan antidotnya turut dicatat. Dikisahkan bahawa
          orang-orang China dahulukala menggunakan tumbuhan Ephedra
          untuk merawat asma bronkial. Tetapi tumbuhan yang paling popular di
          kalangan masyarakat China ialah Ginseng,
          yang dianggap sebagai satu penawar penyelesai semua masalah (panacea).
          Ia dikatakan berkhasiat bagi penyakit pernafasan, masalah pencernaan,
          kencing manis, reumatisme dan sakit-sakit di bahagian luar. Ia juga
          disebut-sebut sebagai penawar yang baik untuk masalah kelamin.
          
           
          
			
			   Seperti
          perubatan masyarakat China, maklumat mengenai tumbuh-tumbuhan
          bernilai perubatan daripada India purba diperturunkan menerusi
          tradisi lisan. Pengetahuan mengenai bahan-bahan perubatan di India
          adalah berasaskan kitab-kitab Hindu (Veda) dan ianya dikodifikasikan
          di dalam satu sistem rawatan holistik yang dikenali sebagai “Ayurvedic
          Medicine”. Salah satu tumbuhan yang dipetik oleh U.S.
          Pharmacopoeia pada awal tahun 1950an ialah Rauwolfia
          serpentina (snakeroot)
          yang berguna bagi rawatan sakit mental atau sakit gila bulan
          mengambang (lunacy).
          
           
          
			
			   Daripada
          zaman Firaun di Mesir, asas etika dan amalan perubatan dibawa ke
          Greek. Hippocrates (460-380 S.M), yang dianggap sebagai bapa perubatan,
          memberi sumbangan yang besar dalam dunia perubatan dengan menekankan
          supaya seseorang doktor itu tidak melakukan sesuatu yang buruk. Beliau
          menyarankan agar dibuat diagnosis yang teliti dan diminimumkan
          penggunaan julap, purgatif dan emetik. Hippocrates percaya bahawa
          kesihatan manusia bergantung kepada keseimbangan di antara darah,
          balgham/lendir, hempedu hitam dan hempedu kuning. Theophrastus
          (370-285 S.M) pula, telah mengklasifikasikan tumbuh-tumbuhan di dalam
          bukunya Historia Plantarum. Buku tersebut dianggap sumber terbaik mengenai
          maklumat herba sehinggalah sampai akhir abad ke 16.
          
           
          
			
			   Bagaimanapun,
          di Greek tumbuh-tumbuhan bukan saja digunakan bagi tujuan memberi
          kesembuhan tetapi juga sebagai satu cara untuk menyebabkan kematian
          samada menerusi bunuh diri atau hukuman bunuh. Contoh yang tragis dan
          bersejarah ialah mengenai kematian Socrates. Daripada cerita yang
          diutarakan oleh Plato, jelas terbukti bahawa Conium maculatum (poison
          hemlock) telah disalahgunakan untuk tujuan melaksanakan hukuman
          bunuh terhadap Socrates.
          
           
          
			
			   Di Rom,
          bermula daripada abad pertama Masehi sehingga ke puncak empayar Romawi,
          terdapat satu hasil karya yang masih tinggal iaitu “Historia
          Naturalis”. Daripada 37 buah buku yang mengandungi sejarah
          semulajadi menurut Caius Plinius Secundus, 16 daripadanya berkaitan
          dengan tumbuh-tumbuhan.  Tetapi
          hasil tulisannya dikatakan kurang tepat.
          
           
          
			
			   Yang
          lebih menarik perhatian ialah hasil usaha Pedanios Dioscorides. 
          Diocorides menulis buku De
          Materia Medica yang pernah diterjemah dan diilustrasikan dengan
          baik oleh orang-orang Arab dan Persia, dan seterusnya mempengaruhi
          ahli-ahli herba Islam. Di dalamnya ia memuatkan maklumat-maklumat
          mengenai penyediaan perubatan dan penggunaan hampir 600 jenis
          tumbuh-tumbuhan beserta kesan-kesan bermanfaat dan kemungkinan
          kesan-kesan sampingan toksik. Yang menariknya, beliau menyarankan
          penggunaan Colchicum autumnale (autumn
          crocus) bagi rawatan penyakit yang seakan kanser. 
          
          
          
           
          
			
			   Galen
          (130-200 M) yang masyhur sebagai seorang pakar bedah dan farmasi
          Greek, dikatakan mengikut amalan perubatan Hippocrates yang cuba
          menyelaraskan antara empat humor tubuh. 
          Bagaimanapun beliau telah menambah dimensi eksperimentasi
          dengan memasukkan haiwan. Beliau pernah melapurkan tentang kegunaan Cannabis
          untuk tujuan kelapangan dan melegakan sakit. Beliau juga mempreskripsi
          ekstrak opium poppy untuk beberapa keadaan seperti sakit kepala, pening,
          epilepsi, asma, kolik, demam, dropsi, leprosi, kemurungan dan
          gangguan-gangguan orang perempuan.
          
