DRHATTA DOT COM: KONSULTAN HOMEOPATI ONLINE HBI

     

  \

SINOPSIS BUKU HBI (HOMEOPATHIC BOOK PUBLISHER in BM)

 

ORGANON PERUBATAN HOMEOPATI 

[ISBN 983-44077-2-8

 

Terbit: 2017

Merupakan buku paling asas dan wajib bagi seorang pelajar dan pengamal homeopati. Disaring daripada terjemahan Inggeris Organon of Medicine tulisan Dr. Samuel Hahnemann, pengasas perubatan homeopati dari German. Meskipun sudah lebih separuh abad homeopati bertapak di Malaysia, inilah kali pertama kita peroleh sebuah Organon dalam bahasa Malaysia yang hampir lengkap dengan karya asal Organon of Medicine.

Di dalamnya mengandungi kaedah-kaedah penting perubatan homeopati, iaitu berkaitan asas mempraktik homeopati, falsafah perubatan, penghasilan penawar homeopati, ujibukti @ proving, teori penyakit akut dan kronik, amalan potentisasi dan dinamisasi, penyimpanan penawar, perbezaan doktor alopati dan homeopati, amalan penjagaan kesihatan, dll.

Bagaimana anda boleh menjalankan praktik homeopati tanpanya?

Sampel Kandungan Buku Organon Perubatan Homeopati:

 

§ 1

Para 1 Organon menyatakan bahawa

“Setinggi-tinggi cita-cita dan tugas seorang doktor itu adalah mengembalikan sakit kepada sihat sebagaimana yang dikehendaki.”

Untuk menjelaskan maksud beliau itu, nota kaki Para 1 menerangkan dengan terperinci supaya pengamal homeopati tidak tergelincir daripada matlamat sebenar, seperti yang berlaku kepada para doktor alopati. Justeru misi seorang doktor bukan untuk menghasilkan sistem-sistem dengan menghubungkait hipotesis dan spekulasi kosong berkaitan hakikat kehidupan dan asal-usul penyakit di dalam diri manusia (di mana ramai para doktor menghabiskan masa dan bakat mereka), demikian juga bukan matlamatnya untuk memberikan penerangan panjang lebar mengenai fenomena penyakit dan sebab-sebab langsung kehadirannya (yang akan selamanya tersembunyi - daripada pengetahuan manusia) yang diadun dalam bahasa yang sukar difahami dan ekspresi yang abstrak serta diperbesarkan - sehingga nampak seolah-olah sangat terpelajar dengan tujuan untuk mengagumkan mereka yang jahil - sedangkan manusia yang sakit merintih kesakitan memohon bantuan.

Kata Hahnemann seterusnya, “Kami rasa sudah cukuplah sudah melayani mereka yang merasa terpelajar (yang merujuk kepada perubatan teoretikal dan di mana darjah profesor diinstitusikan), dan sekarang telah sampai masanya semua yang menggelarkan diri mereka doktor menghentikan kerja menamatkan penderitaan manusia sejagat dengan semata-mata bercakap. Bahkan sekarang hendaklah bertindak dengan niat benar-benar ingin menolong dan menyembuhkan.”

 

§ 2

“Cara penyembuhan yang paling ideal ialah mengembalikan kesihatan dengan jalan yang cepat, lemah-lembut dan berkekalan, atau menyembuhkan penyakit secara keseluruhan dalam jangka masa pendek, dapat dipertanggungjawab serta paling tidak memudaratkan, menurut kaedah yang ma'kul.”

Penjelasan berkaitan para ini daripada mahaguru homeopati mengatakan bahawa:jalan yang cepat’ (rapidly)  yang dimaksudkan oleh Dr. Hahnemann ialah “tanpa penangguhan yang tidak perlu, merugikan masa dan wang”. ‘Lemah-lembut’ memberi erti melakukan “dengan mesra dan kasih sayang.” Sementara ‘berkekalan’ bermaksud “dengan tidak menekan simptom-simptom yang memungkinkan ia muncul kembali dalam apa bentuk sekalipun”.

‘Keseluruhan penyakit’ merujuk kepada “bukan satu simptom, tetapi keseluruhan simptom-simptom”. ‘Paling tidak memudaratkan’ memberi erti menyembuhkan “tanpa kesan sampingan dadah (toxic) akibat daripada terlampau banyak ubat”, Dan akhirnya ‘kaedah yang ma’kul’ di dalam ayat tersebut membawa erti “dengan tidak menggunakan sihir atau kepercayaan karut, tetapi hendaklah mengikut cara yang saintifik”.