           
          
           
          
			ZAMAN
          PERTENGAHAN DAN RENAISANS
          
           
          
			Kemerosotan
          kerajaan Romawi diikuti oleh kebangkitan Kristianiti. Pada permulaan
          abad ke 6, gereja-gereja mulai mengembangkan sayapnya dengan menekan
          kepercayaan-kepercayaan tradisional dan yang dianggap jahiliah.
          Rahib-rahibnya bukan sahaja menyulitkan aktiviti ahli-ahli herba
          wanita yang dihormati ketika itu, malah berusaha menjadikan gereja
          sebagai pusat perubatan dan menggalakkan kesembuhan secara doa sambil
          mengisytiharkan penyakit-penyakit fizikal sebagai petanda penyakit
          rohaniah. Bagaimanapun, rahib-rahib Kristian menyimpan banyak
          tulisan-tulisan mengenai perubatan daripada Greek dan Rom di dalam
          perpustakaan gereja-gereja mereka.
          
           
          
           
          
			
			   Oleh
          kerana kebanyakan aktiviti-aktiviti penulisan tertumpu hanya kepada
          menulis semula manuskrip-manuskrip lama, kemajuan dalam lapangan
          perubatan herba dan botani amat terhad. Bidang yang jelas
          memperlihatkan kemajuan dari segi pengetahuan di zaman pertengahan itu
          ialah dalam seni meracun. Malah di Itali, beberapa keluarga
          menjadikan aktiviti sedemikian sebagai mata pencarian. 
          Pelbagai cara meracun yang terkini direka, termasuk aplikasi
          racun sebagai lipstik.  Antara
          bahan-bahan herba yang digunakan sebagai racun ialah Aconite
          (monkshood) dan Nux vomica (strychnine).
          Yang menjadi mangsa racun termasuk juga binatang. Umpamanya, Aconitum
          yang pernah digunakan untuk meracuni serigala. Hal tersebut
          kemudiannya menyebabkan ia turut digelar dengan nama kedua, iaitu “wolfsbane”.
          
           
          
			
			   Sewaktu
          zaman yang disebut juga sebagai zaman kegelapan itu berlalu,
          pemuliharaan tradisi ilmu perubatan herba diambil tanggungjawab oleh
          empayar Islam yang begitu cepat berkembang ke bahagian Timur iaitu
          menghala India dan ke Barat di wilayah Sepanyol. Pencapaian tamadun
          Islam menyerlah dalam pelbagai bidang termasuk matematik, astronomi,
          botani dan perubatan. Bersama perkembangan pesat aktiviti intelektual,
          di Baghdad sendiri terdapat sebuah perpustakaan besar yang memuatkan
          koleksi hasil-hasil tulisan Greek secara luar biasa. 
          
           
          
			
			   Di
          sepanjang tamadun besar itu, muncul ahli-ahli dan penulis-penulis yang
          aktif dalam bidang perubatan dan farmasi, dan mereka termasuklah Abu
          Bakar ar-Razi (865-925) dan Ibn Sina (980-1037). Orang-orang Barat
          menganggap ar-Razi sebagai orang yang bertanggungjawab mengumpul ilmu
          perubatan yang berselerak ketika itu. Di antara karya ar-Razi yang
          termasyhur ialah kitab “al-Hawi”.
          Di dalam penulisannya, beliau menyarankan para tabib agar mengutamakan
          pemakanan berbanding dengan ubatan, remedi-remedi yang mudah
          berbanding dengan yang kompleks. 
          
          
           
          
			
			   Sementara
          Ibn Sina pula sangat berpengaruh menerusi karyanya Kanun Perubatan (al-Qanun
          fi al-Tibb). Diceritakan bahawa selepas kanun tersebut diterjemah
          ke Bahasa Latin, ia telah diulangcetak sebanyak 15 kali dan merupakan
          sumber utama bagi pengajian perubatan di universiti-universiti di
          Eropah sehingga ke pertengahan abad ke 17 Masehi. Sementara Ibn al-Baitar
          (1197-1248) dari Malaga telah menyenaraikan di dalam bukunya "Corpus
          of Simples" sebanyak 1400 tumbuh-tumbuhan herba yang
          mempunyai nilai perubatan. Dengan itu juga bermakna beliau telah
          mengembangkan usaha awal Dioscorides dan perubatan herba Timur Jauh.
          
           
          
			
			   Pada
          masa Renaisans, kemajuan dalam bidang yang berkaitan dengan botani ini
          dizahirkan menerusi satu pergerakan yang disebut sebagai herbalisme. 
          Melalui pergerakan ini, terangkum minat untuk mencarigali
          tumbuh-tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan. Objektif utamanya
          ialah mengumpul sebanyak mungkin maklumat-maklumat berkaitan
          tumbuh-tumbuhan herba samada menerusi hasil tulisan lama atau
          berdasarkan apa yang diketahui dan kedapatan. Kesedaran seumpama ini
          muncul dalam waktu yang sama di beberapa buah negara, termasuk German
          dan England.
          
           
          
			
			   Pada
          waktu yang sama muncul satu doktrin yang disebut "the
          doctrine of signatures". Berdasarkan doktrin ini, adalah
          dipercayai bahawa Tuhan telahpun meletakkan petanda atau petunjuk
          terhadap tumbuh-tumbuhan tertentu supaya manusia dapat menanggapi
          nilainya. Dengan itu, ia memudahkan seseorang itu mentafsir mengenai
          kegunaan dan keupayaan kesembuhannya hanya dengan cara melihat
          rupabentuk pokoknya. Orang yang dikaitkan dengan doktrin ini ialah
          seorang reformer perubatan herba, iaitu Paracelsus (1493-1541).
          
           
          
			
			   Contoh
          tumbuh-tumbuhan yang dikaitkan dengan doktrin yang dimaksudkan ialah Heliotrope
          (Borage) yang mempunyai
          bebungaan yang melingkar seperti ekor kala jengking. Dengan itu ia
          dikatakan mungkin berguna bagi gigitan ular atau sengatan kala
          jengking. Sementara Digitalis boleh jadi baik untuk penyakit yang berhubungan. dengan
          darah memandangkan bunga-bunganya dihiasi dengan tompok-tompok yang
          berwarna darah sementara jalurnya mirip salur vena dan arteri.
          
           
          
			PERKEMBANGAN
          SELEPAS ABAD KE 17
          
           
          
			Menjelang
          pertengahan abad ke 17, John Parkinson menerbitkan buku Theatricum
          Botanicum atau Universal and
          Complete Herbal. Di dalam bukunya beliau membincangkan mengenai
          lebih 3800 jenis tumbuh-tumbuhan. Ini diikuti oleh karangan 
          Nicholas Culpeper yang berjudul The
          English Physician Enlarged yang memuatkan “369 ubat-ubatan yang
          diperbuat daripada herba Inggeris”. Demikianlah perkembangan
          sehingga waktu itu, kerana penggunaan herba dalam perubatan masih
          mendapat tempat dan tulisan-tulisan mengenainya berterusan.
          
           
          
			
			   Namun
          pada abad ke 18, ilmu kimia maju dengan begitu cepat. Sedikit demi
          sedikit tumbuh-tumbuhan mulai diambilalih oleh bahan kimia sebagai
          ramuan utama ubat-ubatan. Dalam masa yang sama, seorang M.D. daripada
          Edinburgh University, William Withering muncul dengan fahaman bahawa
          penilaian terperinci mengenai sejarah individu membentuk asas yang
          kukuh bagi pengetahuan mengenai penggunaan herba. Ini dijelaskan oleh
          beliau di dalam bukunya An
          Account of the Foxglove and Some of its Uses.
          
           
          
			
			   Kemasyhuran
          Withering adalah justeru keupayaannya untuk merawat gangguan-gangguan
          tertentu, khususnya dropsi, iaitu satu penyakit yang dicirikan oleh
          pembentukan cecair di kawasan ekstrimiti (dan paru-paru), nadi lemah
          dan nafas singkat. Dropsi ini kemudiannya dikenali sebagai kegagalan
          jantung kerana sesak (congestive).
          Kalau sebelumnya rawatan dropsi dilakukan dengan mengeluarkan cecair
          daripada tisu-tisu yang membengkak, Withering merawat pesakitnya
          hanya dengan menggunakan ekstrak Digitalis
          purpurea (foxglove).  
          
           
          
			
			   Dari
          segi sejarahnya, Digitalis
          tersebut bukan sahaja digunakan oleh bidan kampung dan bomoh herba,
          malah pernah digunakan sebagai racun oleh ahli sihir di zaman
          pertengahan. Namun hasil daripada eksperimen terkawal beliau, dunia
          telah dapat mengecapi penawar jantung utama yang mampu memperlahan dan
          memperkuatkan denyutan jantung, memperbaiki sirkulasi dan mengeluarkan
          lebihan cecair. Di samping itu, hasil usaha Withering turut menjadi
          model bagi memulihkan kedudukan farmakognosi yang pernah dicetus oleh
          Dioscorides 1700 tahun yang lalu.
          