 

§ 3

“Seorang doktor itu dianggap benar-benar pengamal seni kesembuhan dan benar-benar faham bagaimana merawat secara jitu dan rasional sekiranya dia faham perkara-perkara seperti apa yang boleh disembuhkan dalam penyakit bagi setiap kes individu (pengetahuan tentang penyakit - petunjuk), apa yang boleh disembuhkan oleh ubat-ubat tertentu (ilmu mengenai kuasa-kuasa penawar), serta bagaimana menggunakan ubat terhadap apa yang dia temui sebagai morbid dalam diri pesakit mengikut prinsip-prinsip yang betul, agar kesembuhan menyusul.”

“Ini termasuk bagaimana menyesuaikan apa yang menjadi penyakit bagi pesakit dengan penawar yang paling sesuai (pilihan remedi, penawar yang ditunjuki), demikian juga dari segi cara penyediaan yang tepat dan kuantiti yang diperlukan (dos yang betul), serta masa yang sesuai boleh diulangi dos.”

Dia juga harus mengetahui bagaimana caranya menghilang kan idapan agar pesakit pulih sepenuhnya. Justeru, Dr. Hahnemann seterusnya menjelaskan bahawa sebagai pengamal seni kesembuhan yang sahih, akhirnya dia juga harus:

“...mengetahui halangan-halangan kepada kesembuhan dalam setiap kes dan sedar bagaimana membuangnya - agar dengan itu pemulihan menjadi kekal. Kemudian barulah dia merupakan orang yang mengetahui bagaimana merawat secara bijak dan rasional, dan dialah pengamal seni kesembuhan yang sebenar.”

 

§ 4

“Dia adalah pengamal dan pelindung kesihatan jika dia tahu mengenai apa-apa yang boleh mengganggu kesihatan, yang menyebabkan terkena penyakit dan tahu bagaimana membuang punca-punca yang menyebabkan pesakit itu tidak sihat.”

Jelasnya, Dr. Hahnemann menyatakan seorang pengamal homeopati itu harus tahu mengenai apa-apa yang boleh mengganggu kesihatan termasuk tata-cara penjagaan kesihatan dan kebersihan yang boleh membawa kepada kehadiran penyakit, begitu juga dia harus tahu bagaimana merawat dan mengeluarkan punca yang menyebabkan sakit itu.

 

§ 5

“Bagi membantu usaha-usaha menyembuhkan, doktor itu juga patut mengetahui secara terperinci apa-apa yang menyebabkan timbulnya penyakit akut dan apa-apa yang membawa kepada penyakit kronik yang boleh disusur daripada latar belakang sejarah (pesakit), supaya beliau dapat menemui punca asasnya, yang umumnya adalah disebabkan oleh miasma kronik. Dalam penyiasatan seperti ini, dia harus melihat daripada segi konstitusi fizikal (terutama bagi penyakit kronik), karakter moral dan intelek, pekerjaan, cara hidup dan tabiat, hubungan keluarga dan sosial, usia, fungsi seksual dan sebagainya."

Di sini, Dr. Samuel Hahnemann sudahpun memberi pengenalan awal mengenai penyakit kronik, yang menunjukkan bahawa ianya adalah "causative" sifatnya, yang mana mungkin diperoleh sejak lahir (diperturunkan) ataupun dimelaratkan melalui cara lain (seperti akibat pembenaman). Pengenalan perkataan ‘miasma’ ini akan diikuti dengan pembicaraan panjang tentang pembahagian jenis penyakit di dalam aforisme atau para seterusnya di tengah-tengah buku Organon Perubatan).

 * * * * * * * *

§ 200 Edisi 5 dan 6

“Jika ianya (simptom-simptom lokal) masih ada bagi memimpin rawatan internal, remedi bagi keseluruhan penyakit mungkin dapat ditemui, dan jika remedi itu ditemui, jangkitan lokal yang berterusan ketika penggunaan dalaman (remedi) pasti menunjukkan bahawa kesembuhan belum lagi lengkap; namun jika penyakit itu sembuh ketika rawatan, ini akan merupakan bukti yang meyakinkan bahawa penyakit itu telah dihapuskan sepenuhnya, dan pemulihan yang dikehendaki daripada seluruh bahana penyakit telah dicapai dengan baik - kelebihan yang tidak dapat ditaksirkan (dalam usaha mencapai kesembuhan sempurna - edisi ke 6).”

 

§ 201 Edisi 5 dan 6

“Jelas terbukti bahawa apabila tenaga hayat insan itu dibebani dengan suatu penyakit kronik yang tidak dapat dikuasainya, ia akan  merancang membentuk penyakit lokal ke atas bahagian eksternal, semata-mata bagi satu tujuan, iaitu dengan cara meletakkan penyakit ini di tempat yang kurang berbahaya kepada nyawa insan, ia dapat mendiamkan penyakit internal yang berkemungkinan membahayakan organ-organ vital (dan mengelakkan pesakit daripada kehilangan nyawa), ....Jadinya, kehadiran jangkitan lokal mengunci penyakit internal buat sementara waktu, walaupun ia tidak mampu menyembuhkan ataupun mengurangkan secara material.”