           
          
			
			   Amalan
          farmakognosi yang dikembangkan oleh William Withering ialah
          mengasingkan dan menapis bahan aktif daripada produk dadah tumbuhan
          yang mentah. Amalan seperti itu juga dijalankan dengan jayanya oleh
          Justus von Liebeg daripada German yang dianggap sebagai bapa
          farmakologi. Rupa-rupanya, kemajuan dalam ilmu kimia pada awal abad ke
          19 juga memperlihatkan penghasilan banyak lagi bahan dadah daripada
          sumber semula jadi seperti Belladonna
          (Deadly nightshade) dan Conium
          (hemlock), serta derivatif seperti morfin (morphine), strychnine,
          atropin (atropine) dan
          kuinin (quinine).
          
           
          
			
			   Pada masa yang sama, para doktor yang berpendidikan formal
          lebih gemar menggunakan cara dan teknologi yang kasar (atau kejam)
          dalam rawatan. Kekasaran ini jelas walaupun dilihat dari sudut
          pandangan alopati abad ke 20. Doktor-doktor alopati sejak akhir abad
          ke 18 kerap menggunakan amalan melecur (blistering), flebotomi (phlebotomy)
          dan pempreskripsian bahan emetik yang kuat sehingga ada yang
          menggunakan bahan mentah arsenik dan merkuri. Pembedahan juga
          dilakukan tanpa sebarang anestetik. Dengan itu tidak hairanlah
          apabila para pesakit menjadi takut kepada doktor-doktor dan mencari
          rawatan alternatif.
          
           
          
			
			HERBA
          DAN KELAHIRAN HOMEOPATI
          
           
          
			Penemuan
          sistem rawatan homeopati adalah tepat pada masanya. Orang yang
          bertanggungajawab membangun sistem tersebut ialah Dr. Samuel Hahnemann.
          Beliau merupakan seorang doktor lulusan University
          of Erlangen, Bavaria (University
          of Leipzig merupakan universiti di mana beliau mula belajar -
          pen.). Meskipun Dr. Hahnemann telah berkeluarga dan mempunyai
          reputasi yang baik dalam bidang kimia dan perubatan, beliau mengambil
          keputusan untuk meninggalkan praktik perubatan alopati yang
          dipandangnya tidak berperikemanusiaan.  
          
           
          
			
			   Beliau
          menulis kepada rakannya: “Ianya mengazabkan bagi saya untuk terus
          berjalan dalam kegelapan, apabila saya terpaksa menyembuhkan dan
          mempreskripsi pesakit menurut hipotesis itu dan ini..... mengenai
          penyakit, bahan yang tercatat di dalam Materia Medica mengikut
          keputusan yang wewenang...  Tidak
          lama selepas perkahwinan saya, saya meninggalkan amalan perubatan,
          agar saya tidak lagi mengambil risiko melakukan kerosakan, dan saya
          kini terlibat secara khusus dalam kimia dan dalam kegiatan penulisan.”
          
          
           
          
			  
			
			Sewaktu
          beliau menterjemah buku Materia Medica yang ditulis oleh Professor Cullen daripada London
          University, beliau tertarik dengan penerangan Cullen setebal 20
          muka surat mengenai petunjuk terapeutik herba Cinchona
          atau kuinin (Peruvian Bark, @
          quinine). Tetapi beliau tidak berpuas hati dengan penjelasan
          bahawa kejayaan penggunaannya bagi merawat malaria adalah disebabkan
          ianya pahit. Lantas, beliau secara sengaja mengambil beberapa dos Cinchona.
          
           
          
			
			   Pengambilan
          herba Cinchona menyebabkan
          kaki dan hujung jarinya sejuk, kemudian timbul rasa mengantuk,
          jantungnya mula berdebar-debar dan nadi pula semakin keras dan halus.
          Kebimbangan, menggeletar, keseluruhan anggotanya semakin lemah,
          kepala berdenyut-denyut, pipi merah, haus dan..... pendeknya semua
          simptom-simptom yang dialami seterusnya menunjukkan kehadiran
          simptom-simptom demam malaria.
          
           
          
			
			   Berdasarkan
          pengalaman beliau dengan penawar Cinchona,
          akhirnya beliau menyimpulkan bahawa satu-satu penawar itu boleh
          menyembuhkan satu-satu penyakit adalah justeru ia juga mampu
          menghasilkan simptom-simptom yang serupa apabila diberikan kepada
          seorang yang sihat. Beliau terus membangun dan kemudian merumuskan
          prinsip-prinsip asas sistem perubatan homeopati. Namun beliau
          menganggap penemuan tersebut hanyalah suatu penemuan semula prinsip
          yang pernah disebutkan oleh tokoh perubatan Greek, iaitu Hippocrates. 
          
           
          
			
			
			   Selepas
          penemuan tersebut, pelbagai jenis herba dan bukan herba telah
          diujibuktikan secara homeopati dengan tujuan mendapatkan
          simptom-simptom penawar. Semua ujibukti (proving)
          yang dilakukan oleh Hahnemann dan ahli-ahli homeopati adalah ke atas
          manusia yang sihat. Hahnemann tidak pernah mengujibuktikan satu-satu
          penawar ke atas orang yang sakit atau binatang. Antara tumbuh-tumbuhan
          herba yang diujibuktikan di masa Hahnemann termasuklah: 
          Aconite, Arnica,
          Belladonna, Chamomilla, Conium maculatum, Nux vomica, Lycopodium
          dan Pulsatilla.
          
           
          
			
			PENGGUNAAN
          HERBA DALAM DOS KECIL
          
           
          
			Keupayaan
          homeopati mengujibukti tumbuh-tumbuhan yang bertoksik dan beracun
          tanpa mengakibatkan sebarang kesan buruk adalah kerana cara
          ujibuktinya yang berdisiplin dan menggunakan dos yang telah
          diperkecilkan. Dos yang diperkecilkan ini disebut sebagai dos
          homeopati. Ia dibezakan dengan dos mentah atau dos alopati kerana ia
          telah melalui proses perkuatan kuasa atau disebut juga sebagai
          dinamisasi homeopati (homoeopathic
          dynamisation). 
          
           
          
			
			   Penemuan
          kaedah Hahnemann ini merupakan yang pertama sekali berlaku dalam
          sejarah perubatan dan penggunaan herba. Ia mendapat sokongan ramai
          justeru penawar homeopati bertindak secara halus, lembut dan berkesan.
          Asas dalam aplikasinya ialah: dos kecil sesuatu penawar itu dapat
          menyembuhkan simptom-simptom (penyakit) pesakit kerana ia mampu
          menghasilkan simptom-simptom yang serupa di dalam diri orang yang
          sihat.
          
           
          
			
			   Blackwell,
          seperti juga kebanyakan doktor alopati, menyatakan bahawa dos yang
          dipreskripsikan oleh ahli-ahli homeopati selalunya terlalu kecil untuk
          memberi kesan yang dikehendaki. Tetapi beliau mengaku bahawa sebarang
          kemungkinan kesan buruk ke atas pesakit sukar berlaku. Malahan ramai
          ahli ilmu dalam bidang perubatan menganggap kesan kesembuhan ke atas
          pesakit adalah kerana kesan psikologi atau kesan placebo.
          
           
          
			KEJAYAAN
          HOMEOPATI DALAM PERUBATAN DAN PENGGUNAAN BAHAN HERBA
          
           
          
			Sebenarnya
          kaedah penggunaan penawar dalam dos yang diperkecilkan merupakan
          penemuan paling besar dalam sejarah perubatan. Berbeza daripada kaedah
          persediaan penawar herba, semua penawar homeopati harus melalui tiga
          proses yang berasingan sebelum sampai ke tahap yang dikehendaki bagi
          tujuan rawatan:
          
           
          
			Pertama: ------------------------- 
			
			
			Kedua:
          	---------------------------- 
          
			Ketiga:
          
           ---------------------------- 
          
			            Berdasarkan
          persediaan penawar sepertimana yang diringkaskan di atas, kebanyakan
          penawar homeopati diberi dalam bentuk penawar ber'potensi'. Potensi
          yang dilabelkan bersama penawar menjelaskan berapa kalikah satu-satu
          penawar itu melalui proses bancuhan bersiri dan goncang-hentak. Dengan
          potensi itu juga kita boleh menilai nisbah antara titikan ibu dengan
          kandungan alkohol dan air suling.
          
           
          
			  
			
			Sebagai
          contoh, _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _  Ingin dapatkan sepenuh bahan di 
			dalam buku?? 
			
			  
			
			-- 
			DAPATKAN BUKU PENAWAR HOMEOPATI 
			PILIHAN (2000) daripada HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE atau eBook 
			ePengamal 2024 
			--- 
          
          © 
          Mohamed 
          Hatta Abu Bakar, HMD 2005    |