“Walau apa sekalipun, jangkitan lokal tidak lain melainkan sebahagian daripada seluruh penyakit, tetapi sebahagian daripadanya bertambah melarat disebabkan oleh tenaga hayat yang memindahkannya ke bahagian lain tubuh yang kurang berbahaya (eksternal), supaya ia dapat meredakan penyakit dalaman (internal). Namun (seperti yang dimaklumkan sebelumnya) meskipun simptom lokal telah mengunci penyakit internal, tenaga hayat tidak mampu mengurangkan ataupun menyembuhkan seluruh penyakit. Sebaliknya, penyakit internal terus bertambah melarat secara perlahan-lahan dan Tabii (Nature) dihalang daripada terus-menerus menambah-beratkan simptom lokal sebagai ganti kepada kemelaratan penyakit internal.”

“Ulser lama pada kedua kaki bertambah melarat selagi psora internal tidak disembuhkan, kanker membesar selagi sifilis internal masih belum sembuh, ketumbuhan ketuat bertambah dan membesar walhal sikosis di dalam tidak sembuh-sembuh dan semakin sukar untuk disembuhkan, demikian juga seluruh penyakit internal berterusan tambah melarat dari masa ke semasa.”

Dr. Hahnemann membuat ulasan berikut terhadap perubatan alopati: Isunya ialah sekolah perubatan lama mengulang perkara yang sama, ketika ulser buatan timbul di bahagan luar, mereka mengunci penyakit kronik di dalam, sedangkan mereka tidak mampu menyembuhkan penyakit itu. Lebih daripada itu, mereka melemahkan dan memusnahkan kesihatan umum organisma lebih daripada apa yang dilakukan oleh tenaga hayat.

 

§ 202

“Sekarang sekiranya doktor sekolah perubatan lama memusnahkan simptom lokal menerusi aplikasi topikal remedi-remedi internal, dengan kepercayaan bahawa dia dapat menyembuhkan seluruh penyakit, Tabii (Nature) akan menggantikannya dengan merangsang penyakit dalaman dan simptom-simptom lain yang sebelumnya terpendam, menjadikannya melarat seiring dengan jangkitan lokal; dengan kata lain, ia membantu meningkatkan penyakit dalaman. Apabila keadaan ini terjadi, ia disebut-sebut (meskipun tidak tepat) bahawa jangkitan lokal telah dimasukkan kembali ke dalam sistem (tubuh) atau urat saraf oleh remedi-remedi eksternal.”

  

§ 203

"Setiap rawatan eksternal bagi simptom-simptom lokal mempunyai objektif untuk membuangnya daripada permukaan tubuh sementara penyakit miasma dalaman ditinggalkan tanpa sembuh, contohnya ialah: usaha membuang erupsi psora pada kulit menerusi bermacam jenis ointment, membakar kanker dengan kaustik dan menghapuskan kondilomata menggunakan pisau...;”

“Corak rawatan eksternal yang merosakkan yang diamalkan secara universal ini merupakan sumber (rawatan) prolifik bagi pelbagai penyakit kronik yang menjadi keluhan umat manusia; ia juga adalah satu daripada prosedur jenayah di mana perubatan dunia paling bersalah (dan harus bertanggungjawab). Namun inilah rawatan yang diterima sehingga hari ini, dan diajar oleh para profesional sebagai rawatan yang satu-satunya (ada).”

Dr. Hahnemann menambah di dalam notanya bahawa ubat-ubat internal yang diberikan bersama rawatan lokal hanya menyebabkan penyakit itu tambah melarat jika remedi-remedi itu tidak mempunyai kuasa menyembuhkan seluruh penyakit.

 

Petikan kandungan buku Organon Perubatan Homeopati

 

Sumbangan paling besar konsultan HBI, sepanjang berkarya.

 

1. Perubatan Homeopati

2. Homeopati: Perubatan Alaf Baru

3. Penawar Homeopati Pilihan

4. Penyakit Kanak-Kanak & Rawatan Homeopati

5. Rawatan Asas Homeopati

6. Esei-esei Milenium Baru

7. Tip-tip Motivasi Dan Minda

8. Kamus Istilah Perubatan Homeopati

9. Pengantar Falsafah Perubatan Homeopati

10. Simptom-simptom Penyakit Dan Rawatan Homeopati

11. Materia Medika Terapeutik Teew

12. Organon Perubatan Homeopati

13. Panduan Praktikal Perubatan Homeopati

14. Materia Medika Homeopati (3 Jilid)

15. Perubatan Homeopati: Teori & Praktis

 

SINOPSIS

(Harga & Pesanan)

 

INDEX UTAMA

   © HBI Health & Homoeopathy Centre 2024.   © Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 2024  (New Version - updated)

AlloWebmaster:drhatta3@yahoo.com